"Xiao Huo, kalau satu hari nanti Kita sudah tak ada lagi.. apa yang akan Mika buat?" soalnya sambil jari-jemari bermain dengan sekuntum bunga.
Xynn Ri tersenyum sebelum dia melentokkan kepalanya ke atas bahu Hann Li.
"Apa yang akan Kita buat? Sudah tentu Kita akan ikut Mika ke mana saja Mika pergi." jawab Xynn Ri, jujur.
Hann Li terdiam. "Tapi Kita mahu Mika teruskan hidup." ujarnya.
"Kalau macam tu, Mika perlu teruskan hidup Mika juga." Xynn Ri memberitahu. Dia bangun dari atas bahu Hann Li lalu menarik wajah si lelaki supaya memandang ke arahnya. "Faham?" tambahnya lagi sebelum mencium dahi Hann Li dengan penuh kasih.
Hann Li tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan diri. Namun cubitan di pipinya membuatkan riak muka Hann Li berubah. Mahu atau tidak dia mengangguk kepalanya. "Mn." dia mengusap rambut Xynn Ri. "Baiklah." balasnya.
.
.
.Shen Mei membuka mata. Rasa seperti telah lama dia tidur. Mimpi yang sangat pelik namun dalam masa yang sama buat dia rasa tenang. Xiao Huo. Adakah orang di dalam mimpi itu merupakan Xiao Huo yang sama dalam ingatannya? Dia tidak tahu. Lelaki di dalam mimpinya itu pula nampak seperti seorang dewa. Pasangan kekasih? Tapi perempuan itu manusia. Shen Mei duduk di atas katil, tidak bergerak. Mimpi yang betul-betul pelik.
"Tuan Shen, dah sedar? Macam mana rasa badan? Ada sakit?" soal satu suara yang mana baru muncul di dalam bilik itu.
"Mn." Shen Mei mengangguk. Dia memandang ke arah Dajin yang berjalan ke arahnya dengan semangkuk bubur panas.
"Makan la dulu kalau begitu." arahnya sambil duduk disisi katil lalu menggunakan sudu bagi menyuap bubur tadi ke dalam mulut Shen Mei.
Bubur yang panas itu ditiup terlebih dahulu sebelum disuap. Dia tidak mahu Shen Mei cederakan lidahnya. Melihat Shen Mei makan dengan berselera, Dajin tersenyum. Tuannya itu tidak sedarkan diri selama tiga hari. Dia betul-betul risau. Setiap hari dia berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu. Setiap hari juga dia memasak bubur untuk persediaan jika Shen Mei bangun.
"Terima kasih." Shen Mei bersuara selepas dia habis makan.
Dajin hanya mengangguk. Dia tidak kisah kerana itu tugasnya. Memang dia perlu melakukan kerja dia. Bagi Dajin, jika dia boleh berkhidmat kepada Shen Mei, itu sudah cukup. Dia mahu menjadi Yao yang berguna buat Shen Mei.
"Bagaimana dengan Diyu?" tanya Shen Mei. Selepas mengetahui dia tidak sedarkan diri selama tiga hari, dia mahukan informasi.
Dalam hati, Dajin mengeluh. Kerja, kerja, kerja saja yang Shen Mei fikir. Bukan nak tanya tentang keadaan diri sendiri. "Diyu baik-baik saja. Guron dan regimen dari Dunia Kegelapan masih berada di barisan hadapan. Arahan untuk mereka adalah bersedia." lapor Dajin samada dia rela atau tidak.
"Mn." Shen Mei mengangguk. Dia bukanlah jenis yang banyak bercakap atau suka berbual. Personaliti dia lebih kepada pendiam.
Dajin faham perkara tersebut. Melihat Shen Mei tidak lagi menyoal perkara lain, dia tahu dia perlu juga beritahu Shen Mei tentang keadaan badannya.
"Tuan Shen, badan Tuan diracun." ujar Dajin.
"Racun?" kali ini Shen Mei memandang ke arah Dajin.
"Racun dari bulu pelepah Dewa Maut. Demon Lord tak ada cakap apa-apa?" tanya Dajin sambil mengetap giginya.
"Ah.. aku tahu." Shen Mei mengangguk. Demon Lord sudah beritahu dia perkara itu lama dahulu. Masa dia kecil. Cuma dia lupa. Bila Dajin ingatkan, baru dia sedar.
"Eh?" kali ini giliran Dajin yang terkejut. Dia fikir Demon Lord sengaja tak beritahu Shen Mei tentang racun dalam tubuhnya.
"Aku lupa. Tuanku ada beritahu aku lama dulu masa aku kecil. Sebab tu Tuanku jarang bagi aku keluar dari Istana. Tapi aku degil. Sebab tu juga, keadaan aku makin serius dan mungkin racun tu dah merebak dengan sangat dalam dalam badan aku." terang Shen Mei.
Dajin jatuh terduduk. Jadi dia salahkan Demon Lord tanpa sebab?! Pesalah sebenar adalah Shen Mei! Dasar degil tak mahu dengar kata! Akhirnya Dajin kembali bangun dan menepuk bahu Shen Mei. Wajahnya penuh semangat. "Tuan Shen!! Tolong jangan buat orang risau?!" tegur Dajin.
