( 2nd story )
Carl Daffa vs Haura Elina
Mereka dipertemukan dalam keadaan yang mengaibkan. Dan diatas kesilapan itu, dia dihukum tanpa sempat dirinya adili.
'Perempuan macam kau hanya sesuai digantung tak bertali. Kau tak layak hidup bahagia setelah...
Alhamdulillah... Akhirnya setelah membanting tulang mengambil jurusan diploma sains kesetiausahaan selama dua tahun empat bulan di kolej, dia berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang itu. Segala macam dugaan dan cabaran dilalui dalam mencapai impiannya. Politeknik Sultan Idris Shah merupakan tempat yang dipilih kerana sudah lama dia ingin menjejakkan kaki di ibu kota Kuala Lumpur. Puas dia memujuk ibu dan ayahnya untuk memberi keizinan untuk dia berada di sini. Dan atas desakan itu akhirnya dia berjaya berada di sini. Tambahan pula dia rasakan separuh jiwanya seakan berada di sini dan sangat dekat dengannya.
Haura duduk termenung di bawah pohon pokok ketapang yang menjadi tempat persinggahan dia dan sahabatnya setiap kali habis waktu kelas. Dia suka berada di sini kerana rasa sangat tenang ditambah pula dengan angin yang menderu menampar lembut pipi. Rambut panjangnya diikat tocang. Biar rasa selesa. Dia akan rindukan saat mereka di sini meskipun hanya dua tahun berada di politeknik ini. Segala suka dan duka berada di sini di bawah pohon tersebut.
"Haura..." panggil seseorang.
Fifi muncul bersama dengan Dania bersama dengan air coconut shake yang dikirimkan kepada mereka berdua. Dia mahu berada di sini sebab itu lah dia tidak mahu menyertai mereka yang terpaksa menapak keluar mencari air bagi membasahkan tekak. Di sini hanya orang berada saja mampu memandu kereta ataupun menunggang motosikal di sini. Bagi dia dan Dania mereka terpaksa menapak untuk menuntut ilmu tak kira masa, panas ataupun hujan. Mujur juga mereka dapat tinggal di hostel yang telah disediakan. Jika tidak jenuh juga mahu menyewa rumah dan membayar wang tambang teksi untuk sampai ke sini. Fifi sahaja yang berkemampuan untuk memandu ke politeknik kerana dia datang dari keluarga yang berada bukan seperti Haura dan Dania.
Mereka berdua datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Jika pagi mereka hadiri kelas, pada sebelah malam mereka terpaksa bekerja demi mencari duit poket. Haura dan Dania bekerja sebagai pembantu restoran makanan segera di sana. Manakala Fifi merupakan anak orang berada. Selalu sahaja Fifi mahu membiayai kehidupan mereka tetapi ditolak lembut. Mereka tidak mahu berhutang budi. Cukup untuk membeli makanan pun sudah memadai. Bapa Haura hanya bekerja sebagai pesawah manakala bapa Dania pula bekerja sebagai penoreh getah. Walaupun hidup serba sederhana, itu pun sudah cukup bagi mereka. Kebahagiaan adalah yang paling utama. Kini mereka perlu mencari kerja dengan kadar segera supaya dapat membantu bapa mereka yang semakin uzur dimamah usia.
"Bila korang kena keluar hostel?" Fifi mula menyoal. Air kelapa disedut rakus. Rasa panas yang membahang buat tekaknya rasa kering.
"InsyaAllah dalam minggu ni." Jawab Haura pendek.
"Nak aku tolong kemaskan barang tak?"
Haura geleng kepala. Mereka tidak memerlukan bantuan Fifi. Lagipun apa sangat barang yang mereka ada. Hanya sedikit pakaian dan buku-buku nota. Yang lain adalah kepunyaan pihak hostel. Mereka hanya menumpang tidur dan mandi sahaja.
"Tak perlu Fifi. Kau pun dah banyak tolong kami sepanjang kami dekat sini." Dania mencelah dan bahu Fifi dipeluknya. Sudah terlalu banyak pertolongan yang telah diberikan oleh sahabat mereka itu. Risau jika ada yang tidak mampu dibalas.
"Hey... kita kawan okay. Tanpa korang siapalah aku ni. Ingat moto kita, friends forever...." Fifi mengingati kembali tujuan mereka bergelar sahabat. Selama dia berkawan dengan mereka berdua, banyak perkara yang dia pelajari. Semuanya berkisar akan suka duka kehidupan. Dulu dia berbangga kerana dilahirkan dalam keluarga yang berada, selalu menghabiskan wang tanpa arah tuju tetapi sejak kenal mereka dia berubah. Dia melihat betapa susahnya mereka belajar dan bekerja pada waktu yang sama demi mencari wang untuk meneruskan pengajian. Duit pinjaman yang diberikan hanya cukup untuk keperluan belajar sahaja. Itu belum lagi duit yang diperlukan untuk makan dan sesekali wang juga diperlukan untuk membeli buku nota tambahan dan fotostat nota. Semua itu memerlukan duit.
