Puasnya telinga mendengar berita,
Buasnya nafsu mengedar sengketa,
Kupasnya berita di latar orang,
Culasnya manusia disebar sebarang.
Puasnya mata menenung suasana,
Buasnya nafsu merenung bahana,
Kupasnya suasana di ruang semesta,
Culasnya manusia dibuang merata.
Puasnya lidah menutur pesan,
Buasnya nafsu menghambur alasan,
Kupasnya pesan diguna nasihat,
Culasnya manusia dicerna jahat.
Puasnya diri memilik sendiri,
Buasnya nafsu di sebalik curi,
Kupasnya sendiri di kuat menjana,
Culasnya manusia dibuat durjana.
Puasnya akal merunding masalah,
Buasnya nafsu menuding pesalah,
Kupasnya masalah dibentang bersama,
Culasnya manusia di pantang terima.
Puasnya tangan merungkai isu,
Buasnya nafsu memakai bisu,
Kupasnya isu diperinci cara,
Culasnya manusia dikunci suara.
Puasnya nafas menghirup segar,
Buasnya nafsu menyeludup onar,
Kupasnya segar di radar udara,
Culasnya manusia dicemar muara.
Puasnya hati di timbul syukur,
Buasnya nafsu mencabul akur,
Kupasnya syukur diterpa sujud,
Culasnya manusia dilupa wujud.
Puasnya kaki melangkah jauh,
Buasnya nafsu bertingkah angkuh,
Kupasnya jauh diukur jarak,
Culasnya manusia didengkur gerak.
Puasnya jiwa berlapang dada,
Buasnya nafsu bertopang noda,
Kupasnya lapang didengar pendapat,
Culasnya manusia dikejar pangkat.
ANDA SEDANG MEMBACA
Duduk
PoetryDuduk membawa makna merehatkan diri buat seketika sambil memberi peluang kepada diri untuk menentukan langkah seterusnya. Duduk bukanlah untuk merehatkan diri dalam tempoh terlalu lama kerana keupayaan manusia itu sendiri ada batasnya. Duduk yan...
