Arfan memegang kejap stereng keretanya. Rumah banglo setingkat yang dipenuhi oleh orang ramai itu hanya dipandangnya tanpa sebarang reaksi. Lama dia berkeadaan begitu sehinggalah tangan lembut Aryana menarik sebelah tangannya. Sedikit tersentak dia seraya berpaling ke sebelah bahagian penumpang. Dia membetulkan duduk. Bibir cuba untuk tersenyum. Melihat raut wajah itu menguntum senyum, dia tidak mahu menambah lagi kebimbangan Aryana.
"Abang okey?"
Arfan membalasnya dengan anggukan. Bibir mulutnya masih terkunci untuk menjawab soalan itu. Bersediakah dia? Kuatkah dirinya mahu berdepan dengan wanita yang sudah melakar detik-detik hitam dalam sejarah hidupnya?
"Cherry akan sentiasa ada untuk abang. Kalau abang takut, selawat banyak-banyak. Cherry yakin abang mampu lawan rasa takut abang tu." Tidak henti-henti Aryana menghulurkan kata-kata semangat untuk Arfan sejak dari semalam. Dia faham keadaan Arfan. Walaupun fobianya sudah hilang, tetapi masih ada rasa takut yang tersisa untuk berdepan kembali dengan orang yang telah melakar sejarah luka untuknya. Peristiwa-peristiwa menyeksakan sudah pasti akan terlayar kembali di kotak memori.
"Thank you, sayang." Hanya itu yang terkeluar dari bibir mulut Arfan. Dia cuba berlagak biasa, namun air mukanya jelas-jelas masih tergambar keresahan.
Ketukan pada tingkap sebelah pemandu menyentakkannya buat kali kedua. Kelihatan Abang Akif berdiri di sisi keretanya. Cermin tingkap diturunkannya.
"Kenapa Kim tak masuk? Mama Ika dah lama tunggu Kim dekat dalam," tegur Akif sebaik sahaja tingkap dibuka Arfan.
"Err, Kim baru nak masuk ni," jawab Arfan laju. Wajahnya sudah berpeluh-peluh. Masa untuk dia berdepan dengan wanita itu sudah tiba.
"Kalau macam tu jom la kita masuk sama-sama. Walid dengan mama pun dah masuk dalam. Abang Akmal masih dekat kereta, tunggu nak masuk sekali dengan Kim," beritahu Akif. Sedari tadi dia perasan wajah Arfan yang sememangnya sudah pucat. Mengalahkan mayat pucat dia tu.
Arfan membuka pintu kereta lalu keluar. Lututnya terasa longgar seakan-akan mahu tercabut. Aryana sudah berdiri di sisinya. Memegang kejap lengannya seiring dengan senyuman mekar yang menghiasi bibir merahnya.
"Semua orang berhak diberikan peluang kedua, Kim." Akif bersuara sebelum dia mula melangkah ke depan.
Arfan menarik nafas sekali lagi. Kakinya mula melangkah mengikut langkah Abang Akmal dan Abang Akifnya yang sudah jauh di depan. Aryana masih setia mengikut di sisinya sejak tadi. Ya, dia tidak perlu takut... dia tak perlu takut kerana dia punya Aryana. Wanita yang sentiasa akan menemani saat susah dan senangnya.
Tiba di perkarangan banglo setingkat itu, mata Arfan melilau ke arah tetamu-tetamu yang hadir memenuhi bagi memeriahkan majlis pasangan mempelai. Sempat juga dia bertukar senyum dengan beberapa orang tetamu yang hadir. Namun, tidak pula dia melihat gelagat pasangan yang diraikan.
"Kim, jom kita masuk dalam. Mama Ika ada dekat bilik." Akmal datang untuk memanggilnya.
Arfan tersentak seketika sebelum dia mengangguk. Tangan Aryana digenggam, meminta sedikit kekuatan. Kakinya mula menapak ke dalam rumah sehingga ke sebuah bilik. Dari luar bilik, sempat dia melihat beberapa orang tetamu yang berada di dalam. Perlahan-lahan dia melangkah memasuki bilik itu. Sejuk terasa seluruh tubuhnya tambah-tambah dengan pendingin hawa yanh terpasang. Terasa sampai ke tulang sum-sumnya.
"Abang Akim!" Amelia merupakan orang pertama yang menegur sebaik sahaja ternampak bekas abang tirinya yang baru tiba bersama seorang wanita cantik di sisinya.
Arfan kaku di situ. Kini dia sedang berdiri tepat di hujung katil yang menempatkan bekas mama tirinya. Dibiarkan mata redup wanita itu merenung dirinya. Sementara dia juga hanya mampu memerhati segenah tubuh yang lemah terbaring di atas katil tanpa sebarang reaksi.
YOU ARE READING
Pencuri Hati Mr. Gynophobia
RomanceCINTA. Satu perkataan yang senang diungkapkan. Tapi, sejauhmanakah ketulusan yang terzahir oleh pengucapnya? Cinta itu buta. Sering membuat seseorang hilang kewarasan kerananya. Bagi Aryana Qistina, sukar untuk dia mempercayai ungkapan cinta yang t...