Shen Mei terkebil-kebil. Dia melihat Dajin yang lebih semangat dari biasa itu. Terkejut pun ada. Tak tahu nak cakap apa. Bukan sekali orang lain risaukan dia. Demon Lord Lan Zhong Yi yang terkenal tak ada perasaan tu pun boleh membebel pada Shen Mei selama berjam-jam. Tapi apa dia peduli? Dia naga. Memang sifatnya begitu. Degil dan keras kepala.
Kalau dia mahu bebas, siapa saja boleh halang? Kalau dia mahu terbang, siapa saja boleh patahkan sayapnya? Kalau dia mahu lari, tak ada orang boleh kejar. Kalau dia mahukan sesuatu, dia akan pastikan dia dapat. Ya, dia tamak. Sifat naga memang tamak. Dia juga jika sayangkan sesuatu atau seseorang, dirinya akan bertukar menjadi possessive.
"Mn." akhirnya dia mengangguk, malas nak layan Dajin.
"Haish.." Dajin mengeluh, tahu dirinya tidak dipedulikan.
.
.
.
."Jangan dengar suara tu. Jangan kembali ke alam kematian." bisikan Hann Li terngiang-ngiang di telinganya.
"Bangun. Xiao Huo." sekali lagi suara itu memanggil.
"Xiao Huo, jangan tinggalkan Kita."
"Hiyarghhh?!!!!!" jeritan A-Uin bergema.
"Pendeta, Pendeta?!" Zhong Yi menggoncang tubuh A-Uin bagi menyedarkan si gadis yang masih dalam alam mimpi.
Secara tiba-tiba dia menjerit, buat Demon Lord yang sedang membaca buku di atas kerusinya itu melompat turun. Terkejut. Mata A-Uin terus terbuntang luas. Dia yang membuka matanya secara tiba-tiba terus terdiam. Nafasnya turun naik. Terkejut? Takut? Mungkin. Jantungnya berdegup laju. Dia masih ingat saat Hann Li menjumpai di tepi bangunan sebelum ini. Ketika banyak rukh hitam cuba menarik A-Uin kembali ke alam kematian.
A-Uin yang mana merupakan seseorang yang tidak patut wujud. Seseorang yang berdiri di antara alam hidup dan mati. Dia yang tidak diterima di mana-mana alam sekalipun. Tangan A-Uin menggenggam erat kain bajunya. Dahinya berpeluh. Zhong Yi mengetap bibir. Dia mengeluarkan sapu tangan dan dihulur kepada A-Uin.
"Dah sedar?" soalnya.
A-Uin mengangguk.
"Jadi kau nampak?" tanyanya lagi.
A-Uin mengangguk lagi.
"Shen Mei adalah Hann Li namun dia tidak mempunyai sebarang memori. Selepas kau sembuhkan tubuhnya yang diracuni bulu pelepah Dewa Maut, kebarangkalian untuk dia ingat semula ada namun tak tinggi." beritahu Zhong Yi.
"Tapi untuk gunakan dia bagi membunuh Lan Qiandan sangat susah." A-Uin menggelengkan kepalanya kali ini.
"Shen Mei akan ikut arahan aku." Zhong Yi bersuara yakin. Dia tahu anak itu terhutang budi padanya. Kerana itu juga dia menjaga Shen Mei dengan baik. Kerana dia perlu tunaikan janjinya pada Hann Li. Shen Mei perlu melakukannya sama ada dia mahu atau tidak. Cuma mahkluk suci seperti Shen Mei sahaja yang mampu membunuh mahkluk dari Dunia Kegelapan tanpa perlu menerima sebarang hukuman langit.
"Demon Lord, Mika nak paksa Shen Mei untuk membunuh?!" A-Uin menghentak tangannya pada atas meja.
"Ini rancangan Hann Li." tegas Zhong Yi. "Kerana ini juga, Shen Mei wujud. Dia merupakan Demon Hunter. Memang tugasnya membunuh."
A-Uin mengetap gigi. Kenapa? Kenapa mereka berdua tidak boleh hidup bahagia tanpa ada sebarang konflik? Kenapa? Walaupun kini dia berjaya menjumpai lelaki itu, tapi mereka tetap tak boleh bersama.
Akhirnya A-Uin menekup wajah dengan kedua belah tapak tangannya dan air matanya mengalir. Dia menangis teresak esak sebelum jatuh terjelepuk ke atas lantai. Walau dia meraung sekuat hati sekalipun, takdir itu kejam. Kalau bukan miliknya, tidak mungkin akan berakhir menjadi miliknya.
"Li Er!!" A-Uin rasa hatinya dirobek.
Zhong Yi hanya melihat A-Uin di atas lantai melayan perasaan. Dia tahu rasa sakit tidak dapat bersama itu bagaimana. Saat dia fikir XiHua dan dia tidak lagi dapat berjumpa sebelum ini, dia juga menderita. Namun apa dayanya untuk membantu A-Uin? Hann Li melakukan semua ini hanya untuk menghapuskan Lan Qiandan dengan harapan jika dunia ini dapat bermula semula, dia dan A-Uin akan dapat bersama tanpa halangan.
YOU ARE READING
The Demon Hunter (Completed)
Historical Fiction#BOOK 3 (DUNIA KEGELAPAN) siri tiga alam dunia.. Aku penat. Kau tenat. Kita sama-sama rehat. Kau bising. Aku pusing. Kita sama-sama pening. ********* "Xiao Huo.. Xiao Huo.." ---- Hei Long. "Berhenti panggil Kita macam tu!" ---- A-Uin. "Ah Yin! Pakai...