03-Menjejaki Langkah Mula Seorang Penulis

1.1K 89 74
                                    

Assalammualaikum,

Tulisan ini saya dedikasikan untuk mereka yang minat menulis tetapi takut untuk bermula. Semoga ada sesuatu yang anda dapat darinya. Selamat membaca!

Menjejaki Langkah Mula Seorang Penulis

Aku resah. Mata masih tidak mahu lelap. Otakku ligat. Apa yang nak kukarang? Bingung. Memang bingung. Baca novel, cerpen dan pelbagai buku ilmiah, semuanya bagai merentap tangkai hati ini untuk menjejaki bidang penulisan.

Aku bukan tidak boleh menulis. Boleh. Semua orang pun boleh menulis. Hari-hari aku mencatat apa yang berlaku pada diri aku. Bila kubaca kembali, lebih kurang sama seperti cerpen yang tersiar di dada-dada akhbar.

Tetapi, kenapa aku masih takut untuk memulakannya? Ah, bingung!

Hasil karya Othman Puteh itu kutarik. Ku selak. Kututup. Kurenung tajuk yang tertera di kulitnya. 'Pengisian Dunia Sastera.' Aku minat bidang ini. Tetapi otakku masih kosong untuk berkarya.

Aku masih mencari sesuatu sebelum benar-benar menjerumuskan diri dalam bidang ini. Apa yang aku cari, pun aku tidak pasti. Kuselak kembali buku hasil tulisan Othman Puteh itu.

Halaman 449 itu kubuka. Aku tatap satu persatu patah kata yang tertera di dalamnya. Aku bingung. Ayat terakhir dalam perenggan itu menarik perhatian aku.

'Mengapa harus jadi pengikut sekiranya kita berupaya mempeloporinya.'

Ayat itu berlegar-legar dalam otak aku yang serba buntu.

"Satu benda pun tidak akan jadi kalau kau asyik termenung."

"Habis, apa yang perlu aku buat?"

"Apa yang perlu kau buat?"

"Ya! Apa yang perlu aku buat?"

"Kenapa bodoh sangat kau ini? Sekolah tinggi-tinggi, akal berkarat!"

Aku diam. Bergaduh dengan hati sendiri memang menyeksakan. Bertambah bingung otak aku.

"Hah! Menung lagi?"

"Aku bingung."

"Seorang penulis yang baik mampu mengatasi semua itu. Kau tengah bingung, tulislah pasal 'bingung'."

"Pasal 'bingung'?"

"Ya. Pasal 'bingung'."

"Apa yang nak aku tulis pasal 'bingung'?"

"Kau tanya aku? Kau tulis apa saja. Gunakan pendekatan 5W1H yang kau dah belajar tu."

"5W1H?"

"Ya. What, When, Where, Why, Who dan How."

"Bagaimana?"

"Tulislah - Kenapa kau bingung, Bagaimana kau boleh bingung, Apa yang menyebabkan kau bingung dan semua yang bersangkut dengan persoalan-persoalan tersebut."

Aku capai pen dan kertas. Lalu terus mencoret semua yang terlintas dalam fikiran. Menulis dan menulis. Kemudian berhenti.

"Bagaimana kalau karya aku dianggap bodoh? Diketawakan? Tak disiarkan? Dan... dan... dibuang ke dalam tong sampah?"

"Kenapa kau perlu fikir tentang benda-benda bodoh itu?"

"Aku tak tahu. Tolonglah jangan dera aku begini. Kau terlalu mendesak. