🌹ISTIMEWA AIDILFITRI (2)

16.3K 929 475
                                    

DINDING dapur menjadi tempat Aisya melepaskan penat. Bersandar lelah dengan kaki yang bersimpuh. Rasa tidak selesa yang mencucuk isi perut membuatkan mata Aisya terpejam rapat. Sejak waktu berbuka tadi, hanya segelas air dan sebiji kurma yang mengisi ruangan perutnya. Tiada hidangan yang sempat disediakan kerana tangisan empat anak kecilnya yang bersabung.

Perlahan-lahan titisan air mata Aisya mengalir. Mata yang cantik itu tidak lagi bersinar bahagia. Kehadiran Asyman menceriakan naluri keibuannya namun turut tercalar dengan kedinginan dari sang suami.

Dipujuk hatinya yang sedang rapuh. Mungkin kepenatan Riyyadh mencari rezeki buat mereka sekeluarga jauh bandingan dari rasa penatnya di dalam menguruskan anak-anak. Setia yang disemai dipegang kukuh. Ujian Tuhan akan sentiasa hadir ketika kebahagiaan sedang memeluk mereka.

Air mata itu semakin lebat. Mengalirkan rasa sedih yang begitu hebat. Menggoncang jiwa yang sudah tidak berdaya untuk menerima duka lagi.

Janji Riyyadh yang diukir dahulu dipersoalkan di dalam hati yang bisu. Bukankah hubungan mereka bersatu atas cinta yang terlafaz? Namun, mengapa kini terasa hanya dirinya sahaja yang sentiasa mencintai? Benarkah alasan anak-anak menjadi asbab cinta mereka terhakis?

Tuhan...jauhi kami dari badai yang akan meruntuhkan cinta ini...

Berikan kekuatan kepada kami, ketabahan kepada kami agar dapat meniti titian yang sedang menghalang langkah kebahagiaan kami ini.

Tangisan sayu itu menghanyutkan Aisya. Sehingga ada satu tangan kecil yang muncul menyeka linangan air mata pada wajahnya.

Kelopak basah itu terbuka. Kabur untuk seketika namun terang setelah wajah suci sang anak menghiasi pandangan.

"Ibu..." Suara Arwa juga bergetar. Sebak ketika melihat ibunya yang sedang menangis bersendirian di dapur.

"Ya, sayang?" Badan si kecil itu ditarik lembut ke arahnya. Didudukkan di atas riba sambil mengusap rambut harum sang anak.

"Ibu, kenapa nangis? Ibu marah Awa dengan adik-adik ke? Awa dan adik-adik syusahkan ibu ke?" Wajah lembut Aisya direnung. Mencari jawapan yang membelenggu hati kecilnya sejak amukan Riyyadh pada petang tadi. Walaupun masih kecil, namun akalnya cukup bijak untuk mencerna apa sebenarnya yang berlaku.

Tepi dahi Arwa dikucup lembut. Aisya menggelengkan kepala dan mengukirkan satu senyuman cantik untuk meredakan kegusaran di hati Arwa.

"Tak, sayang. Ibu nangis bukan sebab marahkan anak-anak ibu. Arwa dan adik-adik tak pernah susahkan ibu. Malah, ibu sangat bersyukur sebab Allah kurniakan empat budak kecik yang comel dan pandai buat ibu. Penyeri hidup ibu dan pelengkap jiwa ibu."

"Tapi, ibu nangis. Awa tak uke nengok ibu nangis. Nanti ibu akit..." Mulut merah yang petah berkata-kata itu tersebik-sebik menahan tangisannya.

"Okay, ibu janji tak nangis dah, hmm? Tapi, Arwa pun tak boleh nangis. Arwa kan gadis yang kuat?"

"Ibu janji?" Jari kelinking yang bulat itu terpacak di hadapan Aisya. Menanti sehingga disambut.

"Ya, sayang. Ibu janji." Jari mereka bertaut. Akhirnya, Arwa membuahkan senyuman. Melihat penawar ketenangan jiwanya itu, resah dan gundah di hati Aisya lesap dibawa pergi.

Anak itu adalah amanah. Bahkan penawar bagi segala duka.

Arwa bangun. Menarik tangan Aisya untuk turut bangun mengikutnya. Aisya hanya menurut sambil tidak lepas dengan senyuman.

Ruang makan dituju. Kerusi ditarik oleh Arwa. "Ibu duduk sini tau. Nanti Awa datang."

"Arwa nak pegi mana?" Tanya Aisya lalu tetap melabuhkan punggung di atas kerusi tersebut.

𝐌𝐫𝐬.𝐑𝐢𝐲𝐲𝐚𝐝𝐡 𝐙𝐚𝐲𝐲𝐡𝐝𝐢𝐭𝐡 : 𝐇𝐢𝐬 𝐋𝐞𝐠𝐚𝐥 𝐖𝐢𝐟𝐞 [✓]Where stories live. Discover now