Adli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada Adli untuk mencari apa sebenarnya yang dia mahu dalam hidup ini. Pelbagai konflik terpaksa ditempuhi dalam tempoh pencariannya itu. Ibunya mahu berpindah dari rumah, majikannya masih enggan menaikkan gaji, dendamnya terhadap seorang perempuan yang telah merosakkan rumah tangga ibu bapanya masih membara, macam-macam! Sehingga Adli mengambil keputusan untuk berehat seketika dan merantau ke negeri orang. Adli sendiri tidak tahu sama ada dia mampu untuk membuka sayapnya yang terkunci selama ini. Fikirannya asyik terkenangkan kisah lalu yang tidak mungkin dapat diubah lagi. Dia tidak sedar kisah lalunya itulah yang bakal membuka ruang kepada masa depannya yang lebih cerah.