21. Haikall buat jenayah

475 74 3
                                    

10 TAHUN YANG LALU

SENYUMAN TERUKIR di bibir Shakeel. Puas hati dengan hasilnya. Kasut sekolah Alyan yang siap dicuci bersih itu dijemur di bawah sinaran matahari. Tak lupa juga kasut sekolahnya.

Setelah pastikan semua barang siap dikemas, Shakeel naik ke atas untuk ke biliknya. Sayup-sayup suara ibu dan ayahnya bersembang. Pada mulanya dia sangka itu hanya perbualan biasa. Semakin dekat dia dengan anak tangga terakhir, semakin jelas perbualan mereka meresap masuk ke gegendang telinga.

"Saya dah cakap dah, Fendy tak boleh dipercayai!" Suara ibu memetir kuat seperti sedang marah.

Fendy? Pakcik Guard yang sporting itu ke? Shakeel suka lepak di pondok keselamatannya. Kadang-kadang mereka main ceper sama-sama.

"Bukan salah dia Qina, dia pun tertipu," suara ayah sabar membalas. Cuba untuk tidak mengeruhkan keadaan.

"Habis ini apa? Macam mana dia boleh hantar semua dokumen ni?"

"Haqq bijak orangnya. Benda-benda macam ini simple aje untuk dia."

"Then? Awak nak ikut cakap dia? Shakeel pun ada perasaan tau!"

Shakeel tersentak apabila namanya tiba-tiba disebut. Dia berlari ke biliknya. Tak mahu ibu dan ayah mengesan kehadirannya.

"Kenapa kita nak kesiankan dia? Kenapa kita susah-susah nak jaga anak dia? Dia buat apa? Sibuk dengan business dia, hantar dokumen bukan-buk-"

"Anak kita macam mana?" Soalan ayah buat ibu terdiam.

"Kita kena cari anak kita, bukannya dengar cakap dia!"

"Kita dah cuba macam-macam tapi tak jadi apa pun kan? Ini aje caranya Qina, kita terpaksa. Kita kena ikut cakap dia untuk dapatkan apa yang kita nak."

"Shakeel macam mana? Awak tak kesiankan dia?" suara ibu bertukar sedih.

"Saya sayangkan dia macam nyawa saya. Shakeel, saya tahu dia boleh berfikir dengan baik nanti."

Daun pintu bilik ibu dan ayah terbuka perlahan. Terpacul wajah mereka sementara Shakeel hanya mengintai di balik pintu biliknya.

Mereka turun ke bawah tanpa menyedari kewujudan dia. Entah kenapa, selepas mendengar itu Shakeel jadi takut, gusar dan tak senang duduk.

Kaki diatur ke bilik ibu ayahnya. Meja kerja ayahnya dihampiri. Ada satu sampul coklat yang sudah dikeluarkan isinya.

Shakeel baca surat itu dari perkataan pertama hinggalah yang terakhir dengan anak mata yang terketar-ketar.

Walaupun masih kecil, dia tak bodoh untuk memahami apa yang ada di atas surat itu.

Matanya mula berair. Hatinya sakit. Rasa tertipu.

"Sh-Shakeel?" Suara ayah ibarat pedang yang menusuk telinganya.

Kenapa Shakeel ada dekat sini?! Degup jantung Syauqina seolah-olah terhenti.

"Shakeel bukan anak ibu ke?" Lirih suara itu bertanya.

Syauqina memandang suaminya dengan mata yang berkaca. Dia menunduk tak mampu berkata apa-apa sambil bibir bergetar menahan tangis.

Tanpa sedar, surat itu sudah keronyok dalam genggaman Shakeel. Hatinya terasa sebu. Shakeel lepaskan kertas itu lalu berjalan keluar. Kecewa menyelubungi dirinya. Ibu ayah langsung tak menjelaskan apa-apa.

Jadi betullah? Aku bukan anak mereka.

Shakeel melolos diri ke dalam bilik. Terpandang Alyan Mikayla yang sedang nyenyak tidur di atas katilnya. Shakeel duduk di birai katil. Termenung memandang lantai.

KeelLela : Misi Mencari Happy EndingWhere stories live. Discover now