Apa penyebab anda 'terlebih makan'?

85 1 0
                                    

Suatu ketika dahulu, saya ada kongsikan sedikit tip bagaimana untuk mengelak tabiat makan secara berlebihan.

Sudahkah anda memanfaatkan tip tersebut? Jika sudah, Alhamdulillah. Syukur atas setiap ilmu yang kita pelajari, kurniaan dariNya.

Tetapi pernahkah anda terfikir, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kita terlebih makan dari kuantiti yang sepatutnya?

Bagaimana terjadinya sindrom 'makan berlebihan', atau lebih tepat 'mengambil kalori lebih dari keperluan'?

Bunyinya mungkin seperti mudah, tetapi sekiranya anda duduk seketika dan berfikir sejenak, anda mendapati prosesnya sungguh kompleks kerana terdapat begitu banyak faktor yang mendorongnya, kadang-kala sehingga kita tidak sedar langsung yang kita sedang mengambil sesuatu itu secara berlebihan.

Di sini saya senaraikan beberapa penyebab utama yang mendorong kepada kegiatan 'terlebih makan'.

1 - Makan benda yang ringkas untuk mengelakkan yang 'berat'

Ini sering terjadi kepada mereka yang hendak berdiet tetapi elak makan nasi, alasannya nasi itu terlalu 'berat' dan menggemukkan. Apa yang diambil untuk menggantikan nasi? Mereka ambil sesuatu yang 'ringan' seperti biskut-biskut, roti, secara kasarnya makanan proses. Mereka fikir makanan seperti ini 'ringan' dan tak menggemukkan, hakikatnya mereka tidak tahu makanan-makanan seperti inilah yang mempunyai ketumpatan kalori yang paling tinggi.

Makanan seperti ini juga tidak mengenyangkan kerana kurangnya kandungan serat di dalamnya, sebaliknya mengandungi lemak serta karbohidrat ringkas seperti gula dan tepung gandum, yang mana langsung tidak 'memberi cabaran' kepada sistem pencernaan. Langsung tidak mengenyangkan. Pernah anda bandingkan makan 4 keping roti putih, bersama lauk, bersama sepinggan nasi bersama lauk yang sama, mana satu yang memberikan rasa kenyang yang lebih lama? Sudah pastilah sepinggan nasi tersebut, tetapi jangan anda tak tahu, kalori sepinggan nasi dan 4 keping roti adalah lebih kurang sama, yang membezakan di situ adalah kandungan serat.

Lebih parah lagi dengan biskut, yang mana sebagai contoh kalori untuk 3 keping biskut jenama Chipsmore sahaja bersamaan dengan sepinggan nasi. Tapi buat mereka yang kononnya 'berdiet' untuk kurus tetapi tanpa ilmu, ada mereka kisah semua ini? Mereka akan ada tendency untuk makan lebih sehingga perut berasa kenyang, sedangkan 3 keping biskut Chipsmore mana cukup dan mengenyangkan, entah-entah makan setengah paket pun belum tentu datang kenyangnya! (Ini contoh jelas, makanan berkalori tinggi, tetapi tidak mengenyangkan, sebaliknya orang fikir sifatnya lebih 'ringan' dari nasi)

Contoh Diet yang tidak seimbang...

2 - Makan terlalu gelojoh

Semua orang tahu makan secara gelojoh adalah perkara yang paling tidak beradab dan tidak layak untuk dicontohi. Namun secara kompleksnya, adakah anda tahu apa yang terjadi dalam badan anda sekiranya anda makan dengan gelojoh? 'Stretch receptors' yang terdapat pada perut mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menghantar isyarat ke otak dalam memberitahu jika diri anda sudah kenyang, atau sebaliknya. Andaikata anda makan terlalu cepat sehingga mendahului isyarat 'rasa kenyang' ini untuk sampai ke otak, maka berkemungkinan besar anda akan terlebih makan daripada yang sepatutnya. Malah selepas beberapa ketika, anda akan berasa terlalu kenyang dan mula rasa mengantuk. Seeloknya ikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W, kunyah dahulu makanan kira-kira 40 kali sebelum telan. Biar lambat ketika makan, itu adalah lebih baik.

3 - Kurang minum air selepas makan

Selepas makan, kepekatan darah akan meningkat (kehadiran glucose dan asid amino), dan kita memerlukan air untuk 'mencairkan' kembali darah dalam badan. Sekiranya anda masih belum berasa kenyang selepas satu-satu hidangan (seperti sepinggan nasi), minum dulu segelas air kosong, tunggu beberapa minit dan lihat jika apa yang diperlukan badan korang itu adalah betul-betul makanan atau sekadar air. Selain itu, kajian di University of Washington menunjukkan minum segelas air mampu menurunkan selera makan kepada beberapa tahap.

