Jimmy melemparkan tubuhnya di atas katil. Habis biliknya bersepah kerana dia baru sahaja memusnahkan semua benda yang ada di dalam biliknya itu sampai pecah berkecai tapi hatinya masih tidak berasa puas! Rasa geram dan marahnya langsung tidak berkurangan.
Dia memejamkan kelopak matanya meminta sedikit ketenangan hadir ke dalam hatinya yang sedang bersedih ketika ini.
"Ya Allah. Apa dosa yang aku dah buat sampai diuji sebegini? Apa masalah hidup aku ni Ya Allah! Aku tak minta pun hidup aku jadi macam ni. Aku dah cuba bersabar Ya Allah. Aku dah cuba berubah bukan tak cuba berubah, tapi tak boleh Ya Allah. Kenapa dugaan ini kau beri dekat aku yang lemah ini Ya Allah? Apa salah aku? Apa salah aku!" Kata Jimmy seorang diri dengan air mata yang jatuh berderai dari matanya.
"Arghhh!!!" Jerit Jimmy sekuat hati sambil menggengam rambutnya dengan kuat.
"Ya Allah kenapa mesti kena libatkan Amir dalam hal ini Ya Allah? Kenapa? Apa salah dia? Sebab aku, hidup Amir rosak Ya Allah!" Katanya lagi masih berteka-teki dengan diri sendiri. Dia sendiri tiada jawapan yang dapat menjawab persoalannya itu.
Air matanya berhenti mengalir selepas 30 minit menangis. Tidak sangka lelaki sepertinya juga bisa menangis sebegitu rupa. Sesiapa sahaja akan menangis bila menanggung beban yang tidak dapat dipikul oleh mereka. Begitu jugalah Jimmy. Dia juga masih lagi manusia biasa meskipun ujian datang melanda.
Kata-kata Mira tergiang-giang di telinganya semasa dia mahu berlalu pergi dari majlis itu tadi. Jimmy terimbas kembali perbualannya dengan Mira tadi...
"Muzaimi! Awak, maafkan saya." Kata Mira sambil mengejar tubuh Jimmy yang bergerak laju ingin meninggalkan kawasan itu secepat mungkin.
"Muzaimi tolonglah berhenti dengar apa yang saya nak cakap. Ya Allah, Jimmy tolonglah." Rayu Mira dengan nada suara yang agak tegas tetapi masih lagi lemah lembut.
Langkah Jimmy terhenti. Dia mengembuskan nafasnya. Fikirannya betul-betul tengah serabut sekarang ini. Nasib Mira yang suruh dia berhenti kalau orang lain jangan haraplah dia mahu berhenti dari melangkah.
"Awak nak cakap apa Mira? Cakaplah sekarang. Saya nak balik cepat ni." Kata Jimmy dengan nada suara yang dingin sambil membelakangi Mira.
"Muzaimi, maafkan saya. Saya tak ada pilihan. Abi saya dan abang awak yang aturkan semua rancangan ini. Saya... Saya cuma dipaksa. Maaf Jimmy kalau sebab saya awak..."
"Dahlah Mira. Awak anggap je ini takdir jodoh kita. Awak anggap je saya ini calon suami awak. Sepatutnya saya yang kena minta maaf sebab saya nanti tak dapat jadi calon suami yang terbaik untuk awak." Kata Jimmy sambil memusingkan tubuhnya memandang ke arah Mira dengan sedikit senyuman nipis.
"Sudahlah. Saya nak balik, Assalamualaikum." Tambah Jimmy lagi sambil melangkah pergi.
"Tapi kalau awak tak nak berkahwin dengan saya tak apa. Saya boleh lari dari rumah!"
Kata-kata Mira itu menyetak hati Jimmy. Langkahnya juga terhenti. Jimmy menggaru-garu kepalanya. Bertambah pusing kepala dibuatnya dengan si Mira seorang ini.
"Mira, tolong jangan jadi bodoh, jadi matang sikit boleh tak? Awak tu cantik, tak semestinya cantik kena jadi anak derhaka. Awak nak jadi anak derhaka ke? Kalau awak tak suka saya jadi suami awak pun jangan sampai buat benda macam ini. Takpe, saya takkan apa-apakan awak selepas kita bernikah nanti. Sentuh awak pun tidak kalau awak tak suka sekalipun. Awak jangan risau okay." Kata Jimmy sambil melangkah pergi perlahan. Tubuhnya terasa lemah sekali di saat ini.
"Bukan, tapi sebab saya..." Mira hilang kata-katanya. Dibiarkan sahaja ayatnya itu tergantung sepi.
Langkah Jimmy terhenti buat kali kedua.
"Haha." Jimmy ketawa sinis lantas, dia kembali sambung melangkah pergi membiarkan Mira seorang diri di belakangnya.
Jimmy kembali ke alam nyata.
Fikirannya serabut sekali. Entah apa yang harus dilakukan olehnya sekarang ini. Mungkin ini yang jalan terbaik untuk Amir dan dirinya untuk berubah. Mungkin cara ini dia dapat lupakan Amir dari hidupnya. Mungkin ini cara yang terbaik untuk Amir juga supaya tidak jadi seperti dahulu lagi kerana sekarang ini hati Amir sangat suci.
Dia buntu, tersangatlah buntu! Pada masa yang sama hatinya masih sayangkan Amir tetapi dia harus jauhkan dirinya dari Amir untuk kebaikkan diri Amir. Nampaknya, dia harus merelakan Amir pergi dari hidupnya untuk kebaikkan Amir sendiri.
"Amir, maafkan saya. Saya terpaksa buat semua benda ni sebab saya sayangkan awak, Amir." Ucap Jimmy sambil menumbuk dadanya perlahan.
YOU ARE READING
HANYA RINDU |BL| (COMPLETED)
RomanceKisah cinta yang terlarang telah memisahkan mereka berdua selama tiga tahun. Pertemuan yang tidak di jangka telah menemukan mereka kembali. Namun, segalanya telah berubah kerana Amir mengalami hilang ingatan dan dia langsung tidak mengenali siapa Ji...