Duduk: Madah Di Naskhah

119 11 5
                                    

Aku bukanlah siapa-siapa,
bukan penyair bukan pujangga,
Sekadar berkongsi warna kata,
sedikit perihal kebimbangan jelata.

Antara ketelitian dan kehalusan kata,
Adakah kau sedar akan kewujudannya?
Apakah kau tahu simbolik kehadirannya?
Mengapa perlu ada di samping karya?

Ketelitian itu membuahkan kehalusan murni pada setiap keikhlasan hati,
Kehalusan itu menambahkan nilai seni pada setiap karya ukiran sakti,

Tanpa ketelitian penyusunan di bait-bait indah di alam kata,
Hampa kehalusan kesusasteraan di pahit-pahit madah di kalam jelata.

Jangan hanya kerana terlalu meliar,
Dunia penulisan pula merana terbiar,
Terlampau lalai membelai masyhur,
Terpulau terkulai, nilai melebur.

Dibarisi kumpulan pendukung itu bagus,
Kerana mereka mampu memartabatkan kurniaan bakat,
tetapi wajarkah semuanya kalian benarkan?

Tradisi kian berpekung malah hangus,
Kerana mereka tepu memartabatkan warisan masyarakat,
jadi wajarkah keadaannya kalian biarkan?

Sebahagian kecil suara mereka, sempat aku kumpulkan di sini,
Supaya sekecil muara suka, dapat aku timbulkan pada karya seni.

Tanya sama pokok apa sebab menangis?
Nanti jawab pokok, "Dadaku direnjis tinta hamis,"
Tanya sama mereka apa sebab bengis?
Nanti jawab mereka "Mataku diguris kata-kata sadis."

DudukWhere stories live. Discover now