32

95 11 0
                                    

Satu tumbukan melayang ke pipi Khalis. Arfan mengepal penumbuknya erat. Kalau diikutkan hatinya yang sedang marah, mahu sahaja ditumbuk lagi muka Khalis sampai lebam. Mujur sahaja ada Zarith yang sempat menghalangnya. Apabila mendapat panggilan telefon daripada Khalis tadi, cepat-cepat dia bergegas ke hospital bersama dengan Zarith. Meluap-luap api kemarahannya sebaik sahaja mendengar berita tentang Aryana yang berada di hospital.

"Sabar, Kim. Kita dekat hospital sekarang ni."

"Kau... apa kau dah buat dekat bini dan anak aku?!" suara Arfan keras. Sempat dia menjeling ke arah Aryana yang masih belum sedarkan diri.

Khalis tertunduk. Lidahnya kelu untuk menjawab. Dia hanya mampu mendengar segala amarah Arfan kepadanya.

"Jawablah aku tanya ni!" jerkah Arfan masih dengan suara yang tertahan-tahan.

"Aku tak buat apa-apa. Sumpah aku tak buat apa-apa," jawab Khalis akhirnya. Dia tidak berani menentang pandangan mata Arfan yang mencerlung tajam ke arahnya.

"Habis tu macam mana Aryana boleh jatuh? Sampai masuk hospital?" Sekali lagi Arfan menjerkah Khalis. Tahap kesabarannya sudah benar-benar nipis. Bila-bila masa sahaja Khalis akan menjadi mangsanya. Dia langsung tidak menyangka begitu busuk hati Khalis sehinggakan mahu merosakkan rumah tangganya dan Aryana.

"Abang..."

Arfan segera berpaling setelah mendengar dirinya diseru Aryana. Cepat-cepat dia menghampiri Aryana. Wajah pucat isterinya itu disentuh lembut.

"Maaf, abang terkejutkan sayang ke?" Arfan mengelus lembut pipi Aryana. Marahnya yang tadi hampir mencapai tahap tertinggi perlahan-lahan menurun tatkala mendengar suara Aryana. Ajaibnya cinta!

"Abang... jangan marah Khalis. Khalis tak salah. Khalis tak buat apa-apa dekat cherry," ujar Aryana lembut. Sempat dia mengerling Khalis yang sedang menunduk di hujung sana. Terbit rasa kesian terhadap Khalis.

"Kenapa sayang nak bela dia? Dia culik sayang, dia cuba nak rosakkan rumah tangga kita." Wajah Arfan sedikit terkilan mendengar kata-kata Aryana.

"Abang, dengar dulu penjelasan Khalis, ya?" pinta Aryana lembut. Terdapat senyuman manis yang menghiasi bibir pucat itu.

"No good?" Aryana menyoal sambil menyentuh pipi Arfan. Berharap benar suaminya berlembut hati sedikit untuk mendengar penjelasan Khalis.

Arfan tatap lama anak mata Aryana. Mulutnya terkunci agak lama sebelum dia melepaskan keluhan berat. Perlahan-lahan dia mengangguk kecil.

"Anak kita?" soal Arfan apabila teringatkan tentang bayi mereka.

"Kandungan Aryana okey. Cuma tadi berlaku pendarahan sikit. Doktor nasihatkan supaya Aryana kurangkan pergerakan," ujar Khalis yang sudah merapati katil Aryana bersama Zarith.

"Siapa suruh kau bercakap?" Marah Arfan berserta jelingan.

Aryana cepat-cepat menyentuh lengan Arfan. Kepalanya digelengkan sedikit, tidak bersetuju dengan kelakuan Arfan tadi.

"Sorry sayang. Hati abang tengah mendidih sekarang. Rasa macam nak bunuh orang aje," jawab Arfan bernada selamba namun tajam menyapa pendengaran.

"Aku... aku minta maaf. Aku tahu apa-apa yang aku cakap, kau dah tak percayakan aku. Tapi percayalah, aku tak buat apa-apa langsung dekat Aryana. Kalau kau nak aku bersumpah sekalipun, aku sanggup," ujar Khalis serius.

Arfan diam seribu bahasa. Boleh ke dia maafkan Khalis semudah itu? Wajah Khalis dipandang beberapa detik. Pandangannya kemudian ditolehkan ke arah Aryana. Aryana mengangguk kepadanya.

Pencuri Hati Mr. GynophobiaWhere stories live. Discover now