'Kemunculan Pelakon Baru? Siapa sebenarnya Maya?'
Tajuk pada majalah hiburan itu dibaca berulang kali. Marina bimbang dia tersilap. Muka surat lima yang tertera pada nota kaki ruangan majalah itu segera diselak laju. Terpampang sahaja halaman yang dikehendaki, kuat rengusan tidak puas hati Marina dilepaskan.
Tak guna! Tak guna! Adik dia yang hodoh dan mendapat gelaran si buruk rupa mendapat peluang untuk ditemu ramah oleh wartawan bahkan wawancara mereka turut dimuatkan dalam majalah.
Marina mula merasakan tidak adil. Dia yang terkenal kerana menyertai rancangan pemilihan Dewi Remaja pun tidak pernah diwawancara sebegini.
Seperti biasa apabila Marina tidak mendapat apa yang dimahukan, dia akan mengatur seribu cara supaya dia akan miliki jua kemahuannya. Merengek kepada Encik Mansor dan Puan Majihah pun tidak ke mana. Ibu bapanya bukan mengenali sesiapa dalam dunia hiburan. Tambah lagi sikap kedua-duanya yang agak kolot dan tidak mahu memajukan diri dengan melebarkan jaringan kenalan dengan rakan-rakan seusia yang berlainan industri. Nak mengharapkan kedai cenderamata dan kelab renang yang diusahakan? Entah berapalah sangat penghasilannya.
Marina gilakan populariti dan kekayaan. Dia mahu mempunyai segala-galanya. Kalau boleh, setiap hari dia ingin membeli-belah di Pavilion tanpa perlu risau akan amaun wang yang dibelanjakan. Sesekali dia teringin juga menginap di Lexis Hibiscus untuk merasai suasana hotel mewah berkelas.
"Hish mana pula orang tua ni. Kata nak jumpa aku. Ingat aku orang gaji dia ke." Rungut Marina.
Perjumpaan yang diminta oleh Datin Safya itu kelihatan tergesa-gesa. Marina sendiri tidak tahu punca kenapa wanita berpangkat itu meminta dirinya untuk datang ke salon kecantikan milik wanita tua itu.
"Hello miss, datin tunggu miss di bilik kerja beliau." Seorang pekerja salon datang menyapa Marina supaya mengikuti langkahnya.
Marina cuma menjeling dan bingkas berdiri sambil menyangkutkan tas tangan ke bahu. Langkah pekerja salon yang beruniform kemeja formal itu diikuti dari belakang.
Sampai sahaja ke bilik kerja Datin Safya, pekerja tadi mengetuk pintu. Terdengar laungan supaya mereka masuk oleh wanita yang telah berusia lebih empat dekad.
"Marina. Sorry auntie kacau masa kamu. Auntie tak sempat nak bagitahu kamu secara personal haritu yang auntie nak kita jumpa."
"It's okay auntie. Untuk auntie, Marina selalu ada masa. Oh, ada apa sebenarnya sampaikan auntie call Marina supaya kita jumpa hari ni? Auntie ada nak mintak Marina tolong apa-apa ke?" Halus dan tertib suara Marina saat berbual bersama Datin Safya. Siap dipelawa lagi jika wanita berstatus tinggi itu mahukan pertolongan daripadanya.
"Sebenarnya, auntie nak keluarkan produk baru dekat salon auntie ni. Tapi kamu tahu kan sekarang susah nak cari model untuk jadi duta? Sebab kebanyakan model yang auntie kenal, struktur muka diorang tak sesuai untuk jadi duta produk. Jadi semalam auntie tiba-tiba teringat pasal kamu. Marina ada pesona and I love your looks. Kalau Marina berminat, nak tak jadi duta produk auntie?"
Marina sudah menekup mulut tidak percaya. Akhirnya! Inilah manfaat meluaskan kenalan dengan kalangan manusia berpangkat.
"Mestilah boleh auntie! Tetapi betul ke auntie nak jadikan Marina sebagai duta? Sorry auntie, Marina terkejut sangat. Tak sangka auntie nak offer kerja macam ni dekat Marina." Marina menceceh teruja.
"Betul darling. Auntie tak tipu. Auntie yakin kalau kamu jadi duta produk auntie, mesti produk ni akan sold out dan kena restock banyak kali." Ujar Datin Safya untuk meyakinkan Marina.
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.