5 sebab logik kenapa tidak makan nasi..

105 1 0
                                    

Nasi adalah sumber karbohidrat yang PALING murah di Malaysia (berdasarkan gram per sen). Mengapa aku berkata begitu? Kerana dengan membayar RM1 sahaja, anda boleh mendapat nasi putih "tanpa had" daripada peniaga-peniaga makanan.

Mana nak dapat kawan, nasi meladung macam bukit larut tingginya tu dengan hanya RM1? Mana nak dapat kawan dialog sebegini, "Mamak, tambah lagi nasi.. lagi sikit haa.. sikit lagi"?

Mengikut tafsiran aku, rakyat Malaysia yang normal akan menikmati nasi sekurang-kurangnya sekali dalam sehari. Namun terdapat situasi-situasi di mana segelintir rakyat Malaysia tidak menikmati nasi.

1 - Menetap di Afrika
Mungkin anda tidak menikmati nasi jika anda menetap di Somalia untuk menyelami dan merasai sendiri hidup sebagai anak jati Somalia. Selalunya orang begini ingin merasakan sendiri penderitaan apabila berdepan situasi-situasi "kekurangan bekalan makanan". Tujuannya? Mungkin sekadar suka-suka (kepuasan sendiri) atau untuk mencari publisiti murahan seperti ditaja oleh sebuah stesen TV untuk dijadikan siri realiti TV.

Orang Somalia susah betul nak cari nasi, kita di Malaysia yang melimpah-limpah nasi ni pun tak sangka ada orang yang tak makan nasi. Untuk mereka yang tak nak makan nasi, nak tak tukar tempat dengan rakyat Somalia? Kalau nak, nanti kita buat program "pertukaran" rakyat ya (macam program pertukaran pelajar tu). Tak payah lama-lama, sebulan pun cukup.

2 - Menghidap penyakit "Nasiphobia"
Istilah ini masih baru, dan anda tidak akan jumpa istilah ini di mana-mana kerana orang barat masih belum melakukan kajian untuk mengkaji penyakit psikologi ini (nasi kan bukan makanan ruji mereka).

Nasiphobia ini dipengaruhi faktor sekeliling dan berkembang selari dengan persepsi individu berkenaan terhadap nasi. Bagi aku, Nasiphobia ini ada beberapa peringkat, dan peringkat yang paling dahsyat ialah apabila nasi tersebut dimuntahkan semula setiap kali ia melepasi zon tekak. Tindakan refleks ini berlaku kerana individu tersebut pernah memuntahkan nasi yang beliau makan, semata-mata kerana tidak mahu badan naik gemuk atau konon-kononnya berdiet. Mereka yang menghidap penyakit ini dinasihati berjumpa pakar psikologi, atau pakar berkenaan "Neuro Linguistic Programming" (NLP).

3 - Mengikut telunjuk rakan
Apabila kawan yang seorang tu cakap jangan makan nasi untuk kurus, semua pun percaya dan ikut. Apabila seorang selebriti tu cakap dia turun berat berpuluh-puluh kilogram dalam masa 6 bulan kerana tak makan nasi, semua pun percaya dan ikut. Tapi apabila aku cakap aku masih makan nasi 2 kali sehari dan turun lebih 40kg berat badan hanya dalam masa 10 bulan, ada siapa yang percaya dan nak ikut?

"Follow me now... are you dare enough?"

4 - Culture-shocked (kejutan budaya)
Nasi tak mahu dimakannya, tempoyak dan belacan pula dikatakan busuk, yang nak dimakan hanyalah roti, pasta, "chicken chop" dan "beef steak". Konon-kononnya nak jadi "American", nak jadi "British", nak jadi "Italian", dan nak jadi seperti "Aussie". Penampar nak?

5 - Pengikut tegar Diet Atkins (fasa induksi)
Pengamal Diet Atkins yang benar-benar tegar akan menidakkan pengambilan nasi (juga sumber karbohidrat yang lain) ketika fasa induksi kerana itu merupakan kunci kejayaan diet mereka secara total. Aku tahu ada segelintir pembaca aku yang mengamalkan diet Atkins, maka aku mengambil langkah untuk tidak membicarakan hal ini dengan panjang melebar. Faham-faham sendirilah ya?

Kenapa kau kecoh-kecoh suruh orang makan nasi ni, Susu Sejat?

