"Apa rahsia adik guna sampaikan Kim asyik nak melekat dengan Aryn je?" bisik Adrean sewaktu Aryana sedang menyediakan minuman di dapur. Arfan dibiarkan berbual bersama Adam di ruang tamu.
Hujung minggu itu, mereka berdua pulang ke rumah keluarga Aryana. Kerana sibuk dengan pekerjaan masing-masing membuatkan mereka jarang melawat kedua belah keluarga.
"Apa along ni!" marah Aryana sambil mencubit lengan Adrean. Merah padam mukanya menahan malu. Alongnya ini kalau nak bertanya, memang tak berlapik langsung. Geram kadang-kadang.
"Alaa Aryn ni. Kalau nak jawab guna mulut, bukan tangan. Sakit tau tak," leter Adrean sambil menggosok lengannya yang mula memerah. Penangan cubitan Aryana umpama terkena sepitan ketam. Nasib tidak berdarah.
"Padan muka! Kalau along nak tahu sangat, boleh la meminang mana-mana gadis untuk dijadikan bakal isteri. Tu ha, janda terlajak laris sebelah pejabat Aryn pun ada sorang tengah mencari bakal suami. Along nak ke? Kalau nak boleh Aryn tolong risikkan," ujar Aryana selamba sambil mengacau-ngacau gula yang baru diletakkan ke dalam nescafe yang dibuatnya. Empat biji cawan dan piring diletakkan di atas dulang bersama sepinggan kuih seri muka yang sempat dibelinya sebelum ke sini tadi.
"Ish, tak nak la. Kalau ya pun, carikanlah yang bujang. Tergamak Aryn cadangkan janda untuk along. Kalau along tahu, Aryn nak sangat 'duda anak lima' termasuk dalam list yang meminang Aryn hari tu, along boleh suruh duda yang dekat seberang jalan sana datang meminang jugak. Baru nampak real penipuan Aryn, tak gitu?" sindir Adrean dengan kening yang terangkat.
Terbatuk-batuk Aryana apabila mendengar sindiran Adrean kepadanya. Dia mahu mengenakan Adrean, alih-alih dia pula yang dikenakan.
"Daripada along datang sini tak ada kerja, baik tolong bawakan dulang ni keluar. Terima kasih," sempat Aryana menjelir lidah kepada Adrean. Memang dia sengaja melarikan diri. Tak lain tak bukan, Adam lah tukang jaja ceritanya. Tak boleh simpan rahsia betul abangnya yang satu itu.
Di ruang tamu, Arfan masih seronok berbual dengan Adam. Habis segala topik dibicarakan mereka sehingga tidak menyedari kehadiran Aryana di situ. Aryana berdehem sedikit.
"Eh, mana airnya? Kata pergi buat air tadi," tegur Adam yang nampak Aryana datang dengan tangan kosong.
"Tu ha. Along tiba-tiba baik hati nak tolong Aryn tadi. Aryn apa lagi, dengan senang hatinya bagi peluang dekat along belajar buat kerja rumah sikit. Mana tahu nanti dah kahwin boleh la jugak tolong-tolong isteri dekat dapur." Masih tidak berpuas hati soal tadi, dia sambung sesi perli memerli di ruang tamu pula.
"Along pulak yang kena. Aryn tu yang jadi pemalas sejak kahwin."
"Awak... tengok along tu. Dia cakap saya pemalas," adu Aryana kepada Arfan. Mulutnya menjuih ke arah Adrean yang tengah buat muka nak cari gaduh.
"Wahh, sejak ada knight in shining armor baru, makin manja eh Aryn. Pastu along ngan angah dapat watak wizards pulak sekarang eh," sokong Adam yang terangguk-angguk bersetuju dengan kata-kata Adrean.
Arfan tarik Aryana duduk di sebelahnya. "Hmm, saya pun perasan awak macam berubah sikit sekarang ni. Sikit je... tak banyak."
Aryana bangun tiba-tiba. Mendengar kata-kata Arfan yang seolah-olah tidak menyokongnya menimbulkan rasa sedih. Mungkin faktor pembawakan bayi menyebabkan emosinya tidak menentu. Tanpa menoleh, dia mula berjalan ke tangga. Satu persatu tangga didakinya bersama pandangan yang kabur akibat mata yang mula berkaca. Sedih hatinya mendengar kata-kata Arfan, padahal kata-kata itu biasa sahaja.
Mereka bertiga saling berpandangan. Adrean dan Adam masing-masing memandang Arfan.
"Kenapa dengan Aryn?" soal Adam pelik melihat perubahan mendadak Aryana. Sebelum ini, walaupun mereka bergurau kasar sekalipun, Aryana tidak pernah merajuk seperti ini. Paling tidak, mereka berdua ditendang aje.
YOU ARE READING
Pencuri Hati Mr. Gynophobia
RomanceCINTA. Satu perkataan yang senang diungkapkan. Tapi, sejauhmanakah ketulusan yang terzahir oleh pengucapnya? Cinta itu buta. Sering membuat seseorang hilang kewarasan kerananya. Bagi Aryana Qistina, sukar untuk dia mempercayai ungkapan cinta yang t...