Hurmm...Sukar juga nak pilih. Mata terus rambang dihidang berbagai-bagai lukisan pelan kedai. Sebentar Tengku Aydan membelek balik design yang sebelumnya. Kenapalah banyak sangat idea budak Sara ini? Dia cuma minta satu, diberinya sepuluh lukisan.
Rancangan ini dah lama difikirkannya. Dia mendapatkan bantuan daripada Harez dan Sara untuk merealisasikan impiannya membuka kedai kucing. Dia tak suka kucing. Tapi dengan adanya kedai ini, terubat sedikit rindunya pada Hera. Isterinya pencinta haiwan kesukaan nabi itu. Memelihara kucing bukan diibaratkan hobi, namun dah menjadi kewajipan isterinya untuk merawat kucing-kucing di jalanan.
Tengku Aydan ingat lagi ketika mereka ke Genting Highlands. Banyak betul kucing liar berkeliaran di kawasan pasar dan kedai makan. Walaupun sudah dilarang untuk diberi makan, Hera tetap berdegil. Hati isterinya amat lembut. Nampak kucing sakit pun boleh menangis. Kira-kira hari ini, sudah lebih 40 ekor kucing diselamatkan wanita itu. Setelah dibawa ke klinik veterinar, kucing-kucing yang telah dirawat itu akan dihantar ke Taman Kucing, Hulu Langat.
Dalam jangkaannya, projek kafe ini akan terus dilancarkan setelah lokasi yang lebih strategik dijumpai. Dekat dengan rumah Tengku Aydan lebih baik. Bajet semuanya datang daripadanya seratus peratus. Mungkin dia akan mengambil beberapa kucing daripada taman itu semula untuk diletakkan di kafe. Selebihnya dia akan meletakkan kucing baka untuk dipamerkan.
"Aku rasa semua cantik," kata Tengku Aydan. Stylus pen diketuk-ketuk pada meja. Lagi susah daripada menjawab soalan AddMath.
"Pilih jelah satu. Mana boleh pilih semua." Suara garau keluar dari sebuah mikrofon web. Muka Harez terpancar pada skrin Google Meet, sedang elok memeluk erat pinggang isterinya.
"Betul tu. Cerewet betul!"
Tengku Aydan membuat muka seposen.
"Mestilah kena select. Bukan macam kau, selalu buat cincai-cincai," bidas Tengku Aydan sambil menjelir lidah.
"Sayang, tengok kawan awak ni." Sara dengan suara lembutnya mengadu. "Dia buli saya. Awak marah dia balik, boleh?" minta Sara. Dia tahu suaminya akan tewas dengan lagak comelnya yang mengelip-ngelip mata.
Harez senyum nakal. Tangannya naik mengelus rambut Sara yang berjurai. Sejak dia pulang dari kem, Sara makin manja dengannya. Tak boleh berjauhan sekejap.
"Awak nak saya marah Aydan?" Kening dijongket. Dipandang isteri dan rakan baiknya silih berganti. "Tapi ada satu syarat."
Sara menjuih bibir lalu mengangguk. "Apa dia?"
"Call me sayang lagi, liebling."
"Masalahnya liebling tu pun maksudnya sayang." Tengku Aydan meluat.
"Sayang..." Lembut suara Sara memanggil suaminya. Alah, senang kacang goreng sahaja mahu cairkan Harez. Beribu-ribu kali pun dia boleh panggil sayang.
Tengku Aydan buat-buat pekak. Seram sejuk pula badannya. Dia yang sudah bertahun-tahun berada dalam alam perkahwinan tak pernah seromantik pasangan sejoli itu. Atau dia yang melarang itu berlaku? Kepala diketuk. Benci dengan dirinya yang dulu bersikap dingin tak tentu pasal.
Pandang kembali pada skrin. Memerhati gelagat suami isteri yang seperti di dalam dunia sendiri. Harez masih setia menunggu apa yang dilukis jari-jemari kreatif Sara.
"Cantik tak, awak?" Diangkat tablet.
"Pretty. Like its artist."
"Berbulu aku tengok korang berdua ni. Kalau macam gini, tak siap jugalah projek ni. Dahlah, aku end dulu. Nanti bila aku dah buat decision, aku beritahu korang," kata Tengku Aydan lantas mengetik tetikus. Paparan komputer kembali menayangkan wallpaper sebelah sayap seorang bidadari yang berwarna hitam.
ANDA SEDANG MEMBACA
KALAU SUDAH TERTAKDIR | C
Romansa𝐇𝐄𝐑𝐀 𝐐𝐈𝐒𝐓𝐈𝐍𝐀. Sejak kecil, dia sedar dirinya bukan darah daging keluarga itu. Dia dan kembarnya hanyalah anak angkat, dijemput masuk ke dalam hidup keluarga Tengku Mokhtar atas dasar simpati. Mujur pasangan suami isteri itu melayan mereka...
