Teksi yang membawa aku dari Lapangan Terbang Senai berhenti di pinggir jalan halaman rumah yang tidak berpagar. Setelah menolak pintu danmengjejakkan kaki ke tanah, lama aku berdiri merenung sayu rumahpusaka peninggalan arwah abah.
Sebak bertandang.Lima tahun aku membawa diri ke bumi Australia dan tak pernah balik-balik walau sekalipun.
'Maafkan Hani, ibu. Hani tak cukup kuat melawan lara hati kerana cinta.'
Aku pergi kerana kecewa. Aku pergi membawa diri kerana cintaku disia-siakan oleh lelaki yang aku sayang sepenuh hati. Ibu pernah berpesan, jika menyayangi seseorang biarlah berpada-pada, kelak timbul benci. Pesanan ibu, tak pernah aku hiraukan. Aku ingkar dan berharap segalanya sempurna demi dia.
Hinggalah berlaku satu kejadian yang meremuk-redamkan hatiku, meluluhkan kepercayaanku pada lelaki itu.
Laungan ibu dihujung tangga mengejutkan aku yang terleka. Sementara menunggu pemandu teksi mengeluarkan bagasi dari bonet kereta, tanpa lengah aku menerpa ibu yang sedang mara mendekatiku. Wanita bertubuh sederhana itu, aku peluk dengan erat.
Oh! Rindunya.......
"Hani balik juga akhirnya." Ibu sebak sambil membalas pelukanku dengan lebih erat.
Aku benamkan bibirke pipi ibu sedalamnya. "Ibu sihat?"
"Ibu sihat,sayang. Hani, kenapa kurus sangat?"
Aku senyum hambar dengan pertanyaan ibu. "Makanan kat Perth tak sesedap masakan ibu." Selorohku lantas ibu tertawa kecil.
Aku mengucapkan terima kasih kepada pemandu Limo setelah membayar tambang. Aku duduk di anak tangga melepaskan penat akibat terlalu lama berada di dalam kereta.
"Hani lapar tak? Ibu ada masak lauk kegemaran Hani."
"Sekejap lagi ya, ibu. Hani nak mandi dulu."
Sunyinya rumah ini aku rasakan. Terimbau kembali kenangan lalu. Arwah abah meninggal beberapa minggu sebelum aku terbang ke Perth. Di tangga inilah arwah abah rebah akibat serangan jantung. Ya... di tangga ini jugalah arwah abah berdiri bila sekumpulan jemaah masjid datang bersama adik perempuanku, Hazlin yang umurnya hanya muda setahun berbanding aku.
Di sebelah Hazlin, berdirinya tunanganku Syamsul yang menundukkan kepala menekur ke tanah. Imam Haji Daud menjelaskan, mereka berdua telah diserbu ketika sedang berdua-duaan di tempat sunyi dalam keadaan yang mencurigakan.
Aku yang bergegas dari atas rumah terus ke beranda, terpaku di anak tangga paling atas. Seakan mahu pitam di situ juga. Kenapa Syamsul, lelaki yang selama ini begitu baik denganku, yang aku dambakan seluruh harapan padanya sanggup melakukan perkara yang tidak senonoh kepada bakal adik ipar sendiri?
Abah terangguk-angguk bila Imam Haji Daud mengesyorkan agar mereka berdua dinikahkan segera. Jika tidak, Syamsul dan Alin akan diheret ke pejabat Agama dan kes mereka akan di bawa ke mahkamah Syariah.
Selepas sekumpulan jemaah masjid itu beredar, Hazlin meluru memeluk kaki abah memohon ampun. Malangnya, abah menolak tubuh Hazlin perlahan.
"Kenapa Alin buat macam ni kat abah? Tak cukupkah pendidikan agama yang abah bagi pada Alin?"
"Alin mintak maaf,abah. Alin memang anak yang tak baik. Alin berdosa, Alin dah malukan abah. Alin menyesal, abah. Ampunkan Alin!" Air mata Hazlin merembes-rembes keluar dan suaranya tersekat-sekat bersama tangisan yang semakin tinggi.
"Mintak ampun pada Allah, Alin.. bukannya Abah." Abah masih lagi tenang walaupun raut wajah abah ketika itu begitu keruh akibat kecewa dengan apa yang berlaku. Darah daging sendiri telah menconteng arang ke muka abah. Bapa mana yang sanggup menerimanya?
"Dan kau Syamsul, kenapa kau sanggup lukakan hati Hani?"
"Sa... saya juga mintak maaf pakcik. Saya tak tahan godaan," jawab Syamsul tergagap-gagap.
Tak tahan godaan kata Syamsul?
Aku tak sedar bila masanya aku seret kakiku dan berhenti betul-betul di hadapannya. Wajah bersalahnya aku renung tajam. "Sampai hati awak, Syamsul! Saya betul-betul sayangkan awak. Dengan saya, pegang tangan pun awak tak pernah buat. Tapi kenapa dengan Alin, awak tak boleh kawal nafsu?"
"Kak Hani, jangan salahkan abang Syamsul. Alin yang salah, Alin yang goda dia. Alin yang perangkap abang Syamsul sebab Alin dah mengandung. Teman lelaki Alin tak mahu bertanggungjawab." Hazlin menerpaku.
"Ibu... ampunkan Alin!" Hazlin merayu kepada ibu setelah aku tak menghiraukan penjelasannya. Dia memeluk ibu yang terhenyak di hujung tangga tapi ibu mengeraskan tubuhnya. Tiada riaksi daripada ibu. Hanya air mata berlinangan di pipi. Sedikitpun ibu tak memandang Hazlin. Mata ibu hanya tertumpu padaku, bimbang agaknya kalau-kalau aku bertindak diluar jangkaan.
"Ya ALLAH!" serentak itu abah rebah sambil tangannya menekan dada.
"Abahhhhhhh!!!"
