Mainan instrumen yang sering kali bergema di rumah agam ini seakan menghilangkan rasa sunyi yang mengisi ruang hati pemiliknya.
Naseem berdiri memandang potret keluarga yang tergantung di dinding. Potret yang berisi wajah- wajah keluarga barunya. Wajah ibu, ayahanda, dia dan Tengku Nizareen. Senyuman yang terbias di setiap sudut muka di dalam potret itu hakikatnya tidak sama dengan realiti.
"Nas?" Seruan daripada Puan Nailah membuatkan Naseem berpaling. Figura seorang ibu, tempat syurga seorang Naseem yang sedang tersenyum mendepakan tangan.
"Tiga minggu kamu tak balik rumah, risau ibu. Call pun jarang. Bertuah sungguh." Bebelan Puan Nailah cuma disambut dengan tawa. Rasa sedikit bersalah kerana kurang meluangkan masa dengan ibunya.
"Sorry ibu. Nas busy sikit dengan filming filem haritu." Ujar Naseem sambil merungkaikan pelukan.
Memang tidak dinafikan penggambaran filem 'Arungan' sangat menuntut masa yang lebih lama berbanding filem lain kerana beberapa perubahan adegan dan skrip yang perlu sesuai dengan kehendak FINAS. Rombakan yang dilakukan dalam filem itulah menyebabkan Naseem terpaksa bermalam di pejabat dan set penggambaran.
"Ibu faham Nas busy. Tapi makan minum tu jaga. Ni dah makan ke? Siti ada masak kurma ayam."
"Dah. Nas makan dengan kawan tadi. Ayahanda dah balik ke ibu? Nas ingat nak jumpa ayahanda kejap."
"Ayahanda outstation ke Bali, bertolak semalam. Esok baru balik. Ibu malas pulak nak ikut sebab pokok bunga ibu sampai petang tadi." Oceh Puan Nailah.
Bukan main dipujuk oleh Tengku Ismail supaya datang ke Bali beriringan tetapi mengenangkan pokok bunga yang ditempah seminggu yang lalu akan sampai pada hari yang sama mereka berada di Bali, menyebabkan Puan Nailah lebih memilih duduk di rumah.
"Okey tak apalah. Esok la kot Nas jumpa ayahanda. Goodnight ibu." Sempat Naseem melabuhkan ciuman pada pipi si ibu.
"Goodnight. Jangan lupa baca doa tidur." Pesan Puan Nailah seolah-olah Naseem masih di umur remaja seperti dulu.
"Okey ibu." Naseem membalas ringkas selari dengan setiap langkah yang diambil untuk mendaki anak tangga.
Rumah agam mewah tiga tingkat ini jelas semakin sunyi dan tidak seceria dulu. Mungkin semuanya berubah bila tiada lagi bayang-bayang Tengku Nizareen.
Seakan terpukau entah kenapa kaki Naseem terus menapak sehinggalah telapak kakinya terhenti di depan sebuah bilik kosong. Di muka pintu bilik masih tergantung bingkai kayu yang bertulisan 'Nizareen's Room. Knock The Door!'.
Tangan diangkat ingin mengetuk pintu tetapi sesaat kemudian dia berubah fikiran. Sekali ketukan bahkan sejuta kali pun pintu ukiran kayu jati itu diketuk, Naseem tahu bahawa pintu bilik Tengku Nizareen takkan dibuka dari dalam oleh tuan empunya bilik itu. Takkan! Semuanya kerana Tengku Nizareen sudah tidak berkongsi kehidupan di alam yang sama dengan Naseem.
Tombol pintu itu dipulas. Semerbak bauan sabun lantai memenuhi ruang. Walaupun bilik Tengku Nizareen tidak digunakan, Tengku Ismail tetap mengarahkan Siti selaku pembantu rumah untuk membersihkan bilik ini.
Tengku Nizareen adalah permata yang paling disayangi. Selalu dimanjakan oleh Tengku Ismail kerana gadis itulah satu-satunya pewaris keturunan Tengku Ismail. Sejak kematian Tengku Izaleah, Tengku Nizareen berubah murung.
Sebagai bapa yang merisaukan keadaan anak kesayangannya yang tidak mendapat kasih sayang seorang bonda, Tengku Ismail membuat keputusan untuk menikahi balu yang turut mempunyai seorang anak iaitu dirinya. Penyatuan Puan Nailah dan Tengku Ismail menjadi detik pertemuan pertama antara Naseem dan Tengku Nizareen.
