s e p u l u h

64 26 0
                                    

Bahu Maya terjungkit bila rotan buluh yang tebal itu dipiat ke meja. Tidak pasal-pasal Maya terimbau kembali zaman persekolahan dahulu.

"Do-re-mi-fa-so-la-ti-doooo." Satu persatu not yang tercatat di buku muzik itu disebut kembali oleh Miss Tan, guru muzik terkenal di kota metropolitan Kuala Lumpur.

"Do. Re. Mi. Fa. So. La..."

"Salah! Ulang balik. Nada kau tak betul. Ulang balik. Guna suara perut jangan guna suara tekak." Miss Tan bercekak pinggang.

Jenuh mengajar Maya yang kerap melakukan kesalahan serupa. Tang mana kaedah membezakan suara perut dengan suara tekak pun Maya sudah lupa caranya.

"Kau tarik nafas biar perut kau kembung. Lepaskan balik setiap kali kau cakap do re mi." Suara guru muzik, Miss Tan lebih tegas berbanding tadi. Barangkali dia sudah berputus asa untuk memberi tunjuk ajar asas pengenalan muzik kepada Maya.

Maya menyedut hingus ke dalam hidung. Rasa mahu menangis, rasa ingin meraung, semua ada. Sampai hati Encik Naseem daftarkan kelas muzik Maya dengan guru yang garang.

"Do Re Mi Fa So La Ti Dooo." Cubanya lagi. Percubaan yang terakhir kali membuatkan Miss Tan mengeluh berat sambil menggelengkan kepala.

"Minggu depan make sure datang awal." Miss Tan menitip pesan sebelum wanita awal 40-an itu meninggalkan Maya sendirian di bilik muzik.

Di muka pintu, ada tubuh tinggi lampai yang menyapa Miss Tan namun guru muzik itu cuma membalas dengan pandangan pasrah.

"Susah ke?" Naseem menegur Maya.


Duduknya dilabuhkan di atas sofa Chesterfield rona kelabu. Maya yang tercebik menahan tangis itu membuatkan Naseem rasa geli hati.

Dia sudah menjangkakan perkara ini sebenarnya. Miss Tan cukup ditakuti kerana ketegasannya dalam memberi tunjuk ajar. Bukan sedikit pelajar muzik bahkan artis yang ingin mempelajari ilmu muzik daripada Miss Tan. Walaupun wanita berbakat itu agak tegas namun tunjuk ajar yang diberi sangat memberangsangkan.

"Tak boleh ke saya nak tukar cikgu muzik? Saya takut Encik Nas. Miss Tan garang sangat. Saya rasa macam nak terkucil setiap kali masuk bilik ni." Rungut Maya.

Dia tidak sanggup belajar dan masuk kelas ini. Setiap kali melangkah masuk ke bilik muzik, semua jenis perasaan berkunjung. Gemuruh, berdebar-debar, gelisah, khuatir, dan yang paling dia alami ialah takut.

"Memang Miss Tan setiap kali mengajar akan bawa rotan. Jangan risau la. Dia takkan rotan badan orang. Belajar muzik ni seronok tahu tak."

"Encik Nas saja yang rasa seronok. Saya ni macam kena azab." Maya menunjukkan tangannya yang terketar-ketar dari tadi. Dia langsung tidak menyorok rasa takut yang menjengah di ruang hati.

Tindakan lucu Maya itu mengelikan hati Naseem. Spontan jejaka kacukan itu ketawa terbahak-bahak. Naseem bergerak mendekati piano jenama terkenal, Yamaha. Papan nada hitam putih itu diirenung lama seraya jemarinya mula menari menekan satu kekunci.

"Dengar tak? Piano ni ada tiga oktaf. Kalau saya tekan yang ni...," not C ditekan.

"Doo. Perasan kan dari bunyi not ni. Jadi awak kena ikut seberapa lama saya tekan not c. Do-re-mi ni C Major Scale yang paling senang dan asas sebelum awak belajar muzik lain. Come, sit here." Pelawa Naseem.

Dia memberi ruang untuk Maya duduk di sampingnya. Berkongsi bangku dan degupan jantung yang seirama.

"Now let's try one by one. C Major Scale not dia dekat tengah-tengah keyboard. Try tekan." Not CDEFGABC itu ditekan membunyikan nada penuh do-re-mi.

PopstarWhere stories live. Discover now