4 - Timing makan yang berterabur

Ada individu yang mengelak makan sarapan pagi dengan alasan seperti tak sempat bersarapan, terlalu sibuk dengan kerja, tak lalu makan pagi dan sebagainya. Apabila tiba waktu tengahari, mereka akan cenderung untuk makan dengan banyak akibat terlalu lapar (akibat skip hidangan sebelah pagi). Seeloknya bahagikan makanan seharian itu kepada beberapa hidangan, dan setiap hidangan pula pada jumlah kalori yang bersesuaian.

5 - Pengaruh makanan proses

Dr. David A. Kessler menerusi bukunya "The End of Overeating" menyatakan bahawa punca manusia zaman kini makan berlebihan secara tidak sedar adalah disebabkan oleh industri makanan itu sendiri. Makanan proses yang mengetengahkan kombinasi gula ringkas, lemak dan garam telah menipu otak manusia dalam mentafsir rasa kenyang. Sebagai contoh, jika kita makan satu hidangan McD yang bernilai 300kcal langsung tidak mengenyangkan sedangkan kalaumakan secara bersih atau clean, nilai tersebut dah cukup mengenyangkan. Kalau anda ke McD, 300kcal itu hanya cukup untuk hidangan kecil french fries (small fries) berserta dengan satu sudu besar sos. Kalau nak kenyang, kena makan 'standard meal' (ada burger, air, sos, nuget) yang nilainya mahu mencecah 1000kcal. Otak telah tertipu dalam mentafsir rasa kenyang tersebut.

6 - Pengaruh Paket Makanan (Packaging)

Dr. Brian Wansink, pakar psikologi makanan (boleh lawat laman web beliau "Mindless eating") ada berkongsikan sebuah eksperimen dalam salah satu penulisan beliau yang menunjukkan pengaruh packaging makanan terhadap manusia. Eksperimen ini mengetengahkan pembolehubah seperti saiz paket makanan. Hasil daripada eksperimen ini mendapati manusia cenderung untuk membeli saiz yang besar berbanding yang kecil kerana jika beli yang besar, selalunya lebih menguntungkan. Sebagai contoh, ketika ingin menonton wayang, anda ingin membeli snek untuk dijadikan kudapan ketika menonton. Terdapat 2 pilihan saiz pop-corn; pop-corn yang bersaiz medium (500ml) berharga RM5, tetapi pop-corn yang bersaiz besar (1L) berharga RM7. Yang mana lebih menguntungkan pembeli? Anda sebagai pembeli, pastinya mahu memaksimakan definisi "berbaloi-baloi" ketika membeli, bukan?

7 - Pengaruh Persekitaran

Pengaruh persekitaran juga mempengaruhi psikologi manusia untuk makan secara berlebihan, dan ini boleh dipecahkan lagi kepada beberapa faktor kecil, seperti berikut (diolah semula dari entri "Six hidden Causes of Overeating" di Yahoo Lifestyle edisi UK):

Kecerahan bilik - Manusia cenderung untuk makan berlebihan dalam bilik yang malap berbanding bilik yang cerah.Lokasi makanan diletakkan - Manusia cenderung untuk makan berlebihan jika makanan tersebut dalam radius pandangan dan mudah dilihat (sebagai contoh, balang kekacang/smarties di atas meja ruang tamu lebih cenderung untuk digapai dan dimakan berbanding jika disimpan dalam kabinet dapur)Warna dinding (bilik) - Para penyelidik dari University of Winnipeg mendapati terdapat hubungkait antara warna dan nafsu makan manusia. Mereka mendapati sekiranya makanan anda dihidangkan dalam pinggan berwarna biru, atau dihidangkan atas meja dengan alas berwarna biru, maka nafsu serakah bapak segala puaka makan anda akan berkurangan. Nafsu makan anda akan turun lebih banyak jika dinding ruang makan anda juga adalah berwarna biru. Warna merah pula membawa kesan sebaliknya (sebab itu kebanyakkan restoran makanan segera banyak menggunakan tema warna merah)Gelas - Mereka yang minum menggunakan gelas yang pendek, kembung dan besar lebih cenderung untuk minum lebih berbanding mereka yang menggunakan gelas yang tinggi dan "kurus". Bolehlah dipraktikkan tip ini ketika mengunjungi rumah terbuka sahabat handai.Saiz pinggan/sudu - mereka yang menggunakan saiz pinggan dan sudu yang besar cenderung untuk makan lebih berbanding menggunakan pinggan dan sudu yang lebih kecil.

#TurunBeratBadan101Where stories live. Discover now