Cahaya mentari yang menembusi celahan langsir mencucuk kelopak mata yang tertutup rapat. Maya terpisat-pisat bangun dari katil. Dia meneliti sekeliling bilik utama yang maha luas. Baju t-shirt bersaiz besar yang tersarung di tubuhnya mula membangkitkan ingatan Maya terhadap peristiwa yang berlaku semalam.
Spontan wajah Maya bersemu merah. Kedua-dua belah telapak tangan ditekapkan ke pipi.
Ternyata semalam dia menghabiskan malamnya di sini berdua-duaan dalam satu ruangan yang sama dengan Naseem. Dia dengar bagaimana lajunya jantung lelaki itu bekerja. Sentuhan intim daripada seorang lelaki yang tidak pernah Maya rasakan seumur hidupnya.
Ada rasa berdosa namun dikambus dengan perasaan cinta yang menggebu terhadap Naseem. Sungguh naif seorang wanita yang sanggup menyerahkan mahkota maruahnya kepada seorang lelaki. Sungguh kasihan.
Maya memijak lantai. Selimut yang membungkus tubuhnya yang separuh terdedah semalam dirapikan kembali ke katil.
Sempat Maya membetulkan rambut panjang mengurai miliknya sebelum melangkah keluar dari bilik Naseem. Kepala menoleh ke serata arah tetapi dia tidak nampak bayang Naseem di mana-mana.
Langkah dibawa menuju ke dapur. Sekeping sticky note yang terselit pada kitchen bar di dapur menghentikan langkah Maya.
"Sorry ada hal emergency di rumah. Take care."
- NasSejujurnya Maya tidak tahu untuk memberi reaksi apa. Ada rasa tidak enak yang menyentak tangkai hatinya namun cepat sahaja diusir pergi. Dia tidak mahu bersangka buruk dan berfikir bukan-bukan. Dia yakin Naseem bukanlah lelaki yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan. Maya yakin dan percaya 100%.
Maya memusingkan tubuhnya untuk kembali ke bilik tidur. Jika ditinggalkan sendirian seperi ini ada baiknya kalau Maya pulang sahaja ke rumahnya sendiri. Selesai mencuci muka dan berkumur dengan ubat berkumur, Maya menyarung kembali gaun merah hati semalam. Jaket yang dipinjamkan kepadanya oleh Naseem turut dipakai untuk menutup bahagian atas tubuh yang terdedah.
Selesai semuanya, dia menapak keluar dari unit kondominium milik Naseem. Tanpa Maya sedari, gerak-gerinya sentiasa diikuti oleh seseorang dan klik! Bunyi lensa kamera yang Maya tidak akan pernah ketahui siapa pengintipnya dan untuk apa fotonya diambil.
🪸
Puan Nailah menekapkan telinga pada pintu bilik Naseem. Dia sendiri tidak menyedari bila anak lelakinya pulang. Nasib baiklah kepulangan Naseem ke rumah agam Tengku Ismail disedari oleh Siti. Kata Siti, Naseem sampai ke rumah pada jam 4.30 pagi tadi. Itupun diberitahu semasa Puan Nailah sedang bersarapan bersama suaminya.
Puas diketuk pintu bilik namun Naseem menolak untuk membukanya. Sarapan yang disediakan juga tidak dijamah. Hati keibuannya mula berfikir ada yang tidak kena dengan Naseem. Walaupun masih gusar, Puan Nailah berlalu pergi. Mungkin ketika ini Naseem memerlukan waktu untuk bersendirian. Selepas keadaan reda, dia akan cuba mengorek cerita daripada anaknya.
Naseem di dalam bilik pula masih berada di tempat yang sama. Dia bersandar lemah pada dinding di ruangan tandas. Mata terpejam rapat namun di tubir mata, terbit air jernih yang mengalir sehingga ke pipinya.
"Maaf Reen. Maafkan abang. Maafkan abang." Umpama mantera, Naseem mengulang kalimat sama berulang kali.
Masih dia ingat dengan jelas bagaimana dia dan Maya berada di atas katil yang sama. Naseem mengenang satu-persatu apa yang tangannya lakukan ke atas tubuh Maya. Bagaimana tangan kekarnya merangkul Maya ke dalam pelukan dan bibirnya bekerja keras mencumbui wajah Maya.
"Hukk!" Gelojak perut yang tertahan mula dirasakan di anak tekak. Mangkuk tandas yang tertutup dibuka sebelum Naseem memuntah keluar segala isi perut yang tersisa walaupun ia cuma air kerana perutnya belum diisi dengan apa-apa makanan mahupun minuman.
Tangan kanan dan kiri mencengkam erat pada mangkuk tandas. Naseem sudah kehilangan daya tenaganya untuk bertahan. Sejijik itukah dia pada Maya? Mungkin apa yang terjadi kepada dirinya ketika ini adalah disebabkan oleh rasa bersalahnya kepada Tengku Nizareen. Ya, rasa bersalah kerana mengkhianati Tengku Nizareen.
Selesai muntah, Naseem cuba menggagahkan badan untuk berdiri. Dengan hanya bertahan pada dinding dengan tangannya, dia mencapai pili air pancuran. Saat air memancur keluar membasahi tubuhnya yang tidak berbaju, Naseem menutup kelopak mata. Badannya dirasakan masih berbekas dengan sentuhan Maya. Anak rambut yang jatuh ke dahi diraup kasar ke belakang.
Pili air ditutup rapat. Tuala yang tersangkut pada penyidai disambar lalu dililitkan pada pinggang. Keluar sahaja dari bilik air, Naseem mencari telefon pintar miliknya.
Ada pesanan mesej yang diterima daripada orang yang dinantikan. Naseem menyentuh ikon panggilan dan nombor telefon milik si penghantar mesej didail.
Panggilan diangkat dan Naseem tanpa berbasa-basi terus menyuarakan arahan yang seterusnya.
"Hantar kepada pihak media secara anonymous. Minta diorang buat headline yang bagus." Perintah Naseem sebelum dia mematikan talian.
Kalendar di atas meja dicapai. Ada satu tarikh yang dibulatkan dengan pen warna merah. Tiga minggu lagi waktu yang tersisa sebelum si tikus bernama Ratahtuih mati. Kematian tikus itu adalah simbolik dengan kehancuran Maya Asmara dalam dunia hiburan. Perempuan seperti Maya tidak layak untuk menjadi bintang. Maya perlu dibenci oleh semua orang dan dipinggir oleh masyarakat. Naseem sedar caranya membalas dendam agak kebudak-budakan tetapi itu lebih baik daripada dia mengambil nyawa Maya dengan tangannya sendiri.
Hancurkan Maya sehancur-hancurnya. Jika perempuan itu masih menaruh harapan, maka Naseem akan memijak harapan itu supaya Maya berputus asa dan hidup melarat. Itu harga yang Maya perlu bayar kerana membenci Tengku Nizareen.
Tubuh yang mahu direbahkan ke atas katil terbantut kerana skrin telefonnya menyala dan nada dering telefon melantunkan bunyi. Tertera nama 'Ayahanda' di pada skrin.
"Nas." Suara Tengku Ismail kedengaran seperti sedang menahan sebak.
"Ayahanda? Kenapa...,"
"Pasal Reen. Orang ayahanda jumpa Reen. Anak ayahanda masih hidup!"
Tubuh Naseem yang relaks tadi mula memberi reaksi.
"Reen? Nizareen. Betul ke ayahanda?" Naseem sudah berdiri di sisi katil. Betulkah apa yang didengari oleh telinganya?
Selepas 11 tahun sekian lama Tengku Nizareen hilang di lautan tanpa ditemui jasadnya, rupa-rupanya adik tiri Naseem itu masih hidup.
Tengku Nizareen, permata yang hilang kini telah kembali pulang.
🪸
Selamat membaca.
Lepas ni mungkin dah
takde happy happy🤡
So urm baibai
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.