Matanya terbeliak luas. Kipas siling yang ligat menghayunkan bilahnya menghiasi pandangan mata. Peluh yang merenek di dahi dikesat menggunakan belakang tapak tangan. Dengan keadaan tubuh yang lemah, Hera berusaha mengangkat kepala yang terasa berat seperti ada dihempap sesuatu.
Dia mengerutkan dahi. Pening kepala tiba-tiba. Bau antibiotik yang kuat mencucuk lubang hidung. Ah, dia tak suka bau ubat!
Terperasan jarum yang dicucuk di tangan dan disambung dengan kantung drip air. Jam dinding ditilik. Pukul 12.30 malam. Bererti sudah 5 jam dia tak sedarkan diri. Menggigil tangannya semasa menegakkan bantal pada kepala katil.
"Hei, kenapa tak kejut aku?"
Terhinjut bahu Hera tatkala dikejutkan dengan satu suara serak-serak basah. Suara orang yang baru terjaga daripada lena. Tergesa-gesa lelaki itu berlari ke arah katilnya dengan rambutnya yang kusut-masai.
"Awak kat sini?" soal Hera.
"Soalan kau... macam tak nak je aku teman kau," ucap Tengku Aydan bernada jauh hati.
"Hehe... janganlah merajuk. Nanti tak ada sesiapa nak jaga saya," pujuk Hera. Padahal dia yang sedang terlantar sakit sekarang, tapi dia juga yang perlu memujuk hati cik suami yang suka mengada-ngada. Rasa nak koma balik pula.
"Kau okey? Kau ingat tak apa yang jadi tadi?" Tengku Aydan menutup separuh badan Hera dengan selimut tebal lalu melabuhkan punggung di birai katil.
"Tadi? Saya nampak ada dua kereta. Lepas tu, ada cahaya... lepas tu... Arghhh!!! Saya tak ingat!"
Bergegar katil apabila Hera menghentak-hentak tangan pada pemegang. Dia mengetuk kepala yang berlitup tudung tanpa henti dengan bantal supaya bayangan aneh itu pergi jauh daripada terus menghantui. Tangannya dicengkam sekuat tenaga oleh Tengku Aydan sebelum dia bertindak lebih agresif. Badannya ditarik ke dalam pelukan hangat suaminya.
Terbisu Hera jadinya. Tak berani menentang seperti yang dia sering lakukan tiap kali dipeluk suaminya. Tangan Tengku Aydan naik membuka tudung lalu meramas lembut umbun-umbun rambut hitam Hera. Lirih suara menenangkannya yang nyaris mencederakan diri.
"Jangan paksa diri untuk ingat balik. Aku tak nak kau bahayakan diri kau lagi. Pasal kes kau tadi, pihak polis dah uruskan semuanya. Orang yang langgar kau pun dah ditahan. Nasib kau tak cedera parah."
"Awak... apa yang jadi sebenarnya?" Hera merenung anak mata hitam pekatnya. Dia nampak halkum Tengku Aydan bergerak-gerak dengan rahang yang diketap kuat. Lelaki itu seperti teragak-agak untuk menjawab pertanyaannya.
"Yang peliknya, polis tak dapat cari klip video yang rakam kemalangan tadi. Diorang ni licik, kasi semua bukti bersih sebelum polis datang. Budak umur dalam baya-baya kau jugak. Bila buat ujian air kencing, negatif pula. Ada yang kata mungkin budak tu bawa kereta lari rumah sebab tekanan."
Tengku Aydan angkat bahu, entah benar atau tidak khabar angin itu. Keselamatan isterinya lebih utama jika hendak dibandingkan dengan hukuman yang akan dijatuhkan terhadap remaja itu. Pandai buat, pandailah tanggung risiko sendiri.
"Kasihannya dia. Budak tu okey tak?"
Tergeleng-geleng kepala Tengku Aydan. Sempat Hera meluahkan belas kasihan sedangkan dirinya telah selamat ditahan wad selama dua hari.
"Buat apa nak kasihan, biar dia masuk lokap! Bagi pengajaran sikit. Jaga diri kau tu dulu sebelum kisah pasal orang lain. Jangan naif sangat, Hera. Kalau aku jadi kau, dah lama aku humban terus budak tu dalam jail! Nasib bini aku tak mati!" Keras suaranya menempelak seolah remaja itu berada di ruang yang sama.
Hera terkedu. Hati terdetik ingin merungkai sejauh mana kerisauan Tengku Aydan tatkala mendapat tahu dia terlibat dalam kemalangan. Air muka Tengku Aydan yang tidak beriak sering kali menyukarkannya untuk menafsir isi hati lelaki itu. Beku tanpa perasaan, tapi tingkah lakunya tak seiring.
ANDA SEDANG MEMBACA
KALAU SUDAH TERTAKDIR | C
Romantik𝐇𝐄𝐑𝐀 𝐐𝐈𝐒𝐓𝐈𝐍𝐀. Sejak kecil, dia sedar dirinya bukan darah daging keluarga itu. Dia dan kembarnya hanyalah anak angkat, dijemput masuk ke dalam hidup keluarga Tengku Mokhtar atas dasar simpati. Mujur pasangan suami isteri itu melayan mereka...
