🌹ISTIMEWA TERAKHIR

12.3K 693 176
                                    

TATAPAN bengis Rayden jelas mengubah suasana di ruang menunggu itu.

Melihat wajah Riyyadh sahaja sudah membakar hati tuanya. Lalu tidak semena-mena pipi kanan lelaki itu terteleng ke arah kiri ketika buku limanya menyinggah tanpa amaran. 

Safiyah memejam mata erat. Memeluk kemas cucu-cucunya yang mula menangis melihat amukan Rayden yang semakin tidak terkawal. Melepaskan tumbukan demi tumbukan tanpa menghiraukan mata-mata yang sudah mula memandang ke arah mereka.

Seorang doktor lelaki pertengahan usia bergegas ke arah mereka sambil menahan Rayden dengan erat.

"Ray, sabar. Ini hospital. Ramai yang tengah pandang." Doktor Noah menarik Rayden menjauhi Riyyadh dengan pantas. Tugasnya bukan hanya sebagai seorang sahabat, tetapi di atas sifat kebapaan yang sudah menganggap Riyyadh sebagai anaknya juga.

"Aku tak nak tengok muka budak tak guna ni lagi! Suruh dia berambus dari sini! Aku tak ada anak macam dia!" Dia yang mahu mara ke arah Riyyadh lagi ditahan kemas oleh Noah.

"Ini anak kau! Sebesar mana pun salah dia, pertalian antara kau dan dia tak akan pernah terputus. Kau tak boleh ikutkan baran, Ray. Jangan sampai penyesalan yang akan kau dapat nanti."

Rayden menumbuk dinding di tepi. Mata hazel itu memanah garang pada Riyyadh yang sudah terduduk lemah di atas lantai sambil bermandikan darah pada wajahnya.

"Kau kata aku terlalu ikutkan baran?! Budak tak guna tu yang terlalu ikutkan baran dia! Disebabkan baran dan cemburu dia yang bodoh tu, hidup menantu aku hancur! Hancur sehancurnya, Noah!"

Suasana hening. Terhenyak dengan kata-kata Rayden yang kini mengalirkan air mata. Riyyadh juga tertunduk tidak berdaya. Mengalirkan air mata tanpa suara. Memaksa jiwanya agar kuat dan tabah seperti Aisya. Namun, kekuatannya terhakis.

"Aisya adalah sebaik-baik isteri dan menantu. Aku dan Fiya sayang dia macam anak kami sendiri. Kami cuba bagi kasih sayang sebagai orang tua, tapi budak ni gagal bagi kasih sayang sebagai suami. Kau lukakan hati dia lagi, Iyad. Kau ulang perkara yang sama. Kenapa kau masih tak berubah?"

"Kau bunuh bakal cucu aku. Kau juga dah bunuh jiwa Aisya. Kau paksa dia untuk jalankan tanggungjawab sebagai isteri. Tapi kau sendiri gagal untuk jalankan tanggungjawab sebagai suami."

Esak tangis Riyyadh bersenandung sayu. Memutar kembali satu per satu dosanya kepada Aisya.

"Seteruk-teruk aku dulu, aku tak pernah ulangi kesilapan yang sama pada Mummy kau. Sebab aku sedar betapa besarnya pengorbanan dia pada kita semua..." Wajah yang basah dikesat kasar. Menghela nafas yang berat untuk dilepaskan.

Pandangan Rayden menghala ke arah Safiyah. Meminta kekuatan dari sang isteri yang begitu teristimewa di hati. Sebaik sahaja mata mereka bertemu, rasa berat di hati semakin memaksa air mata untuk terus mengalir.

"Aku dah gagal...aku gagal bagi kau didikan agama yang secukupnya. Aku kecewa dengan kau..."

Riyyadh menggeleng laju. Memeluk erat kaki Rayden dengan esakan yang semakin mengganas.

"Daddy tak gagal...semuanya berpunca dari Iyad sendiri...Iyad yang gagal sebagai anak, suami dan bapa..." Dadanya ditepuk kuat. Berkali-kali bagai memaksa segalanya diluahkan.

"Iyad abaikan Aisya dan anak-anak, Iyad paksa Aisya tanpa pedulikan rasa sakit yang dia tanggung, Iyad pukul Aisya, Iyad tinggalkan Aisya untuk uruskan anak-anak seorang diri, Iyad tengking anak-anak, Iyad hampir curang pada Aisya. Iyad...Iyad yang salah..."

Safiyah menangis semahunya. Mendakap cucu-cucunya yang turut menangis seolah memahami luahan Riyyadh.

"Iyad cemburu dengan anak-anak sendiri. Anak-anak rapat dengan Aisya sampai Iyad rasa yang Aisya dah tak ada masa untuk Iyad. Semua itu sebab Iyad terlalu cintakan Aisya. Iyad hanya mahukan Aisya. Bukan sebab nafsu ataupun untuk tebus dosa yang lalu, tapi sebab Iyad dah cinta mati pada Aisya..."

𝐌𝐫𝐬.𝐑𝐢𝐲𝐲𝐚𝐝𝐡 𝐙𝐚𝐲𝐲𝐡𝐝𝐢𝐭𝐡 : 𝐇𝐢𝐬 𝐋𝐞𝐠𝐚𝐥 𝐖𝐢𝐟𝐞 [✓]Where stories live. Discover now