Cahaya rembulan yang bersinar membentuk pantulan pada permukaan air kolam ikan. Malam yang dingin meniup hawa sejuk ke tubuh Naseem yang hanya berbaju t-shirt lengan pendek. Kakinya dicelupkan ke dalam air kolam ikan. Walaupun mata ralit memerhati pergerakan ikan emas di dalam kolam namun fikiran Naseem melayang tanpa tujuan.
Iri. Naseem iri dengan ikan-ikan emas yang bebas berenang tanpa memikirkan masalah kompleks seperti manusia.
"Nas, kamu ada masalah ke?" Muncul Tengku Ismail dari belakang. Sejak makan malam tadi lagi dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan anak tirinya itu.
"Bukan masalah besar, ayahanda. Kepala tengah serabut dengan hal kerja sikit." Naseem menjawab secara lisan namun mata masih merenung kolam ikan yang diterangi lampu hiasan.
"Kan bagus jadi macam ikan. Tak ada benda yang perlu difikirkan. Tak ada masalah pasal kerja dan pasal kehidupan macam manusia." Spontan Naseem meluah rasa yang berbuku yang tersimpan.
"Siapa kata ikan tak ada masalah?" Tengku Ismail memandang tepat ke anak mata Naseem.
"Maksud ayahanda?" Naseem menyoal. Dia masih kabur dalam memahami maksud tersirat dalam ayat Tengku Ismail. Orang tua memang suka bermain dengan kata-kata.
"Ikan pun ada masalah. Diorang perlu berebut untuk dapatkan keperluan asas. Air, udara dan sebagainya. Ikan pun macam manusia juga. Berebut pasangan. Ikan jantan ada skandal dengan ikan betina di kolam lain tapi bini ikan jantan tu tak tahu. Sedangkan anak ikan di daratan pun ramai skandal." Panjang lebar Tengku Ismail bercakap tentang masalah ikan.
Terbit segaris senyuman di wajah Naseem. Dia tahu Tengku Ismail sengaja bercanda untuk menghiburkan hatinya.
"Ayahanda pula macam mana? Kerja okey?" Kali ini soalan dituju kepada Tengku Ismail. Lelaki separuh abad itu ketawa besar.
"Ayahanda ada niat nak bersara awal sebenarnya. Teringin nak pergi honeymoon dengan ibu kamu setiap bulan. Kalau boleh petang-petang nak teman dia berkebun tapi itulah, kerja takkan pernah habis. Ayahanda dah tak ada zuriat lain. Cuma kamu harapan ayahanda untuk teruskan perniagaan tu."
"Nas berat hati nak terima tawaran ayahanda. Yang layak dapat semua tu cuma Reen." Tukas Naseem secara berlapik. Jauh di sudut hati dia masih mengharapkan kepulangan Tengku Nizareen.
Tuhan, tolong kabulkan doa yang dia panjatkan setiap malam. Naseem mahu Tengku Nizareen kembali di dalam hidupnya walaupun dia tahu doa itu mustahil untuk dimakbulkan.
Tengku Ismail mendongakkan kepala menatap dada langit yang dihiasi dengan taburan bintang.
"Sampai hari ni, ayahanda masih berharap Nizareen akan balik ke pangkuan kita. Hati tua ni tak pernah putus semangat tapi lambat-laun ayahanda kena percaya juga dengan qada dan qadar Allah. Reen mungkin takkan kembali lagi."
"Ayahanda tahu kenapa Reen hilang di laut? Nas baca diari Reen ayahanda. Ada seseorang buli Reen sampaikan dia ambil keputusan untuk bunuh diri!"
Tengku Ismail betul-betul terkejut besar. Dia tidak tahu tentang fakta itu. Bagaimana mungkin dia tahu jika jasad Tengku Nizareen pun tidak ditemui. Gadis itu hilang ditelan ombak ganas. Anggota penyelamat yang ditugaskan untuk mencari jasad Tengku Nizareen juga terpaksa berputus asa selepas hampir tiga minggu proses pencarian menemui jalan buntu. Jadi mereka sekeluarga terpaksa menganggap Nizareen sudah bersemadi di samudera yang luas. Tidak dapat dibayangkan bagaimana ketakutan gadis kesayangannya ketika itu.
