Nyanyian cengkerik menjadi muzik latar yang menghiasi sunyi malam. Naseem tidak langsung berasa terganggu dengan bunyian itu sebaliknya dia semakin larut dalam khayalan.
Asap rokok bertebaran keluar dari mulutnya. Saat bibir menyentuh puntung rokok, ingatannya terbawa-bawa ke masa lampau.
"Encik Naseem. Mungkin sekarang encik rasa masih muda boleh hidup sihat sambil merokok. Tetapi ada orang lain di luar sana yang tak boleh hidu asap rokok. Rokok bukan setakat bahayakan orang lain tapi juga diri sendiri. Lagi satu, rokok difatwakan haram sebab boleh memudaratkan nyawa."
Rokok yang masih tersisa itu terus dilenyapkan baranya. Sial! Entah kenapa dia mengimbas kembali teguran Maya. Setiap kali dia ingin membakar rokok yang baru pasti nasihat perempuan itu diulang tayang di dalam benak kepala. Mood untuk merokok terus hilang. Nampaknya saranan Maya supaya Naseem berhenti merokok berkesan juga.
"Bos, Tengku Reen sihat?" Ruz yang juga menghisap rokok di sebelah bertanya.
"Macam yang kau tengok. Luaran macam sihat tapi dalamannya kita tak tahu." Jawab Naseem acuh tak acuh. Kepalanya bertambah serabut dengan masalah rekaan yang berselirat. Dia sendiri yang merangka rancangan untuk membalas dendam, dia sendiri juga ditimpa dilema perasaan. Huru-hara jadinya.
"Selepas ni apa rancangan bos untuk hancurkan Maya?"
Hari ini tingkah Naseem tidak seperti biasa. Dia rasa marah mendengar nama itu. Rasa tidak suka bertukar menjadi benci. Dia benci apa sahaja yang berkaitan dengan Maya walau sekecil-kecil hal sekalipun.
Itulah manusia. Kalau sudah benci, dengar nama sahaja boleh membuatkan telinga sakit dan hati merana.
Semalam, Tengku Nizareen datang menemuinya ketika dia masih di pejabat. Naseem sendiri tidak pasti bagaimana Tengku Nizareen boleh terserempak dengan Maya. Kelakuan Tengku Nizareen selepas bersua dengan Maya berubah drastik. Gadis kesayangannya itu menangis tersedu-sedan dan memeluknya erat dalam ketakutan.
Ketika itu barulah Tengku Nizareen membuka suatu cerita bahawa ingatannya pada hari kejadian sudah kembali sedikit demi sedikit. Asbab pertemuan itu juga, Tengku Nizareen dapat mengecam identiti pelaku yang menolaknya jatuh dari kapal persiaran sehingga lemas.
"Reen bukan bunuh diri." Tutur Naseem selepas berdiam diri untuk seketika.
"Tengku Reen dah ingat balik kesemuanya?"
Anggukkan diberi sebagai jawapan. Ya, Tengku Nizareen sudah mengingati kesemuanya. Naseem bersyukur kerana ingatan gadis kesayangannya kembali namun kesengsaraan Tengku Nizareen tidak habis di situ sahaja.
"Dia kenal Maya. Pada masa yang sama Reen lemas di laut, cuma Maya seorang sahaja pelajar yang tiada alibi. Sama macam yang kau laporkan pada aku. Aku tak syak langsung, Ruz. Aku tak syak yang dia akan buat sesuatu yang lagi kejam. Dia cuba bunuh Reen. Dia tolak Reen jatuh dari kapal persiaran."
Semuanya berlaku sewaktu Tengku Nizareen dan Maya berusia 16 tahun. Mereka sebaya dan bersekolah di sekolah yang sama, Girls International School (GIS).
Ruz pula senyap tanpa reaksi. Dia memberi ruang kepada majikannya untuk meluahkan segala beban yang terpendam. Dia tidak mahu memberi sebarang komen sementelah bukti yang ada sekarang pun hanya sekadar cakap mulut daripada Tengku Nizareen, iaitu mangsa kemalangan itu sendiri. Mungkin takdir sudah tertulis bahawa semasa kemalangan itu berlaku, tempat yang dilaporkan menjadi lokasi Tengku Nizareen terjatuh tidak terdapat kamera litar tertutup.
"Aku tak puas hati. Semua yang kita buat belum cukup. Dia perlu rasa lebih derita daripada ni. Dia perlu hadapi rasa takut sama macam Reen alami."
"Bos. Mungkin bos perlu berterus-terang dengan Maya. Saya takut apa yang terjadi sebenarnya sekadar salah faham."
"Salah faham kau kata? Aku hilang Reen 11 tahun, Ruz. Kau bayangkan macam mana hidup aku lepas tu. Bayangkan juga macam mana seksanya Reen nak survive. Sekarang bukan masanya untuk kau bersimpati membabi-buta." Jerkah Naseem berang.
"Maaf, bos. Saya terlepas cakap. Saya tak bermaksud nak bersimpati atas nasib yang menimpa Maya."
"Kalau kau masih nak bekerja dengan aku, belajar untuk tak gigit tangan yang memberi kau makan. Aku masih bertolak-ansur sebab aku anggap kau sebagai kawan."
"Faham,bos."
"Call Dato' Afgan. Beritahu dia aku ada hadiah istimewa buat dia."
Ruz tersentak mendengar nama itu disebut. Dato' Afgan. Setahunya lelaki tua pemilik syarikat media itu tidak mempunyai moral sahsiah sebagai lelaki kehormat. Kaki perempuan, pencabul dan perogol. Gelaran hina itu disandang dengan penuh bangga oleh Dato' Afgan. Bahkan saat didakwa atas jenayah yang dilakukan pun, beliau masih boleh hidup bebas kerana mempunyai kabel cekang!
"Bos, saya tak nak terlibat dengan penjenayah hina macam dia."
"Aku dah lama terfikir, banyak kali sampai tak terkira dengan jari. Kau peminat Maya ke? Ke kau suka dia? Kenapa dengan artis-artis sebelum ni kau boleh ikut arahan aku tapi setiap kali aku arahkan kau untuk buat sesuatu pasal Maya mesti kau bangkang. Macam-macam alasan kau bagi. Apa yang kau dapat sebenarnya? Ke Maya offer badan dia dekat kau?"
Lidah yang menjadi pedang itu tajam menghiris telinga dan hati yang mendengarnya. Apa yang terluah mungkin ada sebabnya kalau tidak mustahil Naseem sendiri mengeluarkan kata-kata seperti itu. Naseem pernah juga lihat Maya dan Ruz berbual di pejabat setiap kali mereka bersua secara tidak sengaja.
"Mulut kau macam sial, bos." Senada ayat itu dilontarkan kepada Naseem dengan air muka tenang.
"Aku bagi kau peluang, Ruz. Kau boleh pilih sama ada nak ikut suruhan aku atau esok kau datang pejabat dan ambil gaji terakhir kau." Naseem memberi tawaran, seolah-seolah dituduh sebagai 'mulut sial' tidak menggores hatinya.
"Kau ni Nas memang dah dibutakan dengan cinta. Tak apalah. Simpan je duit kau tu. Aku pun memang tak berminat dengan skop kerja syarikat Cakerawala ni. Thank you bagi rokok free." Ruz menggoncangkan kotak rokok di tangannya lalu menjauh pergi.
Perasaan yang membukit di dalam jiwa Naseem kian bercampur-aduk. Hakikatnya dia geram dengan keputusan Ruz.
"Aku tak benarkan kau suka Maya, Ruz!" Laungnya. Entah didengari atau tidak oleh Ruz.
Mereka telah bekerjasama lebih sedekad. Mustahil prinsip lelaki seperti Ruz boleh berubah begitu sahaja. Apa perubahan Ruz ada kaitan dengan Maya? Jadi benarlah sangkaannya tentang perasaan Ruz?
Argh! Makin kusut Naseem dibuatnya.
🪸
Happy reading. Sebenarnya saya buat pasal lain di bab 32. Tapi lepas saya baca macam takde sambungan and koheren pulak dengan bab 31. So saya tukar plot sikit dekat sini. Anyway, dalam masa Maya derita ni, sikit demi sikit si Nas akan dapat kifarahnya. Goodnews kan?
Satu lagi berita baik chapter 33 dah siap. Jap lagi saya publish hehehe🤩p/s: maaf kalau ada typo sebab sy tk guna laptop or tab. Guna phone je sebab malas. Saya dah recheck tapi kalau ada terlepas pandang juga salah mata saya. I will edit juga suatu hari nanti🥲.
p/s: dan saya hampir capai target saya. Biasanya cerita yang saya buat tak lebih 36 bab pun. So i see something new pasal cerita ni maybe la maybe boleh cecah sampai 40+ bab. So saya nak cabar diri buat cerita dengan banyak bab. Doakan juga saya rajin and cantik selalu🙂↕️.
Last but not least thankyou kepada yang sudi baca cerita merapu saya😘.
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.