BAB 22
HAIKALL tatap kertas yang dia dapat daripada peti suratnya berbulan lalu. Kalau bukan sebab hatinya terdetik nak tengok isi dompet sendiri, dia tak betah mengingati surat misteri ini.
Melihat isi dompet membuatkan Haikall mengeluh kecil. Duitnya masih ada, cumanya itu hanya bertahan sementara. Duit rumah dan motor sudah dibayar seperti bulan-bulan sebelumnya. Nampaknya dia akan makan nasi lemak percuma daripada warung sajalah selama seminggu sebelum dia dapat gajinya lagi.
Kertas yang tertulis alamat tanah perkuburan itu berjaya membuat dia pegun di atas katil hampir setengah jam. Yang anehnya, kertas itu ada dalam dompetnya. Sudah tentu dia yang masukkannya tapi dia tak pasti kenapa.
Bila ditilik semula, rupa-rupanya ada nama dia di atas kertas itu. Terus lesap andaiannya kalau-kalau posmen tersilap peti surat. Kalau dah ada nama, sahlah surat itu memang untuk dia. Nama penuhnya ada ditulis dan itu adalah tulisan tangan yang dia tak kenali siapakah orangnya.
Siapa saja yang tahu nama penuh dia?
Tak payah nak berlagak kerdil Haikall. Ramai orang kenal kau. Kau popular tanpa kau sedari.
Haikall raup rambutnya ke belakang. Selepas yakin dengan hasratnya, dia bangun dan capai jaket dan kunci motornya.
Mungkin ugutan orang. Haikall fikir. Dia banyak musuh dan dia akui itu. Haikall sukakan cabaran, pengecutlah dia kalau tak sahut ugutan ini. Siapa saja yang mengugutnya... Kita tengok apa nasibnya nanti.
"LIMA langkah ke depan, belok kanan?" Haikall tak nampak sesiapa melainkan batu nisan dan kubur-kubur manusia.
Dia seorang saja di sini.
Langkah diteruskan jua macam yang tertulis di dalam surat. Kalau ikut jejak kakinya yang tak besar tak juga kecil ini, di barisan itulah yang dia dapat. Dengan berhati-hati Haikall bergerak. Tak mahu merosakkan apa-apa yang ada di sekelilingnya. Macam mana dia datang, macam itu jugalah dia mahu tinggalkan. Sejahat-jahat dia, tak terniat dek hati nak berdendam dengan orang yang sudah bertemu Munkar dan Nakir.
Pencipta surat ini sangat licik atau dia fikir Haikall terlalu lembab? Siap dilukis lagi bentuk kubur yang dimaksudkan. Simple namun cukuplah sekadar nak fahamkan dia. Mula-mula memang Haikall tak perasan semua ini. Banyak nota tersembunyi. Kecut sangat agaknya bila dapat surat alamat tanah kubur. Tak pasal-pasal terus ingat pasal mati.
Lukisan itu memudahkannya. Tak perlu susah-susah dia mencari.
Haikall duduk bercangkung membaca nama yang tertera pada batu nisan. Dalam hati tak tipu dia memang berdebar. Risau ada yang berdendam, maka orang itu berikan alamat ini. Mungkin kubur orang yang dia pernah buli dulu? Kalau diingat semula, tiada satu pun mangsa yang mati kerananya.
Zareef pun tak mati kan?
Jadi, apakah ini semua?
Haikall akui, dia memang gila masa sekolah dulu. Sampaikan akhirnya cikgu hanya mampu tengok sahaja setiap kali dia timbulkan masalah. Tak ada apa yang dapat ubah sikapnya ketika itu. Peluang untuk marah Haikall hanyalah jika ada ibu bapa si mangsa menyerbu sekolah.
Kadang-kadang Haikall ditampar oleh mereka. Ada juga yang menyerahkannya ke polis. Ada juga yang sampai hendak mencekiknya sehingga dia hilang nafas. Macam-macam jenis baran. Tapi Haikall tak pernah peduli. Selagi hayat dikandung badan, berhenti tidak wujud dalam kamusnya.
Haikall kerdipkan matanya berkali-kali. Takut tersalah tengok nama yang ada di batu nisan itu. Haikall tarik nafas dan tengok ke hadapan. Mencari kudrat. Cabaran ini terlalu mencabar! Dah lama hidup agaknya si penghantar surat ini.
YOU ARE READING
KeelLela : Misi Mencari Happy Ending
Teen FictionSambungan KeelLela 💃 Banyak drama, cintan-cintun, masalah keluarga yang tak selesai sejak azali 🦭 Cover : @qazhara No copycat no plagiarism 🚫 Hormat usaha orang lain ✋ © iqahaqi