SURAT perintah mahkamah di atas meja ditatap lama. Dia sudah lebih dulu ke pejabat agama dua minggu lepas untuk membuat aduan perceraian sehinggalah surat perintah dikeluarkan untuk suaminya agar menghadirkan diri di mahkamah minggu hadapan.
Walaupun sudah senekad ini, masih tersisa satu rasa dalam hati yang masih cuba untuk membolak balikkan sekeling hatinya. Seperti, keputusan ini bukanlah jalan terakhir. Namun mengenang hubungan yang semakin retak menanti belah, maka perceraian adalah jalan terbaik.
Di bilik sewa, Levent sudah bersiap untuk ke tempat kerja. Walaupun isterinya tidak pulang sejak semalam, dia sedikit pun tak ambil peduli. Bukan sekali ini isterinya keluar dan tidak pulang ke bilik sewa.
Baru hendak menuju ke pintu, ianya ditolak kasar dari luar. Sesaat, kelihatan Zila sedang menapak masuk sambil berpegang pada daun pintu. Wajahnya berkerut dan pucat sekali.
"Kau kenapa?" Tanya Levent seraya mendekati isterinya.
"Ish! Tepilah!" Zila menolak suaminya kemudian berjalan terbongok-bongkok menuju ke tempat tidur.
"Tutup pintu! Aku nak tidur!" Katanya dan terus meniarap di atas tempat tidur.
Levent hanya memerhati seketika sebelum akhirnya beredar dari situ. Sedikit pun tak menyedari perut isterinya yang sudah kempis.
Tengahari itu, Zila terbangun dari tidur akibat perut yang semakin sakit. Peluh dingin mulai membasahi wajahnya seiring rasa sakit yang terus menyerang.
Akibat tidak mampu menahan sakit, Zila meraung sekuat hati. Tak peduli jika suaranya bakal didengar oleh penghuni bilik sewa yang lain. Terasa nyawanya bagaikan telur di hujung tanduk.
PETANG menjelang, Daizy mendatangi tempat kerja Levent. Memandangkan sebentar lagi tamat waktu bekerja, pasti lelaki itu juga akan keluar untuk pulang. Dia mahu menemui suaminya untuk memberikan surat perintah dari mahkamah agar menghadiri proses perceraian mereka.
Sementara itu, Daizy menunggu di hadapan pagar sehinggalah suaminya keluar dari kilang. Levent agak terkejut melihat kehadiran isterinya di situ. Ternyata, tidak sukar untuk wanita itu menemuinya.
"Kenapa datang sini?" Tanya Levent lebih dulu sebaik menghampiri isterinya.
"Kita pergi makan, jom," ajak Daizy tiba-tiba. Dibiarkan sahaja soalan suaminya sebentar tadi.
Levent terdiam sejenak. Agak hairan dengan ajakan tiba-tiba isterinya. Memandangkan dia tidak membawa bekal hari itu, maka diterimalah ajakan isterinya untuk makan bersama. Dengan menaiki kereta wanita itu, mereka menuju ke restoran yang terdekat.
Setelah memesan makanan, suasana kembali senyap. Levent tunduk merenung jari jemari di atas meja sambil sesekali melirik sampul surat di atas meja yang dibawa isterinya. Sejujurnya, terasa kekok sekali duduk berhadapan dengan wanita itu. Sementara Daizy pula, mata tak lari dari merenung wajah suaminya. Ingin sepuasnya menatap wajah itu sebelum mereka berpisah secara sah.
"Sebenarnya, saya jumpa awak sebab nak serahkan surat perintah dari mahkamah." Akhirnya Daizy bersuara seiring menolak sampul surat tersebut ke arah suaminya. Serentak itu Levent tegakkan duduk seraya mencapai sampul surat itu.
Sebaik dibuka, anak matanya mulai bergerak-gerak membaca satu persatu ayat yang tertulis. Untuk seketika, dunia seakan berhenti berputar. Dia tahu, masa ini akan tiba. Dan, inilah masanya. Daizy sudah nekad untuk memfailkan perceraian mereka.
"Insha Allah, saya akan datang," kata Levent dengan senyuman nipisnya. Surat perintah itu dimasukkan kembali ke dalam sampul lalu diletak di atas meja.
YOU ARE READING
Othello (Morbid Jealousy) COMPLETED
RomanceDaizy Baseera dan Levent Haidar adalah dua insan dari latar belakang yang berbeza. Bertemu pertama kalinya di rumah anak yatim My Hope, tempat Daizy Baseera membesar. Di usia 25 tahun, Levent sudah mulai tertarik pada Daizy yang saat itu baru berus...