Tip 3: Buah yang mana pilihan hati? (Bahagian 1)

144 2 0
                                    

Aku sering menasihati mereka yang cuba untuk menurunkan atau menaikkan berat badan, agar menjadikan buah-buahan tersebut sebagai 'rakan karib' mereka tatkala perut mula berasa lapar (waktu snek).
Tiada definisi sahih yang menunjukkan, buah ini tidak patut dimakan jika ingin menurunkan berat badan, dan buah ini harus dimakan untuk menurunkan berat badan. Tiada.

Naik berat badan atau turunnya berat badan, semua bergantung kepada jumlah kalori yang diambil dalam sehari. Sila rujuk kepada ruangan 'Kelas Kalori' di atas untuk mempelajari lebih lanjut akan hal ini.

Berbalik kepada tajuk perbincangan kita sebentar tadi, iaitu buah. Kenapa aku sarankan buah-buahan ini dijadikan sebagai rakan karib?

Pertama, buah-buahan kaya dengan vitamins, minerals, dan phytochemicals yang membantu melancarkan lagi sistem biokimia di dalam tubuh badan. Kedua, buah-buahan merupakan sumber serabut (fibre) yang baik, membantu dalam melancarkan lagi proses pelawasan ketika membuang air besar. Tahukah anda bahawa kita memerlukan sekurang-kurangnya 18g serabut sehari untuk memastikan sistem pelawasan kita sentiasa berada pada tahap lancar?

Di sebalik kebaikan buah-buahan, ramai yang masih keliru dalam memilih jenis buah-buahan yang patut diambil dalam diet seharian. Berikut aku senaraikan dahulu 'kategori' buah-buahan yang patut dielakkan.

1 - Buah-buahan dalam Tin

Buah-buahan dalam tin memang dicipta untuk memudahkan kita dalam menyediakan hidangan (tak perlu bersusah-payah untuk mengupas buah-buahan dan sebagainya). Walaubagaimanapun, buah-buahan dalam tin ini sentiasa tidak wujud berseorangan. Sirap (gula) merupakan teman karib sepanjang 'mereka' terperangkap di dalam tin tersebut. Ini bermaksud, kalori buah-buahan tersebut menjadi lebih tinggi berbanding asal. Pernah rasa buah laici yang segar dikupas? Cuba bandingkan dengan buah laici yang ditinkan.

Kalau buah-buahan tersebut memang susah untuk dijumpai dan hanya terdapat dalam produk tin, dan andaikata anda benar-benar kepingin untuk menikmatinya, sila pastikan buang segala sirap yang ada, dan basuh semula buah-buahan tersebut dengan air masak.

2 - Buah-buahan jeruk

Kategori buah-buahan jenis ini adalah sama seperti kategori 'buah-buahan dalam tin' sebentar tadi. Cuma kali ini, ia telah ditambah dengan beberapa bahan kimia, termasuklah cuka (acetic acid).

3 - Buah-buahan kering

Secara matematiknya, 100g buah-buahan kering ini adalah lebih tinggi kalorinya berbanding 100g buah-buahan segar. Ini kerana, apabila buah-buahan dikeringkan, kandungan kepekatan gula dalam buah akan menjadi tinggi berbanding saiz.

Sudah menjadi lumrah, masyarakat kita kurang prihatin dalam meniliti jumlah makanan yang diambil, makan dan terus makan selagi perut boleh diisi. Malah ada yang mengganggap kalori bagi segenggam raisins (kismis dalam kotak) itu adalah lebih rendah berbanding sebiji epal! Sebiji buah kurma kering sahaja mengandungi kira-kira 25kcal, kalau 4 biji, dah 100kcal. Pokoknya di sini, ketahui berapa banyak kalori yang anda ambil, dan jangan sama sekali tertipu dengan saiz!

4 - Buah-buahan 'Jus'

Jus buah-buahan seperti 'Tropicana Twister: Dengan pulp buah-buahan asli' mungkin kaya dengan Vitamin C, namun ketahuilah juga bahawa produk sebegini SUNGGUH diperkayakan dengan gula. Jika terasa hendak minum jus, jangan pergi ke Tesco mahupun Giant, sebaliknya, pergilah ke dapur dan sediakan sendiri minuman jus anda daripada buah-buahan segar. Gula? Tak perlu. Kandungan gula dalam buah-buahan tersebut sudah cukup untuk membekalkan anda tenaga bekerja untuk tempoh beberapa jam.

5 - Buah-buahan yang menyihatkan: pilih jangan tak pilih.

Sampai juga kita kepada isi yang paling penting, iaitu memilih buah-buahan yang tepat dan menyihatkan. Memanglah semua buah-buahan asli itu segar dan elok untuk dimakan, namun ketahuilah, ada segelintir buah-buahan juga yang harus kita waspada untuk memastikan kita menggunakan sebaik mungkin kuota kalori yang ada untuk 'sumber yang berfaedah'. Apakah buah-buahan tersebut En. SS? Dan apakah pula jenis-jenis buah-buahan yang HARUS dimakan? Semua itu, akan aku kupas dalam bahagian seterusnya.

#TurunBeratBadan101Where stories live. Discover now