"Safa, makan banyak sikit. Umi tengok kamu kurus sangat ni," kata umi.
Umi sampai ke sini sejak jam 5.30 petang tadi. Sekarang, kami semua sedang duduk di ruang tamu, beralaskan tikar menikmati makan malam yang Adam bungkuskan dari restauran siang tadi.
"Betul tu, Safa. Walid tengok kamu macam tak sihat aje. Alahan mengandung ke?" walid pula bertanya.
"Ya, walid. Safa alahan. Tak boleh nak makan banyak sangat," ujarku.
"Tak apa, nanti duduk dengan umi dan walid aje dekat KL nanti. Umi masakkan kamu lauk untuk orang mengandung. Kamu kena cukup makan supaya ada tenaga wantu bersalin nanti," ujar umi.
Balik KL? Aku memandang Adam disebelahku. Dia tak cakap apa-apa pun tentang balik ke KL.
Macam mana aku mahu menolak permintaan umi untuk aku pulang semula ke rumah mereka? Tak sampai hati pula aku mahu menolak. Tapi, aku betul-betul tidak bersedia untuk pulang bersama mereka.
"Safa pergi duduk dengan dorang ya. Kak Auni tolong kemas dapur kejap," kata Kak Auni.
Umi pula dari tadi memanggil aku agar duduk di depan sewaktu aku mahu mengemas dapur. Kak Auni menegur aku yang nampak tak bermaya sejak mereka tiba ke sini petang tadi.
Aku menafikan tanggapan mereka yang aku sakit. Memanglah, kalau nampak lembik sahaja, manalah orang tak akan ingat aku ni sedang kesakitan.
Umi dan walid sedang merancang untuk bersiar-siar di sekitar Johor sebelum pulang. Mereka sedang berbual dan bergelak ketawa.
Aku kemudian meminta diri sebentar untuk masuk ke bilik. Adam berpesan, jika mahu tidur, tidur sahaja.
Aku merebahkan diri buat seketika sewaktu berada di dalam bilik. Pinggang yang semakin hari semakin memberat membuatkan aku tidak betah untuk duduk lama-lama.
Adam sepertinya sudah tekas mahu membawa aku pulang ke KL. Dia tidak mahu lagi mendengar bantahan dari aku. Ini yang serba sedikit membuatkan aku rasa marah pada Adam.
Dalam masa yang sama, aku juga tidak mahu menghampakan hati orang tua umi dan walid. Mereka sudah merancang pelbagai perkara demi menyambut kelahiran cucu mereka yang sedang aku kandungkan ini.
Benarkah mereka mahu aku dan anak-anakku kembali semula? Seketika kemudian, aku teringat akan borak kemasukan ke rumah anak yatim yang telah siap aku isi beberapa minggu yang lalu.
Kerana kesihatan aku yang semakin merosot, aku membuat keputusan untuk menghantar anak-anakku ke rumah anak yatim jika apa-apa berlaku terhadapku selepas ini. Kak Nor tahu akan hal ini kerana aku meminta bantuannya. Kak Nor memarahi aku atas tindakan aku ini.
Aku tidak mahu berharap pada sesiapa untuk menjaga mereka. Aku tidak mahu anak-anak aku dikatakan menyusahkan orang lain. Kejadian lepas membuatkan aku sedikit paranoid dengan orang sekeliling.
Zaman kecilku dan Hana juga tidak seindah kanak-kanak yang lain. Aku dan Hana yang lahir sebagai anak luar nikah, yang namanya berbintikan Abdullah, menjadi hinaan dan cacian orang sekeliling.
Dulu, ibu sering berkata yang aku menyusahkan dia. Adik beradik angkatku yang lain juga. Aku hidup membanting tulang demi membalas jasa mereka.
Satu-satunya tempat aku bergantung harap adalah Adam. Adam yang menggelarkan dirinya sebagai abang yang sangat baik dan melindungi aku setiap masa.
Sayang aku pada dia akhirnya membuahkan bibit cinta. Aku pada waktu itu berharap Adam akan menerimaku sebagai seorang wanita dalam hidupnya.
Namun, aku membuat keputusan untuk memendamkan cintaku kerana Adam mengakui yang dia mencintai Kak Laila. Masakan aku mahu menjadi penghalang cinta mereka, sedangkan Kak Laila merupakan kakak yang baik padaku?
Tak sangka, rupanya Kak Laila dan Abang Riyadh berdendam pada aku dan Adam selama ini. Dendam mereka yang menghancurkan hidupku lumat.
Adam membenci aku. Aku dianggap sebagai perancang kepada kejadian malam itu. Apabila lahir zuriat kami, Hana, Hana pula dibenci Adam dan orang sekeliling kami.
Atau, adakah Adam hanya menerima aku kini kerana aku mengandungkan anaknya yang bakal berbin atau berbintikan namanya? Jadi, dia hanya berpura-pura menerima Hana dan aku?
Astaghfirullahalazim, tak sepatutnya aku mempunyai pemikiran begitu. Aku tidak mahu menambah dosa angkara berburuk sangka pada orang lain. Adam juga masih suami aku.
YOU ARE READING
Hingga Akhir Nafasmu(COMPLETE)
RomanceDalam hati Safa, hanya tertulis nama Adam. Adam yang sentiasa menyebelahinya di saat dia dicaci orang di sekeliling. Safa tak sedar diri. Itulah kata orang tentang dia. Dia cuma anak luar nikah yang dibela ibu dan ayah angkat. Setiap layanan Adam me...