CH 43: Dosa

126 12 0
                                    

"Papa... tolonglah papa.. sakit, papa.." rayu Si Anak Sulung. Entah berapa banyak kali tubuhnya diserang malam itu. Tetapi apa yang jelas, malam ini merupakan malam yang sangat menyakitkan buatnya. 

Pukulan Encik Azriq Shakirin kepada dirinya seperti tidak menganggap lagi Azrief sebagai anaknya sendiri. Penuh benci dan amarah. Langsung tidak benteng, lelaki itu jelas melepaskan segala perasaannya kepada susuk tubuh yang kurus itu. 

Mata Azrief yang berair memandang wajah mamanya, Puan Fatima Halizah. Mama sedang menangis. Menangis teresak-esak. Wanita tua itu memegang dadanya, perasaan sesak memenuhi ruangan itu. Kecewa mungkin setelah mengetahui anak sulungnya telah tersilap jalan. Jatuh cinta dengan seorang lelaki. Telah melakukan dosa yang besar. Dosa menjadi kaum yang dilaknat Tuhan. 

Adiknya, Faqwan Hashim mengetap bibir. Tangan adiknya digenggam kuat. Sakit melihat abangnya terseksa di hadapan mata sendiri. Hatinya runtun. Dia keliru apa yang dia perlu lakukan. Salah perbuatan bapanya sekarang dan juga malam-malam sebelum ini. Tindakan ini boleh membawa kepada kematian. Akan tetapi, amarah bapanya lebih ditakuti daripada perkara-perkara yang lain. 

Nafas Azrief perlahan. Dia hanya mampu terbaring sambil badannya menerima pukulan dari Si Bapa yang sakitnya bukan kepalang. 

"Kau cium jantan tu! Kau cium jantan tu! Kau buat malu aku! Kau buat malu keluarga ni!" jerit Encik Azriq dia menunjuk telefon pintarnya yang mempunyai gambar jelas anak sulungnya sedang bercium dengan seorang lelaki yang lebih pendek darinya. Hati membara. 

"Azrief.. mintak maaf.. papa.. Azrief berubah.." 

"Berubah kepala kau!" Encik Azriq bangkit dari melutut. Dia pergi ke meja yang meletakkan tali pinggang nipis miliknya. Tali pinggang yang biasa menjadi habuan kepada tubuh badan Azrief Safwan. Tali pinggang yang mengajar erti sakitnya apabila melakukan sesuatu yang salah di mata Si Bapak. 

"Aku tak pernah ajar anak sendiri buat dosa. Aku kecewa dengan kau. Kau bukan anak aku, anak aku tak buat dosa macam ni..." kata Si Papa. Tali pinggang sudah di tangan. Dia bersedia untuk melibas. 

Tali pinggang diangkat. Bersedia menjadikan pinggang kanan Azrief sebagai mangsa. Azrief menutup matanya. Dia menerima nasib yang dia lalui. Inilah akibatnya melakukan sesuatu yang dimurkai Allah. Inilah balasan untuk dia. Mungkin juga ini balasan untuk dosa-dosa lalu... Dosa kepada Wish.. Masa hadapan dia juga kelam, tiada apa yang mampu dijangkakan apabila keluarganya sudah tahu hakikat sebenar tentang fitrah songsang dirinya. 

"Doakan aku ye, Wish...," bisik pemuda kurus itu. Moga-moga doa itu mampu membuat dirinya bertahan dengan segala siksaan ini. "Allah..." 

Tali pinggang itu laju turun untuk melibas dirinya......

Tiada rasa perit. Matanya terbuka. Anak mata Azrief Safwan membulat. Tidak percaya. Seperti mimpi, sekarang Darwish Adil sedang melindungi dirinya. Muka lelaki tembam itu berkerut, jelas menahan libasan hebat dari ayahnya. 

"W..ish?" panggil Azrief. Matanya berair. Tangisannya kembali laju turun. Dia mengesot merapati lelaki yang baru sahaja melindungi dirinya. Dia memegang tangan Wish. Erat. 

"Berhenti, Encik Azriq," pinta Encik Jamiludin. Dia masuk ke dalam rumah itu. Di sisinya berdiri Puan Rosmiza Elanor. Anak-anak perempuan menghampiri Azrief yang sedang terbaring sakit bersama dengan Si Anak Bongsunya. 

Encik Azriq terkejut dengan kedatangan tiba-tiba manusia-manusia itu. Matanya tajam memandang semua yang masuk ke dalam rumahnya tanpa izin. Hatinya yang sedang penuh amarah bagai dicucuh lagi api. Dia mengetap bibir. Wajahnya penuh kerutan. Urat-urat di dahi jelas kelihatan. 

"Korang ni siapa hah? Datang masuk rumah aku ikut suka hati! Kau nak aku report polis ke?!" laung pemilik rumah itu. Dadanya jelas turun naik. Tali pinggang di tangan dipegang erat. 

Bukan Takdir Kita (Completed✔️✔️) Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang