Gaun singkat paras paha yang sering terangkat ditarik ke bawah. Langkah Maya dalam balutan pakaian itu agak terhad kerana fesyen kain yang agak sempit dan dia juga turut menyarung kasut bertumit tinggi. Ada apa sebenarnya hari ini? Maya tidak habis fikir. Dia juga tidak mengerti kenapa Naseem memintanya untuk bertemu dengan lelaki itu di sebuah restoran mewah di tengah kota Kuala Lumpur.
Di muka pintu, Maya disambut oleh seorang penyambut pelanggan yang bertanyakan sama ada dia sudah membuat tempahan untuk menikmati santapan di restoran berkelas itu. Maya segera menyatakan tempahan meja di restoran tersebut telah dibuat atas nama Naseem Bahar seperti yang dimaklumkan sebelumnya oleh lelaki itu sendiri.
Staf restoran segera mengiringi Maya ke sebuah bilik makan khas yang tertutup dan lebih privasi.
Sampai sahaja ke ruangan khusus tersebut, Maya mengambil tempat untuk duduk. Sempat matanya meliar ke sekeliling ruangan bilik dan melihat dekorasi yang tergantung.
Pesanan yang dihantar kepada Naseem belum dibalas. Hatinya beranggapan barangkali lelaki itu masih dalam perjalanan ke restoran.
Baru sahaja Maya ingin bersantai, pintu tiba-tiba sahaja dikuak dari luar. Pada mulanya dia menyangka gerangan yang akan melangkah masuk itu merupakan Naseem, namun sebaliknya yang berlaku.
"Siapa?" Maya lantas bangkit merenung si lelaki tua yang tidak dikenalinya dengan kehairanan.
"You Maya, kan? Jangan bimbang, I Dato' Afgan. Kawan business Naseem. I nampak you masuk bilik ni tadi jadi I ingatkan Naseem ada sekali."
"Dato' Afgan?" Dahi Maya berkerut kemudian baru mindanya terlintas mengingati sesuatu perihal nama Dato' Afgan yang pernah dipetik oleh Naseem sebelum ini. Jadi orang inilah yang bakal menolongnya nanti? Maya memberi pandangan sangsi.
"Ya, saya Maya."
"You tak nak jemput I duduk?" Tanya Dato' Afgan, tampak tidak sabar menanti.
"Si—Silakan, Dato'." Maya bertambah gabra setiap kali direnung oleh Dato' Afgan yang khusyuk membelai misai lentik pada kumis lelaki itu. Maya mengagak kehadiran Dato' Afgan dijemput sendiri oleh Naseem untuk memperkenalkan mereka.
Telefon di tangan diperiksa dua tiga kali. Masih tiada sebarang berita daripada Naseem. Kegusaran Maya yang terperangkap dalam ruangan itu disedari oleh Dato' Afgan yang beraura pemangsa seperti mahu menerkam makanan yang duduk berhadapan dengannya.
"Kenapa you nampak gelisah?"
Cis! Kura-kura dalam perahu, si tua pura-pura tidak tahu.
"Maaf Dato', saya tengah tunggu Encik Naseem datang. Mungkin jalan jammed kot."
"Maybe. Why not kalau kita order dulu sementara kita tunggu Naseem sampai?" Cadang Dato' Afgan.
Gesaan lelaki tua itu menghasut Maya supaya bersetuju. Butang pada meja ditekan sebagai isyarat memanggil pelayan restoran untuk mengambil pesanan mereka.
"You tak nak makan?"
"Saya order Fruit Punch saja. Nanti Encik Naseem sampai, baru saya akan order makanan."
Dato' Afgan mendesis mendengarkan ucapan si perempuan muda di hadapannya.
"Fruit Punch for her. For me Vojito and Chilean Sea Bass Fillet." Ujar Dato' Afgan kepada pelayan yang mengambil pesanan.
"Macam mana Dato' boleh kenal saya? Sedangkan saya rasa tak ramai yang perasan saya berlakon dalam drama arahan Encik Nas." Maya melenyapkan kesunyian mereka dengan berbual kosong.
"I suka tengok you berlakon. Tak semua artis dalam Malaysia ni ada karisma macam you. Suara you pun sedap." Puji Dato' Afgan tidak semena-mena.
"Terima kasih, Dato'. Semuanya sebab Cakerawala Productions yang banyak tolong saya."
