Dari beranda resort yang didudukinya, Aryana dapat merasakan deruan angin lembut yang menampar pipinya. Matanya kosong memandang ke hadapan. Entah apa yang dilihatnya, dia sendiri tidak pasti. Tanpa melakukan sebarang pekerjaan, fikirannya sentiasa melayang teringatkan Arfan. Beberapa kali keluhan berat dilepaskannya.
Aryana tersentak dengan bunyi deringan telefon bilik resort yang dihuninya. Keningnya dikerutkan sebelum tangannya laju mencapai gagang telefon.
"Puan, ada penghantaran untuk puan."
Aryana mengerutkan kening. Penghantaran apa? Rasanya dia tidak menempah apa-apa.
"Penghantaran apa ya?" soal Aryana pelik.
"Nanti puan akan tahu." Talian diputuskan. Aryana terkaku di sisi meja itu. Gagang telefon diletakkan kembali ke tempatnya.
Tidak lama kemudian, dia terdengar pula ketukan pada pintu biliknya. Penuh rasa ingin tahu, dia mengintai dari lubang pintu. Terlihat seorang lelaki yang sedikit tinggi berjaket kulit hitam sedang menantinya di hadapan pintu. Tidak ketinggalan juga bersama topi dan mask yang juga berwarna hitam. Boleh dikatakan semua yang dipakai lelaki itu keseluruhannya hitam. Teragak-agak dia membuka pintu.
"Encik cari siapa ya?"
Tanpa mengeluarkan sepatah kata, lelaki itu terus menangkap tangan Aryana dan digarinya.
Aryana yang terkejut sedikit menjerit. Belum sempat dia meminta pertolongan mulutnya ditekup dengan tangan sasa lelaki itu dan dia diheret masuk ke dalam bilik resortnya. Aryana ketakutan. Menggigil seluruh tubuhnya memikirkan pelbagai kemungkinan. Tidak semena-mena wajah Arfan, umi dan abahnya, abang-abangnya dan juga abang-abang iparnya, serta walid terlayar di ruang fikiran. Inikah balasannya meninggalkan suami tanpa keizinan?
"Puan ditahan atas tuduhan mencuri," dingin suara lelaki itu berbisik di tepi telinganya.
"Me-mencuri?" tanya Aryana bersama suara yang sedikit serak. Dia menahan tangisan daripada tumpah.
"Mencuri hati saya." Penuh romantis suara itu menyapa pendengarannya. Tubuhnya dipeluk erat dari belakang. Suara itu sangat familiar pada pendengarannya. Aryana segera berpaling. Tergamam dia apabila melihat wajah yang teramat dirinduinya berada di depan mata.
Seketika kemudian, Aryana bertindak menjauhkan diri. Sekuat tenaga dia cuba melepaskan gari plastik ditangannya. Tidak memerlukan tenaga yang banyak, gari itu telah pun putus.
Aryana menatap wajah Arfan dengan muka kosongnya. Tipu kalau dia sudah melupakan kejadian itu. Tipu kalau dia cakap yang kemarahannya sudah reda.
"Sayang..." seru Arfan perlahan. Masih bernada romantis.
"Jangan panggil saya sayang," mendatar bunyi suara Aryana.
"Sayang, please... dengar dulu apa yang abang nak cakap?" lirih Arfan bersuara sambil matanya tidak dilarikan dari terus menatap wajah Aryana.
Aryana diam lagi. Hatinya cepat benar tersentuh jika orang yang memujuknya adalah Arfan. Sayu tatapan yang diberikan kepadanya mencengkam hati.
Melihat Aryana yang diam, Arfan segera mendekati. Tangan Aryana dicapainya dan diusap lembut. Sebuah ciuman hinggap di tangan itu. Sejuk sahaja tangan Aryana dirasakannya.
"Sayang abang dah makan?" Soalan pertama dimulakannya penuh berhati-hati. Melihat gelengan Aryana membuatkan dia menarik senyuman nipis.
"Kenapa tak makan? Kesian dekat baby, lapar."
"Dah kenyang makan hati."
Arfan menggaru keningnya perlahan. Alamak... bini dah marah la. Macam mana nak pujuk ni.
YOU ARE READING
Pencuri Hati Mr. Gynophobia
RomanceCINTA. Satu perkataan yang senang diungkapkan. Tapi, sejauhmanakah ketulusan yang terzahir oleh pengucapnya? Cinta itu buta. Sering membuat seseorang hilang kewarasan kerananya. Bagi Aryana Qistina, sukar untuk dia mempercayai ungkapan cinta yang t...