Kotak-kotak yang diangkat dari belakang bonet kereta itu diletakkan ke lantai. Sesekali peluh yang berjejeran di dahi dikesat dengan hujung lengan baju.
Matahari terik menyinar sewaktu aktiviti memunggah barang tadi tidak menghentikan Maya untuk meneruskan urusannya.
Berbekalkan sedikit wang simpanan dan duit gaji yang diterima, Maya memilih untuk menyewa rumah di sebuap pangsapuri. Pangsapuri yang dipilih pula adalah antara yang termurah, jadi nanti tidaklah terbeban sangat untuk dia membayarnya.
Deposit rumah juga telah diselesaikan beberapa hari yang lepas semasa dia mendapat kunci rumah.
Kalau nak terus menginap di rumah kondominium Naseem, Maya rasa tidak sedap hati pula. Sampai bila dia nak menumpang dan berharap kepada lelaki itu?
Lagipula, Maya tidak mahu wujudnya gosip-gosip tentang pertolongan dan layanan baik Naseem kepada dirinya.
Dia berdiri sambil bercekak pinggang. Letih tidak usah dikata. Sudahlah dia seorang diri saja menguruskan urusan perpindahan barang ini.
Mujur juga barangan yang dibawa tidak banyak. Nanti jika Maya mempunyai duit lebih, dia mahu membelanjakan wang itu untuk membeli peralatan yang diperlukan di rumah sewa barunya.
Maya kemudiannya menyusun kotak ke atas troli yang dikhaskan untuk mengangkat barangan.
Nasib baiklah, dia sempat membeli troli ini sekali. Senang untuk mengangkut barangan yang dibawa sekali harung terus ke tingkat rumahnya iaitu tingkat 10.
Saat menapak ke dalam lif, telefon pintarnya berbunyi nyaring, Maya segera mengangkat panggilan dan menyapa si pemanggil.
"Helo, assalamualaikum."
"Maya lari dari rumah ke? Mama tak pernah izinkan Maya tinggal seorang diri dekat Kuala Lumpur. Balik sekarang, atau mama buat laporan polis. Kamu pilih! Jangan sampai berita macam ni malukan kamu dekat pihak media." Tanpa menjawab salam yang diberi, Puan Majihah terus melemparkan ugutan kepada anak bongsunya.
"Ma, Maya cuma nak berdikari macam sebelum ni. Cuma sekarang, Maya akan hidup sendiri dan uruskan kehidupan Maya seorang tanpa campur tangan orang lain."
"Kamu memberontak ke Maya? Kalau sebab dengki dengan kakak kamu sendiri, tak perlu bawa diri sejauh tu. Balik sekarang sebelum mama sendiri heret kamu ke sini."
"Maya dah besar. Maya tak nak tinggal serumah dengan papa dan mama lagi. Untuk pengetahuan mama, Maya tak ada masa untuk cemburu dengan Marina sebab Maya dah terima hakikat yang mama papa memang lebih sayangkan dia. Tanpa kewujudan Maya dalam rumah tu semuanya masih sama. Tak ada apa-apa yang kurang."
"Maya, kalau kamu tak balik siapa yang nak tolong papa dengan mama uruskan kelas renang dan kedai cenderamata kita? Kamu tahu kan setiap kali musim cuti, ramai pelancong akan datang? Mama dengan papa tak cukup tangan nak uruskan semuanya." Kali ini Puan Majihah mula mencari cara halus.
Suaranya diperlembutkan supaya Maya akan terpujuk. Tetapi yang silapnya, hati Maya sekarang sudah seteguh karang di lautan.
Jadi ini asbab Puan Majihah menelefon anak bongsunya? Jujur, Maya terasa terkilan. Sangat-sangat terkilan. Namun dia tetap mengawal kecamuk emosi di dalam minda.
"Marina kan ada untuk tolong mama dan papa? Jangan risau, Marina anak kesayangan mama dengan papa mesti tak sanggup tengok ibu bapa dia berkorban dan hadap penat lelah cari rezeki yang halal. Takkanlah Marina tak tolong kan, mama?"
"Maya! Kamu jangan kurang ajar!" Puan Majihah meradang apabila nama anak kesayangan dipetik sebegitu.
Maya tersenyum sambil menolak keluar troli dari lif. Langkahnya dibawa ke sebuah pintu bertanda nombor rumah miliknya. Segugus kunci dimasukkan ke dalam lubang kunci pada mangga.
Saat pintu dibuka, senyuman Maya semakin lebar. Rumah ini bakal menjadi tempat paling selamat untuk dia.
"Sorry mama. Maya ada urusan lain. Mungkin lain kali mama boleh call Maya. Assalamualaikum."
Tutt!
Talian terus dimatikan tanpa menunggu balasan daripada Puan Majihah. Maya sudah serik.
Semenjak kecil lagi dia perlu berkorban untuk orang di sekelilingnya tetapi ketika dia terperangkap dalam kesusahan siapa yang sudi menghulurkan bantuan? Tiada. Tiada sesiapa. Maya sendiri yang menanggung segala-galanya.
Masih segar dalam ingatan Maya sewaktu kecil, dia dan Marina sama-sama diserang demam panas. Perhatian dan kasih sayang lebih banyak tertumpu kepada Marina.
Bahkan ibu bapanya sanggup berjaga kerana risaukan demam Marina yang masih tidak kebah. Dia pula dibiarkan dengan tuala lembap yang sudah kering.
Oleh kerana itu, Maya tiada pilihan lain. Dia perlu kuat demi diri sendiri. Jika dia jatuh tersembam, Maya perlu bangkit tanpa bantuan orang lain.
"Huwaaa rasa nak peluk diri sendiri. Congrats Maya. This is your life and your safe place for now." Maya memeluk diri sendiri. Walaupun ini hanyalah pencapaian kecil tapi dia rasakan hal ini sangat bermakna dalam hidupnya.
Deringan telefon selagi lagi membantutkan hasrat Maya untuk mengemas. Apa Puan Majihah belum berputus asa?
Ibu jari yang mahu meleretkan skrin ke bawah terhenti apabila menyedari pemanggil di hujung talian itu bukanlah ibunya. Nama yang tertera pada skrin itu membuatkan mood Maya berubah.
"Helo, Julia?" Sapa Maya kepada pemanggil di hujung talian. Isi bicara Julia didengar dengan tekun. Serta-merta senyuman manis terlakar di raut muka Maya.
"Maya dekat rumah sewa. Ya ke? Alhamdulillah. Okey nanti Maya ke sana. Terima kasih, Ju."
Tawaran berlakon datang lagi!
Maya berbaring menelentang di lantai tanpa sebarang alas. Dia menghembuskan nafas kelegaan. Syukurlah dia akhirnya ada rezeki dalam bidang lakonan.
Tidak sampai sebulan drama bertemakan siren arahan Naseem disiarkan di kaca televisyen, sekali lagi Maya mendapat tawaran untuk membintangi drama lain pula.
Menurut Naseem, Maya akan dipilih untuk berlakon dalam dua atau tiga buah drama arahan lelaki itu sebelum Maya dipikat oleh pihak produksi stesen penyiaran lain.
Siling kapur dipandang seperti mahu tembus. Maya larut dalam khayalan dan dia mula memasang angan-angan untuk mengasah bakat lakonannya. Suatu hari nanti jika ada rezeki dia akan menjadi seorang penyanyi juga. Semoga impiannya akan tercapai.
🪸
Selamat membaca
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.