"You tak terfikir nak tukar profession you ke?"
"Maksud Dato'?"
"Maksud I, ambil semua peluang yang terhidang di depan mata. Jadi pelakon sahaja sebenarnya tak cukup untuk sara kehidupan you. Lagi-lagi kalau hidup di Kuala Lumpur ni."
"Saya belum terfikir ke arah tu, Dato'. Saya tak berani lagi untuk kembangkan langkah saya dalam industri ni."
Dato' Afgan yang mendengar butir kata Maya itu mula ketawa senang. Dia suka gaya Maya berfikir. Maya yang kelihatan naif dan bermain sopan di bibir mulut buaya tanpa sedar suatu masa nanti perempuan itu akan dibedal oleh sang buaya.
Lelaki tua itu pada mulanya mahu menerangkan maksud kiasan di sebalik bicaranya namun kedatangan pelayan yang menghantar hidangan merencatkan niat yang terselindung.
"Encik Nas ada beritahu yang Dato' boleh tolong selamatkan career saya dalam industri." Melihatkan si pelayan telah berlalu, Maya terus mengemudi bicara mereka ke topik utama. Sempat dia meneguk Fruit Punch yang merupakan minuman campuran buah-buahan sitrus.
"Of course. I can do that." Akui Dato' Afgan dengan bangga.
"Jadi macam mana Dato' akan tolong saya?"
"Lepas I perhati gosip-gosip you sebelum ni, I perasan satu benda. The media are trying to screw you over and they try to make you famous through bad marketing. I boleh kata ramai juga artis di Malaysia naik dengan cara yang sama, tapi I don't think that type of advertising suits your figure and talent. You ada natural talent yang I suka. Muka you memang type I." Akui Dato' Afgan tanpa menyorokkan apa-apa.
"Saya rasa pujian Dato' buatkan saya tak selesa."
"This ia who I am. I am a honest man, Maya. Kalau orang di depan mata I cantik dan seksi, I akan puji."
Maya bertambah cemas mendengar pujian itu. Dia jadi berdebar-debar tidak tentu arah. Bukan kerana terpancing dengan pujian tetapi rasa takut yang menyelinap di hatinya saat terpandangkan renungan tersirat Dato' Afgan. Air minuman miliknya diteguk sehingga habis bagi melegakan rasa gementar.
Hampir setengah jam juga Maya berdua-duaan dengan Dato' Afgan di ruangan ini. Malangnya batang hidung Naseem tetap tidak muncul-muncul.
"I sudi tolong you, Maya. Bukan susah sangat pun tetapi pihak yang nak untung kena berkorban. I boleh tolong dan semestinya pertolongan yang I beri bukan percuma. Dalam erti kata lain, kalau you nak I tolong you, you kena bayar harga pertolongan I."
"Dato' nak saya bayar?"
"Biasanya I memang akan minta bayaran duit tapi mengenangkan you ni citarasa I, lebih baik kalau you dengan I bermalam di hotel ni. I ikhlas offer untuk bantu you. Itupun kalau you nak." Sambung Dato' Afgan masih dalam usaha untuk memancing Maya supaya bersetuju dengan peluang yang diberi.
"Bamm!" Tapak tangan menghentak meja makan. Mungkin Dato' Afgan fikir maruah Maya terlalu murah untuk digadai begitu sekali.
"Dato'—Dato' jangan kurang ajar." Maya yang hilang kendali mula berdiri bertongkatkan tangan pada kerusi untuk menyokong tubuhnya. Entah kenapa dia rasa badannya terlalu berat dan kakinya bergementaran seakan jeli.
"Hoho. Nampaknya dah mula berkesan ya ubat mujarab yang I beli."
Penglihatan Maya mula berbalam-balam dan imej bangsat yang sedang tersenyum itu semakin kabur di matanya. Segala bunyi seakan disenyapkan. Cuma degup jantung sendiri kedengaran. Air minuman Maya. Pasti ada sesuatu bahan terlarang yang telah dimasukkan ke dalam air itu.
Berulang kali Maya cuba menjernihkan akal sihatnya namun usahanya sia-sia. Yang terakhir Maya saksikan dengan mata ialah muka Naseem yang tidak jelas dan wangian lelaki itu yang berlinggar-linggar dihidu deria baunya.
🪸
Happy reading semua
Bye👋
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.