Aku sebenarnya kecewa dengan mentaliti masyarakat yang mudah terpedaya dan senang mengikut telunjuk orang lain TANPA USUL PERIKSA. Jika betul anda tidak mahu makan nasi atas alasan berdiet, cubalah cabar sedikit minda tu dengan soalan, "Kenapa kalau aku tak makan nasi, berat aku boleh turun?". Jangan asyik nak mengharapkan orang untuk menyuapkan ilmu tu kepada kita, ilmu harus dicari, bukan dinanti. Kalau dinanti, akibatnya jahillah diri.

Kempen aku supaya masyarakat jangan takut nasi ini berasas.

Pertama, dengan nasi, pengambilan makanan kita pasti seimbang. Katakan kalau kita berdiet tanpa nasi, cuba rujuk balik apa yang akan di makan. Mungkin diet anda akan terdiri daripada makanan seperti berikut - Biskut, roti, Milo, cekedis, kerepek, dan berbagai lagi makanan rencah. Namun cuba tanya diri anda kembali, mana sumber protein dalam diet tersebut? Mana sumber Alkaline? Tiada!

Aku tak kisah kalau tak mahu makan nasi dan digantikan dengan sumber karbohidrat yang lain. Persoalannya mampukah anda menambah sumber protein ke dalam diet tersebut jika anda ingin menggantikan nasi dengan roti dan biskut-biskut? Bagaimana pula dengan sumber Alkaline (sayur-sayuran)? Mesti ada yang akan cakap, "Alah, lecehnya. Nak berdiet tapi kena tahu pula apa itu protein dan Alkaline". Cukup-cukuplah memberi alasan, kerana aku sudah naik jelak mendengar alasan.

Nenek aku di kampung sejak dari dulu pun tak pernah belajar sains, tapi disebabkan beliau sentiasa makan nasi dan tak makan makanan rencah, maka dia kekal sihat dan cergas walaupun umur hampir mencecah seabad. Cukuplah dengan hanya makan nasi, beliau mendapat sumber karbohidrat (nasi), sumber protein (lauk), dan sumber alkaline (sayur-sayuran) yang mencukupi.

Apa yang ada dalam biskut-biskut dan pelbagai lagi makanan selain nasi? Semua itu rata-ratanya adalah makanan yang telah diproses dan mengandungi bahan-bahan kimia dan pengawet yang berbagai. Itu belum diambil kira kandungan sodiumnya lagi. Benar, semua makanan-makanan tersebut tinggi kandungan sodiumnya dan tidak boleh diambil terlalu kerap, apatah lagi dijadikan diet harian yang tetap. Kalau hari-hari diambil benda yang sama, kelak apabila usia meningkat, kurus dapat, darah tinggi pun dapat. Nak ke jadi macam tu? Nak kurus pun berpada-padalah, fikir juga kesan jangka masa panjang, jangan fikir nak kurus sampai memudaratkan kesihatan. Lebihkan makan makanan yang dimasak (dari reban dan ladang, makanan mentah), dan kurangkan makanan yang diproses!

Kedua, nasi merupakan makanan rasmi rakyat Malaysia. Ada yang berpendapat kita tidak semestinya terikat untuk makan nasi dalam berdiet kerana ia boleh digantikan dengan sumber karbohidrat yang lain seperti roti, pasta, oat, atau kentang putar. Benar, tetapi nasi kan sumber karbohidrat termurah di Malaysia, kenapa perlu membazir membeli sepaket pasta kering yang berharga hampir sama dengan sekampit beras (5kg)? Nasi itu sumber karbohidrat termurah di Malaysia, kerana ia merupakan makanan ruji kita!

Kita sibuk berkempen tentang konsep 1Malaysia, tapi tahukah anda konsep 1Malaysia itu sudah pun wujud dalam budaya pemakanan kita. Orang Melayu makan nasi, orang cina makan nasi, orang India makan nasi, orang Asli makan nasi, orang Iban makan nasi, orang Bidayuh makan nasi, orang Kadazan makan nasi, pendek kata semua orang di Malaysia tanpa mengira kaum makan nasi. Itu barulah identiti kita, dan jangan sesekali dicemari identiti tersebut.

Dan jangan sesekali kita lupa, ambillah nasi dan lauk secara berpada, kerana segenggam nasi (bagi lelaki) itu merangkumi 1/20 kalori yang kita perlukan dalam sehari. Takkan nak makan sampai 20 genggam kot kawan?!

#TurunBeratBadan101Where stories live. Discover now