Mekap pembayang mata yang dirias pada kelopak mata hazel itu menyerlahkan kecantikan si pemakai. Marina membelek mukanya di hadapan cermin. Berasa bangga dengan kejelitaan yang dimiliki.
"Cantiknya Cik Rina. Tak jemu mata saya memandang." Nabila, si pengurus sakan memuji. Memang ada benarnya apa yang diperkatakan oleh Nabila itu. Marina sangat cantik.
Jacqueline juga tersenyum lebar kerana hasil kerjanya disukai oleh mata yang melihat. Tema mekap untuk Marina kali ini adalah Glam and Glamour asbab wanita itu ingin menyerlah dalam sesi rakaman iklan produk SKIV yang akan bermula sebentar sahaja lagi.
Pintu bilik solekan itu ditolak dari luar. Tiga orang wanita dan seorang lelaki yang berpakaian ala pengawal peribadi melangkah masuk. Jacqueline, juru solek yang merias muka Marina berlari anak mendapatkan perempuan yang baru melangkah masuk ke bilik tersebut.
"Tengku Reen! Tak sangka I akan dapat peluang untuk mekap wanita paling cantik di Malaysia ni. Jadi gaya apa yang Tengku Reen nak I buat?" Ujar Jacqueline. Usahanya yang mencuba untuk mengambil hati Tengku Nizareen itu membuatkan Marina meluat.
Marina mengintai pula figura Tengku Nizareen. Dari badan yang langsing sehinggalah ke muka wanita itu. Cantik. Tetapi tidaklah secantik dia. Mungkin Marina boleh menjadikan Tengku Nizareen sebagai teman baharunya. Tambahan pula dia mendengar sebutan nama keturunan Tengku Nizareen.
"She's right. You're pretty." Tambah Marina dan suaranya itu sampai ke pendengaran Tengku Nizareen.
Marina berdiri dengan niat untuk menyapa wanita popular dalam kalangan pekerja industri seni tersebut. Tangan disua mahu bersalam. Anehnya kelakuan Marina cuma dipandang sebelah mata oleh Tengku Nizareen.
"I Marina."
"Do I know you? Why are you telling me that?" Tengku Nizareen yang diam mula membalas.
Marina tidak ubah seperti ayam tercekik kapur. Dia beranggapan bahawa Tengku Nizareen akan beramah mesra dengannya kerana kelebihan rupa yang dimiliki. Namun malang bagi Marina, dia terlalu percaya diri.
"I cuma..." Marina mula gabra untuk mempertahankan diri. Tangan dijatuhkan setelah isyarat mata daripada juru solek yang meriasnya tadi menghantar signal supaya Marina jangan berlagak di hadapan sang puteri raja.
Sial! Perempuan itu siapa sampaikan semua orang hormat kepadanya? Setakat ada nama kerabat, kalau tidak kaya pun tidak guna. Marina mengetap geraham menahan kesabaran yang bila-bila masa sahaja akan meletup.
"I nak make up natural look," pinta Tengku Nizareen seraya mengambil tempat di kerusi.
Jacqueline menurut. Tangannya pantas memulakan tugas merias dengan berhati-hati.
Jadi sudah jelaskan di mana tempat Marina sekarang? Yang cantik akan kalah dengan orang yang mempunyai segala-galanya.
🪸
"Auntie Asmara!" Jeritan kanak-kanak membuatkan Maya berbalik tubuh. Seperti kali pertama mereka bersua muka, tubuh Maya sekali lagi dipeluk erat. Tangan kecil itu merangkul bahagian pinggang Maya.
"Hai Amanda." Sapa Maya. Di belakang Amanda pula datang seorang wanita yang kelihatan seperti ikan yang baru terdampar di tepian pantai. Wanita itu berdiri dalam keadaan rukuk untuk menenangkan degupan jantung yang menggila asbab mengejar si cilik itu.
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.