Bab 21 | Pulang

5.8K 156 17
                                    

Semenjak masuk kerja pagi tadi, aku langsung tidak senang duduk. Sekejap-sekejap aku perhati jarum jam yang berdetik. Terasa bagaikan begitu lambat masa berlalu walaupun aku hanya masuk kerja half day hari ini. Menyesal pula tak ambil cuti penuh hari ini.

Kalau ikutkan jadual asal, Rayyan akan pulang dari Macau hari ini. Setelah hampir lapan hari menanti dan memendam rindu, akhirnya Rayyan akan pulang kepangkuan aku.

Memandangkan aku tidak pasti pukul berapa pesawat Rayyan akan berlepas dari Macau, aku mengambil keputusan untuk menanti saja Rayyan awal-awal di rumah. Mahu bertanyakan kepada abang ipar aku nanti apa pula katanya. Sudahnya aku hanya gelisah menanti tibanya waktu rehat agar aku dapat segera pulang ke rumah.

Kelentang-kelentong bunyi perkakas barang dapur yang aku kerjakan bila aku memulakan aktiviti memasak setelah siap menyediakan bahan-bahan untuk memasak.

Masa belajar di UK dulu selalu juga aku merajinkan diri untuk memasak bila aku rindu dengan masakan melayu. Boleh dikatakan masakan aku lulus tekak manusia kerana rakan serumah aku yang berbangsa melayu dan lagi seorang dari Canada memuji masakan aku dan berjaya menghabiskan hidangan aku dalam sekelip mata sahaja.

Memandangkan Rayyan akan pulang hari ini, aku bercadang untuk menyediakan juadah kegemaran Rayyan iaitu ikan keli berlado, kuah masak lemak ayam, sambal udang petai, sayur kacang buncis tumis campur terung dan sambal belacan. Masuk ke tak eh menu aku hari ini?

Padahnya bila aku mula teruja mahu memasak buat pertama kalinya untuk Rayyan, semua lauk kegemaran Rayyan aku mahu masak hari ini juga meskipun dah ada ikan keli berlado, mana masuk nak makan dengan sambal udang petai dan sambal belacan lagi?

Ini semua hasil aku korek dari mak mertua aku dalam perjalanan pulang tadi. Nak harapkan Rayyan? Aku call pun belum tentu berjawab lebih baik aku tanya mak mertua aku saja walaupun sudahnya mama bertanya semula kenapa tidak bertanyakan kepada Rayyan sahaja.. dengan jawapan mudah aku berkata yang aku mahu membuat kejutan sempena meraikan kepulangan Rayyan.

Mama yang langsung tidak mengesyaki kekeruhan hubungan aku menyatakan rasa gembiranya kerana Rayyan selalunya bila pulang dari berjalan jauh akan terus mengelat bila diajak makan. Malah ikan keli ini juga mama yang hantarkan sebaik aku pulang dari pejabat tadi. Katanya fresh dari kolam milik rakannya.

Siapa sangka Rayyan yang nampak moden dan sentiasa berkelas rupanya turut melayan sambal belacan? Nampaknya aku sudah ada modal untuk mengiat dia nanti.

Walaupun hati aku sendiri masih merana dengan perbuatan Rayyan namun aku lebih memilih untuk memulihkan hubungan kami. Bukannya melayan rajuk aku kerana hari-hari masa yang berlalu tanpa kemesraan antara aku dengan Rayyan sebenarnya lebih membuatkan aku terseksa.

"Auchh!"

Aku terjerit bila minyak panas dari gorengan ikan keli meletup-letup mengenai tangan aku. Cepat-cepat aku ambil tudung periuk dan aku tutup periuk yang masih berperang dengan minyak panas itu.

Pedih sungguh rasanya bila minyak panas meletup terus mengenai kulit. Sudahlah sebelum ini tangan aku berasa pijar kerana bermain dengan cili merah kini tangan yang sama terkena minyak panas pula. Aku lalukan tangan yang kesakitan bawah air paip yang bercucuran turun.

Aku ketap bibir. Entah mengapa tiba-tiba rasa sebak mengusai diri hinggakan mata aku mula berkaca. Walaupun tangan aku rasa pedih, namun pedih di hati membuatkan air mata aku tidak tertahan-tahan mengalir di pipi.

'Lihatlah Rayyan, kerana you apa sahaja I sanggup buat. Hatta membasuh ikan keli yang aku geli-geleman nak pegang juga aku buat. Jangankan sentuh, makan pun tidak pernah. Namun sebabkan you Ian, apa saja I sanggup buat...'

Padamkan Ragu ✔️ Where stories live. Discover now