"Kanser puan dah berada di tahap tiga. Puan masih nekad tak nak teruskan rawatan?"tanya doktor di hadapan aku ini. Aku mengangguk perlahan.
"Saya sayang anak ni, doktor. Saya tak nak apa-apa terjadi pada anak saya kalau saya teruskan rawatan,"
"Saya faham, puan. Saya tetap berharap puan bersetuju untuk teruskan rawatan. Puan boleh melahirkan bayi lebih awal supaya rawatan pun boleh diawalkan.Apa pun, kalau puan bersetuju, puan boleh maklumkan pada saya," pesan doktor itu lagi.
Sel kanser di dalam badanku ini semakin merebak. Aku kerap sakit kepala, muntah dan sejak bulan lepas, aku diserang sawan. Mujur ada Kak Nor yang sedar dengan keadaan aku ketika kali pertama diserang sawan bulan lepas.
Penglihatanku juga kabur. Salah satu kesan kanser yang aku alami.
Betulkah tindakan aku untuk tidak meneruskan rawatan? Aku juga takut sekiranya aku tidak mampu menjaga Hana dan bayiku yang bakal lahir ini dengan keadaan aku yang lemah.
Atau mungkin juga, aku sudah tidak mempunyai masa yang banyak untuk bersama mereka.
"Ibu, hidung ibu berdarah,"
Hana memberi isyaraat ke arah hidungku yang berdarah. Aku segera berlalu ke meja kecil di ruang tamu kecil rumah ini. Ada kotak tisu dan sehelai tisu aku ambil. Tisu itu kemudiannya aku letak ke hidung.
Selepas beberapa minit, aku membuang tisu tersebut dan pergi ke bilik air untuk membersihkan hidungku. Usai mencuci hidung, aku menatap diriku di cermin.
Pucat. Kurus seperti tinggal kulit dan tulang. Dada yang berombak laju tanda nafas yang mengah. Kening yang sudah menipis serta kepala yang botak akibat rawatan kemoterapi sebelum ini.
Bolehkah aku mengatakan ini sebagai pengorbanan aku sebagai seorang ibu demi melahirkan zuriatnya ke dunia? Sesungguhnya aku berharap, pengorbananku ini menjadi asbab untuk aku ke syurga-Nya.
Kanser yang sudah berada di tahap tiga. Tiada apa lagi yang mampu aku harapkan sedangkan aku yang mahukan jalan ini.
Siang tadi semasa aku dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai dengan check-up kehamilan, aku terlalu di hadapan sebuah rumah anak yatim.
Aku tidak tahu apa yang mendorong aku ke situ sehingga aku memasuki kawasan itu. Pengawal keselamatan di situ menunjukkan aku arah ke pejabat utama.
Aku meminta dua helai borang untuk di bawa pulang. Borang kemasukan ke rumah anak yatim.
Keresahan aku tentang kehidupan Hana dan bakal adiknya mungkin menjadi punca aku berbuat demikian. Aku tidak tahu berapa lama lagi masa yang aku ada di dunia ini.
Jika aku tidak berjaya diselamatkan, bagaimana dengan Hana dan bayi aku? Siapa yang akan menjaga mereka? Akan cukupkah makan minum dan pakaian mereka? Di mana mereka mahu berteduh?
Aku seakan-akan paranoid. Aku tidak mahu menyerahkan anak-anakku kepada sesiapa pun untuk menjaga mereka. Aku risau jika tiada siapa yang mahu menerima mereka.
Selama ini, Hana dibenci atas status anak itu sendiri dan juga dikaitkan dengan status aku yang turut sama lahir sebagai anak luar nikah. Sudah tentu nanti bayi kecil dalam rahimku ini akan terpalit sama dalam keadaan itu.
Lima pasang baju bayi aku masukkan ke dalam bakul. Ada juga berisi dengan kelengkapan bayi yang lain. Yang paling aku suka, alatan mengait topi bayi.
Siap memilih barangan yang mahu dibeli, aku menuju ke kaunter untuk membuat bayaran.
Memang rezeki aku hari ini, kedai ini membuat promosi untuk barangan bayi. Tidak banyak perbelanjaan aku keluarkan untuk hari ini. Ada rezeki lebih, aku akan ke sini semula untuk membeli keperluan lain.
"Abang, sayang suka sangat dengan jersi Manchester ni. Boleh tak sayang nak ambil sehelai untuk baby kita?"
Sepasang suami isteri sedang membeli belah juga di sini. Tidak dinafikan, aku juga tertarik dengan jersi yang disebutkan wanita itu tadi. Sebagai seorang yang meminati pasukan bola sepak Manchester, aku berminat untuk memiliki jersi itu buat anak aku.
Aku menggeleng perlahan lalu menghela nafas berat. Wang aku tidak cukup untuk membeli jersi tersebut. Lain kali saja.
YOU ARE READING
Hingga Akhir Nafasmu(COMPLETE)
RomanceDalam hati Safa, hanya tertulis nama Adam. Adam yang sentiasa menyebelahinya di saat dia dicaci orang di sekeliling. Safa tak sedar diri. Itulah kata orang tentang dia. Dia cuma anak luar nikah yang dibela ibu dan ayah angkat. Setiap layanan Adam me...