"Allahuakbar. Allahuakbar." Kalimat pujian kepada Tuhan Sang Penguasa alam meniti di bibir Tengku Ismail. Luka berparut kembali terbuka dan berdarah. Kejinya hati manusia yang sanggup menyakiti anak perempuannya.
"Jangan beritahu ibu tentang hal ni. Rahsiakan daripada ibu. Ayahanda tak mahu dia tahu."
Naseem mengangguk mengiyakan permintaan bapa tirinya. Cerita yang disimpan justeru melukakan hati lebih banyak pihak.
"Tentang urusan siapa yang buat semua tu pada Reen, Nas akan uruskan. Ayahanda tak perlu risau. Nas akan pastikan pelaku dapat balasan yang setimpal."
Butir kata Naseem tidak berapa jelas kerana disapa angin malam. Tengku Ismail juga tidak merespon lebih.
"Nas, ayahanda nak cari Reen sekali lagi. Selagi jasad Reen tak ada di depan mata, selagi tu ayahanda takkan percaya tentang kematian dia." Tekad Tengku Ismail.
Biar digelar gila atau mengarut sekalipun, Tengku Ismail akan pastikan dia menjumpai jasad anak perempuannya. Sekalipun dinista dan dikata orang, dia tidak peduli. Asalkan hasrat hatinya tertunai.
Selama 11 tahun Tengku Nizareen hilang di lautan, Tengku Ismail hendak kebumikan jasad Tengku Nizareen dengan cara terhormat di daratan jika benar anaknya telah meninggal.
"Nailah setuju kalau abang nak cari Reen sekali lagi." Potong Puan Nailah. Secara tidak sengaja dia mendengar butir bicara dua orang lelaki yang paling penting dalam hidupnya itu. Bukan mahu menguping telinga tetapi hal yang dibicarakan berkisarkan anak tirinya juga. Puan Nailah akan selalu menyokong keputusan yang diambil oleh Tengku Ismail.
"Jangan ketepikan saya kalau hal ini berkait dengan Reen. Abang pun tahu kan saya sayangkan Reen tak ubah macam anak kandung saya?" Sayu kedengaran permintaan Puan Nailah.
Dia tahu suaminya risaukan keadaan dirinya tetapi sampai bila suami dan Naseem akan menyembunyikan semua itu? Mereka satu keluarga akan teguh bersama.
"Nas naik bilik dulu. Ibu boraklah dengan ayahanda." Naseem yang cekap membaca situasi segera pamit. Sengaja dia memberi peluang kepada Tengku Ismail dan Puan Nailah untuk berbincang.
Gelojak minda Naseem sangat berkecamuk malam ini. Isi kepalanya serabut dan hatinya tidak tenang. Fikirannya penuh dengan sebaris nama Tengku Nizareen. Seorang gadis yang dikatakan telah meninggal 11 tahun lamanya.
Paling lucu bila Naseem sudah berjaya menjejaki makhluk Tuhan yang berani menyakiti Tengku Nizareen. Lantas segala macam pertuduhan dilemparkan kepada orang yang bersalah. Pesalah yang menyebabkan Tengku Nizareen mengambil keputusan dangkal.
Siapa lagi yang perlu disalahkan dalam hal ini? Tentulah Maya Asmara! Nama itu yang ditulis berulang kali dalam diari rahsia Tengku Nizareen. Dari awal lagi Naseem sudah bersumpah untuk menuntut bela.
Dia yang memulakan permainan ini dan Maya adalah alat untuk Naseem hancurkan. Sebagaimana Maya membenci Tengku Nizareen, Naseem akan membuat satu dunia membenci Maya. Itu sumpah dan janji seorang lelaki.
🪸
Selamat membaca.
Mohon mention typo kalau ada.
Maaf sekali saya lambat update. Saya baru log in kelas baru. Jadi masa agak terhad untuk saya update. Sekian terima kasih👶🏻.
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.