( 2nd story )
Carl Daffa vs Haura Elina
Mereka dipertemukan dalam keadaan yang mengaibkan. Dan diatas kesilapan itu, dia dihukum tanpa sempat dirinya adili.
'Perempuan macam kau hanya sesuai digantung tak bertali. Kau tak layak hidup bahagia setelah...
HAURA berjalan bersendirian di persisiran pantai sambil menikmati keindahan pantai dan deruan ombak yang memukul pantai. Waktu petang begini ramai orang akan berada di sini untuk beriadah bersama keluarga sambil menikmati keindahan pantai bersama deruan angin yang lembut menampar pipi. Rambut yang panjang dibiarkan lepas ditiup angin. Penat berjalan dia duduk di tepi batu. Ingatannya kembali pada Mirza semasa mereka bertemu beberapa hari yang lepas.
"Haura, saya minta maaf..." ujar Mirza pada jumaat yang lepas sewaktu mereka keluar bersama. Sudah hampir lapan tahun mereka menjalinkan hubungan percintaan tanpa pengetahuan Puan Laila dan Encik Fuad. Setiap kali Haura keluar berjumpa Mirza, perasaan bersalah akan muncul kerana dia telah berbohong kepada kedua ibu bapanya.
"Kenapa awak minta maaf Mir?" Soal Haura. Mirza tiba-tiba mengajaknya keluar dan terus meminta maaf tanpa sebab.
"Saya bakal bertunang dengan gadis pilihan keluarga...." Mirza tertunduk sayu. Dia tidak sanggup hendak memandang wajah Haura. Rasa bersalah mencengkam dada. Sepanjang dia mengenali Haura, gadis ini terlalu baik untuknya. Haura sentiasa menjaga batas pergaulan dan pertuturan. Perbualan dia dan emaknya, Puan Badriah terlayar di ruang ingatannya.
"Mak nak tunangkan kamu dengan anak pak long kamu. Lagi dua bulan kamu tunang." Mirza yang baru pulang dari bekerja terkedu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut emaknya. Topi keledar dan beg dia letakkan di atas rak. Emaknya yang sedang duduk di atas kerusi kayu dihampirinya.
"Mak... Mir tak nak mak. Mir dah ada Haura."
Sebaris nama yang keluar dari bibir Mirza membuatkan Puan Badriah berdiri tegak. Matanya merah menahan marah.
"Apa kamu cakap?"
"Mir dah ada Haura mak. Mir cintakan Haura. Hanya dia yang Mir akan kahwin."
"Kamu sedar tak apa yang kamu cakap ni? Aku tak izinkan kamu kahwin dengan perempuan tu!" Bentak Puan Badriah.
"Mir sayang Haura mak. Haura gadis yang terlalu baik bagi Mir. Tolonglah mak..."
"Aku bantah. Aku tak ingin bermenantukan perempuan yang belum tahu asal usul keturunannya! Aku tak nak keturunan aku dari perempuan yang entah dari mana!"
"Astagfirullahalazim. Mengucap mak. Tak baik mak cakap macam tu. Haura gadis yang baik mak. Mir kenal dia." Mirza cuba menerangkan semuanya. Dia mengenali Haura. Budi pekerti dan perwatakan itu lah yang membuatkan dia jatuh cinta.
"Aku tetap takkan setuju!"
"Mak...."
"Mir pilih, antara mak atau perempuan tu?"
Mirza tertunduk. Puan Badriah berdiri mengadap Mirza. Tangannya naik memegang wajah Mirza. Dia juga sayangkan anak sulungnya itu. Dia inginkan yang terbaik buat Mirza. Mirza satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Dia tidak mahu Haura menjadi menantunya. Dia tidak tahu asal usul keturunan Haura dan apa yang dia tahu Haura telah dipelihara sejak dari kecik oleh Puan Laila dan Encik Fuad. Entah dari mana datangnya gadis itu. Mungkin dari hubungan yang tidak sah taraf. Dia tidak tahu. Dan dia tidak mahu itu. Dia inginkan gadis dari yang baik keturunan dan akhlaknya untuk dijadikan menantu.
"Allah mak..."
Mirza meraup wajahnya. Jika diberikan pilihan sudah tentu dia akan memilih Puan Badriah. Dia tahu emaknya bersusah payah membesarkan mereka empat beradik selepas ayah mereka lari meninggalkan mereka sejak dari kecil. Dia melihat betapa kuat dan tabah Puan Badriah dalam membesarkan mereka. Kini sudah tiba masanya dia membalas jasa emaknya dengan mengorbankan hati dan perasaannya terhadap Haura.