Haura masih mampu untuk hidup berbanding dengan Dania kerana Haura merupakan anak tunggal manakala Dania mempunyai adik beradik yang ramai. Pada Haura susah mana pun dia, susah lagi melihat Dania untuk meneruskan hidup di kota ini. Tetapi berkat kesabaran dan doa akhirnya Dania berjaya juga menghabiskan pengajian.
"Jom ikut aku.."
"Nak pergi mana Fi?"
"Jom aku bawa korang ronda bandaraya Kuala Lumpur. No excuse okay. Selalu bila aku ajak je korang tolak. Kali ni korang mesti ikut tau."
Terkadang dia terkilan. Setiap ajakan darinya mereka tolak. Mereka takut mahu menaiki keretanya, takut mahu menjejakkan kaki ke dalam rumah mewah ibu bapanya. Dia juga manusia biasa seperti mereka. Cuma rezeki bagi nya yang dilahirkan di dalam keluarga yang agak berada.
"Tapi Fi..."
"No excuse. Jom."
Haura dan Dania saling berpandangan. Sudah banyak kali Fifi mengajak mereka bersiar di sekitar Kuala Lumpur tetapi ditolak lembut. Mereka tidak mahu mengikut Fifi bimbang semua kos ditanggung teman baik mereka berdua. Mahu bersiar minyak kereta perlu diisi. Mahu membeli makanan sudah semestinya guna duit. Kadang masuk tandas pun perlu duit sebab itu mereka sentiasa menolak.
Akhirnya atas desakan Fifi, Haura dan Dania terpaksa mengekori Fifi untuk bersiar di sekitar ibu kota. Melihat keindahan Bandaraya Kuala Lumpur itu, Haura dan Dania terlopong. Terpesona melihat bangunan pencakar langit yang sangat tinggi itu. Seumur hidup Haura inilah kali pertama dirinya melihat bandar besar sebegini. Selama ini dia hanya hidup di pekan kecil yang terletak di Sungai Petani. Kesibukan pekan Sungai Petani pun sudah buat dia teruja inikan pula ibu kota Kuala Lumpur yang sentiasa dipenuhi kenderaan tidak kira siang ataupun malam. Banyak bangunan pencakar langit yang tersusun di tengah bandar.
"Tingginya bangunan ni Fi." Ujar Haura teruja.
"Itu lah dari dulu aku ajak selalu korang tak nak ikut. Sekarang boleh la tengok puas-puas." Ucap Fifi.
Gembira hatinya dapat membawa teman baik menghabiskan masa mengelilingi ibu kota. Melihat keindahan menara KL, Suria KLCC, Saloma Bridge, Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad dan lain lagi. Jika mereka berada di sini lebih lama, dia akan membawa mereka bersiar di Pavillion, Mid Valley, My Town, SOGO dan bermacam tempat lagi. Walaupun bukan untuk membeli-belah sekurang-kurangnya apabila mereka pulang ke kampung halaman kelak, mereka sudah menjejakkan kaki ke tempat ini.
"Kami risau dan takut nak pergi tempat mahal-mahal. Kau tahu kan kami macam mana." Ujar Dania sayu.
"Ish korang ni. Aku ajak bukan untuk membeli belah. Kita masuk dan bersiar-siar je. Tengok bangunan dan tempat tumpuan ramai. Kalau lapar kita singgah je dekat gerai tepi jalan. Murah sikit. Saja jalan-jalan pusing mall."
Terang Fifi. Dia mampu untuk membayar segala makanan ataupun minuman untuk mereka berdua tetapi sikap tidak mahu menyusahkan kawan itu buat dia susah. Sekali mereka bertiga makan tidak sampai pun RM200. Lebih dari itu pun dia mampu. Kedua ibu bapanya sudah maklum akan perihal sahabat baiknya ini. Papanya juga tidak kisah jika dia membelanjakan wang itu atas tujuan membantu Haura dan Dania. Kata papanya wang ringgit boleh dicari tetapi bukan sahabat yang ikhlas bersama ketika kita susah dan senang dan mamanya juga sentiasa menyokong jika dia mahu membantu Haura dan Dania.
Akan disematkan segala kenangan mereka bersama untuk dijadikan memori ketika berjauhan kelak.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.