"AISYA SAYANG."
Aisya yang sedang berteleku di atas sejadah, tersentak di saat suara seorang wanita memanggil namanya dari arah belakang. Lantas, kepala ditoleh ke arah punca suara tersebut dan serta merta matanya membulat besar tatkala seraut wajah yang sangat dirindukan olehnya selama ini sudah menjelma.
"Ibu!" Jerit Aisya dengan gembira dan terus berlari menerpa ke arah ibunya yang turut mendepa luas kedua tangannya sebelum menarik Aisya masuk ke dalam pelukannya.
Berjuraian air mata Aisya mengalir dengan tangisan yang teresak-esak menyempitkan ruangan di dada. Dan ibunya juga turut membalas pelukan Aisya dengan tenang dan penuh kasih. Ditepuk lembut belakang badan anaknya bersama senyuman cantik yang menghiasi wajah penuh bercahaya itu.
"Jangan menangis, anak ibu. Anak ibu gadis yang kuat kan?" Pujuk Puan Khadijah.
Namun begitu, semakin kuat tangisan Aisya berlagu setelah mendengarkan pujukan dari ibunya.
"Aisya tak kuat. Aisya rindu ibu. Aisya nak ikut ibu dan ayah. Dekat sini semua orang selalu buat jahat dengan Aisya. Diorang dera Aisya, ibu. Aisya kena pukul. Aisya kena rogol. Aisya takut..."
Puan Khadijah hanya tersenyum sahaja. Dijarakkan sedikit pelukan mereka. Lalu, dagu Aisya dipagut lembut sehingga menatap ke arahnya dan mutiara jernih yang membasahi wajah anak gadisnya itu diseka dengan penuh kelembutan. Manakala Aisya pula, memejamkan mata merasai sentuhan dari ibunya.
Begitu dia merindui dan mendambakan kasih sayang serta sentuhan dari insan yang bergelar ibu.
"Aisya Qhaisarah Rose." Panggil Puan Khadijah. Sebaris nama yang diberikan kepada gadis itu tepat pada tanggal kelahirannya.
"Ya, ibu." Sahut Aisya seraya mencelikkan kelopak matanya semula.
"Allah tak akan uji hamba-Nya melebihi kemampuan hamba-nya itu. Allah tahu Aisya kuat. Jadi, sebab itu Allah uji Aisya. Dia nak lihat sejauh mana kesetiaan Aisya kepada Dia apabila diturunkan ujian itu kepada Aisya. Dan Dia juga dah berjanji, untuk setiap hamba-Nya yang sentiasa taat dan tidak pernah melupakan-Nya, akan mendapat ganjaran yang istimewa. Iaitu, syurga dan kebahagiaan. Aisya percayakan dengan janji Allah?"
Perlahan, Aisya mengangguk. "Aisya percaya, ibu. Tapi ujian ini terlalu sakit untuk Aisya tanggung seorang diri. Disebabkan ujian ini jugak, Aisya kotor. Aisya dipandang hina. Aisya diperlakukan seperti binatang. Begitu jijik sekali ke diri Aisya ni ibu? Begitu hinakah Aisya, ibu? Adakah Aisya hina di mata Allah? Sehingga Aisya sendiri jijik dengan tubuh Aisya!"
Anak mata Aisya mengembang besar. Air mata yang tadinya sudah berhenti mengalir kembali menuruni lekuk pipinya.
Namun, Puan Khadijah kekal bersama senyuman tenangnya. "Tak sayang. Allah tak pernah jijik dengan Aisya. Sebab apa ibu cakap Allah tak pernah jijik dengan Aisya? Sebab Allah masih beri peluang untuk Aisya bersujud dan meminta kepada-Nya. Ibu juga tahu ini bukan kehendak Aisya. Ibu juga sedih melihat keadaan Aisya. Tapi, ibu sentiasa meminta agar Allah hadirkan seseorang untuk sembuhkan kesakitan di hati anak ibu. Seseorang yang akan menjadi pelindung Aisya. Yang akan membahagiakan anak ibu. Jadi, Aisya pun tak boleh berputus harapan dengan Allah. Ya sayang?"
"Aisya tak nak orang lain. Aisya cuma nak ibu dan ayah. Aisya dah tak nak sakit lagi. Tolong, bawa Aisya dengan ibu sekali..." Bergetar dan sayu sekali rayuan itu dituturkan.
"Belum tiba waktunya lagi untuk Aisya bersama ibu dan ayah. Sampai masanya kelak, Aisya akan dapat bersama ibu dan ayah. Tapi sekarang adalah waktu untuk Aisya bahagia sebab Allah dah hadirkan pelindung untuk Aisya. Pelindung yang akan merawat segala luka di hati Aisya dan yang akan membimbing anak ibu sehingga ke taman firdausi. Cuma satu sahaja yang ibu minta. Bukakan pintu hati kamu untuk dia. Terima dia dan saling melengkapi kekurangan diri masing-masing."
YOU ARE READING
𝐌𝐫𝐬.𝐑𝐢𝐲𝐲𝐚𝐝𝐡 𝐙𝐚𝐲𝐲𝐡𝐝𝐢𝐭𝐡 : 𝐇𝐢𝐬 𝐋𝐞𝐠𝐚𝐥 𝐖𝐢𝐟𝐞 [✓]
RomanceSeason 2 of Mrs.Riyyadh Zayyhdith : His Secret Wife "Jangan ganggu saya lagi! Saya tak kenal encik!" -𝐀𝐈𝐒𝐘𝐀 "Flower, please. Bagi hubby peluang. Hubby betul-betul dah berubah. Hubby ikhlas cintakan flower. Demi Allah." -𝐑𝐈𝐘𝐘𝐀𝐃𝐇 "Jangan...