"Kenapa anak ibu termenung aje dari tadi? Iman fikir apa?" tegur Puan Solehah apabila melihat anaknya sedari tadi termenung panjang. Seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Tak adalah, bu. Iman tengah tengok Tv ni," dalih Iman bersama sengihan. Dia tahu, walau sekuat mana dia cuba menyorokkan rahsia hatinya, ibunya pasti dapat meneka apa yang sedang mengganggu fikirannya.
"Ibu nampak macam Tv tu yang tengok Iman," Puan Solehah tersenyum apabila Iman merebahkan kepala ke ribanya. Rambut anak tunggalnya itu dielus lembut, penuh kasih sayang.
"Ibu tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran Iman kan? Tak nak kongsi dengan ibu?" soal Puan Solehah lagi.
Iman senyum. Ibunya ialah orang yang paling memahami dirinya. Riak wajah ibunya yang sentiasa tenang dipandang penuh kasih. Lembut seraut wajah itu walaupun adakala terbingkai sejuta kesedihan di wajah yang semakin menua itu.
"Anak ibu ni baru aje patah hati," tutur Iman serentak dengan ketawa dihujung katanya. Kedengaran hambar bagi sesiapa yang mendengarnya.
"Ni mesti pasal Aryana, kan?" duga Puan Solehah lagi. Dia faham gelora perasaan yang dialami anaknya. Dia sendiri terkejut mendapat berita tentang perkahwinan Aryana minggu lalu. Namun, dia tidak menyalahkan Aryana. Dia tahu, cinta itu bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa.
Iman tersenyum lagi bersama anggukan. "Tapi ibu jangan risau. Anak lelaki ibu ni bukan jenis yang cepat melatah. Bunga bukan sekuntum, bu. Tu anak jiran sebelah pun ada nak buat isteri nanti." Dia cuba bergurau untuk menghambat sedikit rasa kecewa yang sempat singgah di hati lelakinya.
"Ish, kecil lagi budaknya. Iman ni biar betul."
"Iman gurau aje, bu. Ibu tak perlu risaukan Iman. Iman redha jodoh Iman bukan dengan Aryana. Iman masih pegang lagi kata-kata ibu dulu."
"Lega hati ibu kalau Iman cakap macam tu. Ibu yakin suatu hari nanti akan ada seorang wanita yang akan sayang anak ibu dengan setulus hati. Ibu sentiasa doakan anak ibu yang terbaik."
Iman mengangguk. Nasihat ibunya selalu berbekas di hati. Membangkitkan semangat baru untuknya mengharungi liku-liku kehidupan yang kian mencabar. Betul lah, kata orang bila kita semakin dewasa, semakin banyak masalah yang datang menonjolkan diri. Hingga terkadang tidak tertanggung rasanya.
***
Genap seminggu sudah Arfan dan Aryana hidup bersama sebagai pasangan suami isteri. Aryana sedar, kehidupannya kini telah diserikan dengan bibit-bibit bahagia bersama Arfan. Walaupun kadang kala sering terjadi perang dingin atau pertelingkahan kecil antara mereka, namun itu tidak lama setelah diakhiri dengan adegan pujuk-memujuk. Egonya yang tinggi melangit juga boleh runtuh serendah istana pasir yang dibinanya suatu ketika dahulu.
Aryana mengerling Arfan yang sedang menghadap kertas kerja di ruang tamu. Mujur hari ini mereka sama-sama bercuti kerana mereka akan menghadiri majlis kesyukuran sempena menyambut kepulangan sepupu Arfan yang baru sahaja tamat pengajian di Mesir. Majlis itu diadakan di rumah ibu saudara Arfan tengah hari nanti.
"Nah, air untuk awak." Aryana meletakkan mug berisi nescafe latte di hadapan Arfan. Pagi ini dia belum sempat membuat sarapan, hanya nescafe yang menjadi alas perut mereka.
Arfan mengangguk dan terus menyambung kerjanya. Dia sesekali menghirup nescafe yang dibuat Aryana walaupun matanya tidak dialihkan dari kertas kerjanya. Sedang fokus dengan kerjanya, telefon pintarnya berdering menandakan panggilan masuk. Tangannya laju mencapai telefon di sisi meja.
"Ya, kenapa Rith?" soal Arfan sedikit pelik apabila Zarith menelefonnya pada waktu sebegini. Jam baru menunjuk ke angka tujuh lima belas pagi.
![](https://img.wattpad.com/cover/170514179-288-k768130.jpg)
YOU ARE READING
Pencuri Hati Mr. Gynophobia
RomansCINTA. Satu perkataan yang senang diungkapkan. Tapi, sejauhmanakah ketulusan yang terzahir oleh pengucapnya? Cinta itu buta. Sering membuat seseorang hilang kewarasan kerananya. Bagi Aryana Qistina, sukar untuk dia mempercayai ungkapan cinta yang t...