Saat Mirza menceritakan semuanya, wajah Haura sayu. Dia merelakan perpisahan ini. Dia tidak mahu Mirza berpaling tadah dari emak yang telah membesarkannya dari kecil. Hatinya terluka dengan perpisahan ini dan juga terluka akan kata-kata Puan Badriah.
Ya... dia tidak pernah meminta semua ini berlaku. Dia sendiri pun tidak pasti akan asal usulnya. Apa yang dia tahu nama kedua orang tuanya yang tertulis di atas surat beranak. Hamid Bin Hamdan dan Julia Binti Ismail... itu kali pertama dia mengetahui nama ibu bapa kandungnya. Semasa dia mahu mendaftar ke politeknik dahulu saat itu la dia mengetahuinya. Selama dia hidup dia tidak pernah bertanyakan tentang status dirinya. Dia tidak mahu melukakan hati pasangan yang telah membesarkan dia dari kecil hingga sekarang.
Kini, dia kembali bersendirian tanpa kehadiran Mirza. Dahulu Mirza lah tempat dia meluahkan setiap permasalahan yang dialaminya. Mirza merupakan seorang anggota tentera yang berkhidmat di kem yang terletak di Sungai Petani. Mirza pada ketika ini sudah berusia 29 tahun beza empat tahun dari dia. Mereka berjanji akan menamatkan zaman bujang sebelum usia Mirza 30 tahun. Kini harapan dan impian sudah musnah. Tanpa dia sedari, sebutir mutiara hangat gugur di pipi. Tanpa sedar esakan kecil kedengaran. Dia terluka... sangat terluka.
Saat suasana hampir senja, Haura bangun dan perlahan meninggalkan pantai. Berjalan menuju ke arah basikal yang dia letakkan di bawah pohon kelapa. Basikal di bawa meniti pasir pantai. Sampai sahaja di jalan raya dia mula mengayuh basikal menyusuri ladang kelapa sawit. Di kiri dan kanan terdapat rumah yang terletak agak jauh sesama sendiri. Lalu sahaja di tepi rumah anak-anak yatim iaitu Rumah Kasih, dia berhenti melihat adik-adik yang sedang bermain di dalam kawasan bangunan tersebut yang melambai-lambai ke arahnya. Kebanyakkan anak-anak syurga itu sudah mengenalinya kerana ini lah laluan dia setiap hari berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Jika dia ada mempunyai makanan lebih dia akan berkongsi dengan mereka. Sesekali ada juga Puan Laila berkongsi rezeki dengan anak-anak Rumah Kasih.
"Haura..." tegur Puan Salmah. Haura yang baru perasan akan pemilik rumah anak yatim ini terus turun dari basikal lalu berjalan menghampiri Puan Salmah. Bersalaman dengan wanita awal 50-an itu.
"Baru balik kerja ke?"
"Eh tak lah. Hari ni cuti. Saja jalan-jalan ambik angin petang." Puan Salmah tersenyum. Suka melihat gadis kacukan arab ini. Murah dengan senyuman.
"Ingat balik dari kerja. Hari sabtu ni jemput la datang ye. Ada buat kenduri doa selamat sikit. Ajak ibu dengan ayah sekali tau." Pelawa Puan Salmah.
"InsyaAllah puan. Nanti saya sampaikan dekat ibu dan ayah. Err saya balik dulu ya Puan. Dah lewat ni. Assalamualaikum...." Puan Salmah menjawab salam dan melihat Haura yang semakin hilang dari pandangan.
Puan Salmah mahu mengadakan kenduri buat anak-anak syurga ini. Ini berikutan ada seorang hamba Allah yang telah memberi sumbangan. Kebetulan ada lebih dia mahu mengadakan kenduri dan menjemput semua kenalan dan orang kampung datang memeriahkan suasana. Melihat anak-anak ini gembira pun sudah cukup baginya. Tambahan pula bulan Ramadhan bakal tiba. Selalunya pada bulan ini ramai yang akan memberi juadah untuk berbuka. Lagipun di sini orang kampung suka datang ke rumah ini untuk bergotong royong memasak dan berbuka beramai-ramai. Sebab itu anak-anak Rumah Kasih ini sentiasa seronok dilayan oleh orang kampung. Menumpang kasih sayang penduduk di sini.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.