Naseem menarik nafas panjang dan menghembuskannya kembali. Sekadar mencuba mengumpul kekuatan sebelum dia melangkah masuk ke ruangan bilik itu. Perkara pertama yang dia lihat adalah dekorasi merah jambu yang menjadi kesukaan gadis-gadis seusia Tengku Nizareen sewaktu gadis itu masih ada. Birai katil menjadi tempat dia melabuhkan duduk.
Patung Pink Panther dicapai lalu dibawa ke dalam pelukan. Patung ini merupakan hadiah pertama yang dia beri kepada Tengku Nizareen sempena hari lahir gadis muda itu yang ke-16. Terkenang-kenang wajah manis Tengku Nizareen yang menjerit kegembiraan apabila dia pulang ke rumah dengan membawa patung.
Tengku Nizareen yang cantik, Tengku Nizareen yang comel. Wajah dan telatah manja Tengku Nizareen masih bermain-main di ruang mata. Rindu. Naseem merindukan sosok yang bernama Tengku Nizareen.
Walaupun hakikatnya Tengku Nizareen tidak ada hubungan sedarah dengannya tetapi gadis itu begitu istimewa. Tengku Nizareen sangat istimewa sehinggakan sampai sekarang hanya nama itu yang Naseem letakkan di puncak tertinggi dalam hatinya.
'I should've hugged you tighter the last time I saw you.' Bisikan itu cuma mampu terluah di perdu hati. Perasaan yang dia simpan selama membesar dengan Tengku Nizareen. Perasaan yang dianggap cuma sekadar cinta monyet itu rupanya masih utuh sehingga kini. Seribu kali dicantas perasaan yang merimbun, semakin kuat akarnya mencengkam ke dalam tanah.
Matanya beralih memandang kabinet di sisi katil. Laci yang terbuka itu seakan menyeru Naseem untuk menyelongkar isi dalamnya. Patung yang dipeluk tadi diletakkan berdekatan bantal. Dia menyorong isi laci sehingga menampakkan keseluruhan isi ruangan laci itu.
Sebuah buku tebal dengan rona percikan merah jambu menghiasi kulit buku menarik perhatian Naseem dan tanpa teragak-agak buku itu diambil.
Helaian demi helaian diselak. Buku yang dipegangnya ternyata memuatkan diari dan kisah dari sanubari terdalam Tengku Nizareen. Bibir Naseem tersungging senyuman.
"Reen, abang pinjam buku ni ye." Ucapnya seakan Tengku Nizareen akan memberi keizinan.
Boleh jadi ada rahsia Tengku Nizareen yang dia tidak tahu. Naseem rasa mungkin malam ini dia akan bersengkang mata untuk menelaah diari Tengku Nizareen.
Dia meniarap di atas katil cuba mencari kedudukan selesa sebelum membaca diari milik Tengku Nizareen. Satu-persatu halaman dibaca. Ada yang kelakar, ada yang menjentik rasa sedih kerana Tengku Nizareen menceritakan perasaannya selepas kehilangan bonda tersayang.
Halaman seterusnya dibelek sehinggalah jemari Naseem terhenti. Buku diari yang bertulisan kemas dan dihiasi pelekat comel berubah kepada contengan gelap yang seakan menceritakan gelojak perasaan si pemiliknya.
Ada beberapa ayat yang tidak jelas tulisannya dibaca dan semuanya bertarikh 3 bulan sebelum kematian Nizareen.
"Kalau Reen mati, ayahanda, ibu dengan abang akan marah Reen ke? Tapi Reen dah tak sanggup nak hidup lagi. Reen nak mati. Reen tak layak hidup atas dunia ni. Dia cakap hidup Reen terlalu sempurna. Dia kata kalau Reen mati, baru hidup dia akan tenang."
Gigi gerahamnya diketap. Cerita apa yang dia tidak tahu sebenarnya? Siapa yang sanggup mengucapkan kata-kata itu kepada Tengku Nizareen kesayangannya?
Ayat demi ayat yang tertulis seterusnya tidak sanggup dia baca. Naseem tidak pernah tahu sejauh mana penderitaan Tengku Nizareen sehinggalah dia menemui diari ini. Cerita duka yang Tengku Nizareen sengaja sembunyikan dari pengetahuan dia, ayahanda dan ibu. Kisah derita yang akhirnya, Tengku Nizareen mengambil keputusan untuk membunuh diri di lautan.
Malam ini, Naseem bersumpah siapa pun yang menjadi penyebab Tengku Nizareen menderita perlu mendapat balasan setimpal dengan apa yang gadis kesayangannya rasakan.
🪸
Selamat membaca.
Vote and comment. Bai.
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.