Penggambaran drama yang sepatutnya berjalan lancar pada pagi ini tidak terjadi seperti yang diharapkan oleh Maya. Mana tidaknya hari yang sepatutnya bermula indah tetapi dia dimarahi dan ditegur beberapa kali kerana kesilapan yang dilakukan ketika sesi adegan di tepian pantai.
"High pitch! Kalau suara macam ni katak panggil hujan pun boleh menyanyi." Skrip dilempar ke atas meja.
Naseem yang duduk di kerusi pengarah sudah mendidih kerana adegan 20 minit lamanya diulang lebih dari lima kali.
Maya cuma mampu membisu. Tidak pernah sepanjang dia mengenali Naseem, lelaki itu bertukar karakter sedrastik itu. Kadang-kadang dia seperti dapat merasakan yang Naseem membenci dirinya. Agaknya kerana Maya memang tidak berbakat dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.
Kru-kru penggambaran pun sudah mula panas hati. Bagi mereka untuk mengambil adegan yang sama banyak kali sangat membazir masa dan mengubah jadual yang telah ditetapkan.
"Rehat 10 minit." Umum Naseem kemudiannya. Kotak rokok dibawa bersama meninggalkan set penggambaran untuk rehat seketika.
Maya melepaskan nafas lelah. Kaki dibawa berjalan menyelusuri gigi air. Kadangkala ombak kecil menampar kakinya.
Terdetik perasaan rendah diri kerana dia terlalu 'kecil' untuk berada dalam kelompok sama dengan mereka yang gah nama dan pengalamannya. Bukan Maya tidak perasan mata-mata yang melotot menilai dirinya sepanjang sesi penggambaran berlangsung tadi.
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembuskan kembali. Tepukan pada bahu itu menyergah khayalan Maya.
"Ju?" Sebut Maya saat wajah Julia yang tersenyum manis memenuhi pemandangannya saat ini.
"Apa yang Encik Nas cakap tadi Maya jangan ambil hati ya? Biasalah kalau dah masuk three series memang garang makin bertambah. Lagipun Maya kan first time berlakon. Jangan stres tau." Pujuk Julia.
Maya mengangguk lesu. Dia faham bakat yang ada perlu lebih diasah dan Maya perlu berusaha 10 ganda lebih keras untuk mencapai tahap jangkaan yang memuaskan hati tuan pengarah.
"Terima kasih, Ju."
"Haa apa kata Maya nyanyi, lepas tu Ju bagi feedback? Sebenarnya kan suara Maya dah okey cuma kena tukar biar jadi lembut sikit. Barulah dia jadi mendayu-dayu macam Siren. Silap-silap si pengarah cerewet tu pun boleh jatuh hati dekat Maya." Seloroh Julia menggeletek hati kecil Maya.
Maya membuka mulut mengeluarkan suaranya mengikut apa yang Julia cadangkan. Mata dipejam ketika menghayati lirik dan nada yang saling melengkapi.
"Wah, Sedapnya suara Maya! Macam ni lah. Okay, just keep this momentum. You can do it, Maya." Julia menepuk tangan.
Suara mendayu Maya sangat memukau sampaikan bulu roma di tangan Julia meriding saat mendengarkannya.
"Okay camera and lighting standby!" Arah Naseem yang sudah kembali duduk di kerusi pengarah.
Maya mengambil tempat di posisi. Ketika ini bahagian bawah lututnya terlindung di sebalik batu-batu di sekitar pantai.
Jantung yang berdebar-debar cuba ditenangkan. Suara hati Maya membisikkan semangat kepada diri sendiri. Dia memberi isyarat kepada kru produksi bahawa dia bersedia untuk meneruskan babak yang tergendala tadi.
"Camera and lighting ready. Roll on. 3, 2, 1 action!" Teriak Naseem dari kerusi pengarah. Skrin yang ada di hadapannya diperhati untuk melihat sudut pandang kamera yang lebih sesuai.
YOU ARE READING
Popstar
RomanceMaya Asmara & Naseem Bahar Maya cuma mangsa keadaan. Mangsa kekejaman skeptikal masyarakat yang mengagungkan kecantikan.