PROLOG

8.3K 187 0
                                        

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.


          Tak. Tak. Tak.

    Bunyi kasut tumit tinggi Hera memecah sunyi lorong dingin itu. Semakin dia berjalan, makin hatinya kuat memaksa untuk terus melangkah. Rasa ada yang menarik untuk disingkap. Jadi dia ikut sahaja apa yang dikata hati.

    Tirai plastik lut sinar yang diselaputi titisan air sejuk diselaknya perlahan. Dia merendahkan sedikit tubuh lalu melangkah masuk ke dalam ruang itu. Bau antiseptik menyambutnya, menyusup halus ke rongga hidung. Dingin. Terlalu dingin. Dingin yang mencengkam tulang-belulang. Sejuk yang bukan biasa-biasa. Sejuk yang membawa bersama satu rasa yang sukar dijelaskan—antara gentar, hormat, dan takjub.

    Pandangan Hera terhenti pada satu papan nama yang terpampang jelas di dinding logam kelabu itu. Dia menyentuh permukaannya.

    Morgue.

    Hera menelan liur. Seram sejuk yang tadi hanya mengusik, kini menjalar liar ke seluruh tubuh. Lebih sejuk dari tadi. Mungkin kerana dia memasuki kawasan yang dihuni entiti lain. Semakin kuat gigilan badannya.

    Tapi ini bukan bilik mayat biasa.

    Tiada bau hanyir. Tiada aura menyeramkan seperti dalam cerita-cerita seram. Ruang ini tenang. Terlalu tenang dan wangi. Bau wangi yang tak tertafsir dengan bahasa dunia. Wangi yang seperti... menandakan kedatangan para penghuni syurga.

    Hera tahu siapa mereka. Mereka bukan insan biasa.

    Mereka pejuang. Syuhada. Hamba-hamba Allah yang mengorbankan seluruh hidup demi agama. Yang tak gentar pada kematian, malah mendamba pertemuan dengan Tuhannya. Jiwa-jiwa mulia yang dijemput dalam keadaan paling indah.

    Berbeza dengan dirinya.

    Hera menarik nafas panjang. Matanya sedikit basah. Jiwanya bagai dipukul ombak kesedaran. Dia hanya seorang wanita biasa. Hidupnya penuh kesenangan, dipenuhi kemewahan dunia yang tak pernah cukup. Tak pernah walau sekali, dia menoleh ke belakang dan bertanya: Mengapa aku diciptakan?

    Matanya terhenti pada satu nama.

    Firdaus al-Qarar.

   Nama itu... seindah nama syurga. Sebaik jasanya ketika hidup. Dia tunduk seketika, lidahnya terikat dek rasa rendah diri yang melingkari.

    Tapi tangannya tak sanggup menarik rak simpanan mayat. Tidak mampu melihat wajah yang telah dijemput Tuhan dalam keindahan iman. Hatinya tahu, dia belum layak.

   "Apa sayang buat kat sini?"

    Hera berpaling ke arah suara garau itu sebelum menyinggung senyum. Lelaki itu berdiri tegak di hadapan pintu, berjaket tebal, keningnya sedikit berkerut.

    Tengku Aydan.

    Suaminya. Lelaki yang terlalu memahami sisi pelik dirinya. Lelaki yang tahu, isterinya suka menyendiri. Lagi-lagi di tempat seperti ini.

    "Saja... nak lawat ahli-ahli syurga,"jawab Hera tenang. Senyumnya tipis, matanya masih berkaca.

    Tengku Aydan menggeleng perlahan sambil menghampiri. "Kenapa tak ajak abang? Risau tau tadi. Ingat manalah sayang pergi." Suaranya lembut tetapi jelas tegas di hujung nada.

    Hera hanya diam. Dia tak tahu apa yang mahu dijawab.

    "Dah, jom ikut abang. Yang lain dah tunggu kat luar."

    Dia mengangguk lalu melangkah perlahan di sisi sang suami. Namun, sebelum keluar dari ruang itu, sempat dia menoleh ke belakang. Pandangannya jatuh sekali lagi pada nama-nama yang tertera di rak-rak logam itu. Setiap nama membawa cerita, perjuangan, pengorbanan.

    Satu hari nanti, hidupnya juga akan berakhir seperti mereka. Hanya sahaja cara mereka mati akan berbeza.

    Adakah baik keadaannya tika dia didatangi malaikat maut?

    Adakah mudah sakaratul mautnya?

    Wallahu a'lam.

KALAU SUDAH TERTAKDIR | C Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang