Kutleri sesekali berdenting kerana berlaga dengan pinggan makan menjadi bunyi latar restoran berkelas yang dikunjungi oleh mereka.
Maya diam tidak berkutik di kerusi. Buku menu di tangan masih dipegang kemas. Harga makanan dan minuman yang tersenarai dalam buku menu itu hampir mengakibatkan gadis itu sesak nafas. Maya menelan air liur yang terasa kesat.
"Je commanderai comme d'habitude (Saya akan pesan seperti biasa)." Pinta Naseem.
Selaku pelanggan setia di Restoran Trésor, dia akan memesan makanan yang sama dan para pelayan di sini juga sudah arif benar dengan preferensinya. Jika ada menu terbaru yang istimewa barulah Naseem akan menukar selera. Malahan majoriti pekerja di restoran ini juga berasal dari negara Perancis.
Maya kekal menunduk menilik buku menu di tangan. Satu lagi masalah besar! Kenapa semua menu makanan ditulis dalam bahasa Perancis? Kalau dia tersalah sebut macam mana?
"For this lady, confit de canard."
Huh? Maya mengangkat alis mata melihat Naseem yang membantunya memesan makanan.
Saat mata masing-masing saling bertatapan, Naseem memberi senyuman lebar. Bahkan mata lelaki itu turut ikut tersenyum. Manis sekali!
"Citrus Juice!" Tambah Maya. Hanya nama minuman itu yang dapat disebut dengan yakin. Berbelit lidah Melayu Maya untuk menuturkan senarai nama hidangan Perancis tersebut.
Usai mencatat pesanan, pelayan yang rapi dalam uniform rona putih meminta diri lalu meninggalkan Maya dan Naseem.
"Jangan fikir tentang harga. Saya yang belanja." Tegur Naseem yang menyedari kegelisahan gadis itu saat membaca menu.
"Te...terima kasih, Encik Nas."
"Macam mana rumah baru awak? Okey?"
"Setakat ni tak ada apa-apa masalah Encik Nas. Semua okey." Jawab Maya canggung.
"Good. Tapi lepas pendapatan awak dah stabil, awak perlu cari rumah lain. Kondominium dekat rumah saya hari tu pun okey. Lepas jadi artis awak kena pastikan area tempat tinggal awak selamat."
Maya mengangguk seperti belantuk. Kenapa ya aura kali ini sangat berbeza? Seperti mereka berdua datang untuk dating. Eh? Hish, Maya! Apa yang kau fikir ni? Maya lekas menggeleng laju mengusir khayalan yang aneh dari mindanya.
"Kenapa geleng kepala?"
Sekujur tubuh Maya drastik mengeras. Otaknya sebenarnya sudah tidak waras. Berulang-kali Maya mengutuk diri sendiri di dalam hati kerana dia berterusan bertingkah memalukan tiap kali dilihat oleh Naseem.
"Tak ada apa-apa encik." Maya tersengih.
"Maaflah sebab saya selalu bercakap tentang kerja walaupun masa kerja dah tamat. Awak tak kisah kan, Maya? I'm a bit workaholic." Luah Naseem jujur.
Ayat-ayat yang seolah-olah mempromosi diri sendiri itu menyapa gegendang telinga Maya.
"Saya tak kisah, Encik Nas. Lagipun bagus juga kalau kita gila kerja. Lagi kuat bekerja, lagi banyak duit dapat."
"Betul betul betul." Seperti Ipin dalam animasi kartun tempatan, Naseem laju mengiyakan kata-kata Maya.
"Lagi satu Maya, saya sebenarnya tak selesa sangat kalau Maya asyik panggil saya 'Encik Nas' lepas waktu kerja. Terutamanya semasa kita berdua. You can drop formalities. Just call me by my name."
Terkedip-kedip mata Maya merenung si jejaka.
"Saya rasa sedikit tak selesa untuk panggil Encik Nas dengan nama saja. I'm trying to be more professional and sets boundaries as an artist under your agency."
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.