Semoga epilog ini dapat melegakan sedikit perasaan anda. Sekian🌹
TUJUH TAHUN KEMUDIAN...
Kehidupan Daizy sudah semakin membaik. Jujur, perlukan bertahun-tahun untuk mengikhlaskan perpisahan dengan orang yang disayangi. Mujurlah dengan kehadiran Lessandra mampu menemani perjalanan hidupnya yang dibesarkan dengan tangannya sendiri.
Pun begitu, Dato Ahmed tak membiarkan menantunya mengharungi segalanya tanpa bantuan. Dengan harta dan tenaga yang dia miliki, dimanfaatkan untuk menantu serta cucunya.
Bonda Zainah dan Alfie juga turut berjasa dalam kehidupan Daizy. Banyak membantu wanita itu sehinggalah sekarang. Tidak membiarkan hidup Daizy terumbang ambing menjaga anak seorang diri.
Namun, ada satu jiwa yang mulai mengerti akan perkara yang berlaku dalam hidupnya. Lessandra, yang semakin membesar mulai faham erti rindu. Lebih tepatnya, dia rindu figura seorang ayah. Dengan berbekalkan sekeping foto Levent yang dicuri ambil dari almari milik ibunya, itulah yang ditatap untuk mengubat rindu.
"Lessa, kenapa buka lampu?" Soal Daizy sewaktu melintasi bilik anaknya. Terlihat jelas cahaya dari bawah pintu bilik.
Disebabkan tiada jawapan, Daizy membuka pintu tersebut. Serentak itu, Lessandra menyembunyi foto tersebut di bawah bantalnya.
"Lessa buat apa?" Daizy menapak masuk mendekati anaknya. Kelihatan mata anak kecil itu sedikit merah.
"Lessa sembunyi apa bawah bantal?" Tanya Daizy lagi lalu duduk di sisi anaknya.
Lessandra geleng dengan wajah takut. Dia takut ibunya bakal murka dengan perbuatannya.
"Lessa, mama tanya," tegur Daizy, lembut.
Dengan teragak-agak, Lessandra menarik semula foto yang disembunyi di bawah bantal lalu dihulur kepada ibunya. Seketika, Daizy menghela nafas pendek sewaktu melihat sekeping gambar bekas suaminya ada dalam simpanan anaknya.
"Sejak bila Lessa ambil gambar papa? Kenapa tak minta dengan mama?" Setahu Daizy, foto-foto milik bekas suaminya disimpan rapi di dalam almari.
"Lessa takut. Sebab mama tak benarkan Lessa tengok gambar papa sorang-sorang." Mata yang sedari tadi merah kini mulai berair.
"Lessa nak tahu tak, kenapa mama tak benarkan Lessa tengok gambar papa sorang-sorang?" Daizy dekatkan wajah kemudian menyentuh lembut pipi anaknya.
"Sebab ini." Air mata yang mengalir di pipi anak kecil itu diseka dengan jarinya.
"Sebab mama tak nak Lessa sedih lepas tu menangis seorang diri. Kalau ada mama, Lessa boleh luahkan semua pada mama," jelas Daizy. Dia mahu anaknya tahu alasan mengapa dia terpaksa berbuat demikian.
Lessandra akhirnya tertunduk sayu. Rasa bersalah pada ibunya.
"Dah, jangan sedih." Pipi anaknya diusap lembut sambil mengesat air mata di pipi gebu itu.
"Lessa nak simpan gambar papa, kan? Simpanlah. Mama benarkan." Foto tersebut diberi semula kepada anaknya sekaligus menerbitkan senyuman di bibir anak kecil itu.
"Terima kasih, mama," ucap Lessandra seraya memeluk ibunya.
"Dah, tidur. Esok nak sekolah." Daizy berdiri untuk memberi ruang kepada anaknya. Sebaik anak kecil itu baring barulah Daizy keluar dari situ.
Dengan helaan nafas yang panjang, Daizy bersandar seketika di pintu bilik anaknya. Untuk pertama kalinya, dia merasa bersalah kerana mengekang anaknya dari menatap foto bekas suaminya selama ini. Baru sedar akan anaknya mulai mengerti perasaan rindu pada seorang ayah.
YOU ARE READING
Othello (Morbid Jealousy) COMPLETED
RomanceDaizy Baseera dan Levent Haidar adalah dua insan dari latar belakang yang berbeza. Bertemu pertama kalinya di rumah anak yatim My Hope, tempat Daizy Baseera membesar. Di usia 25 tahun, Levent sudah mulai tertarik pada Daizy yang saat itu baru berus...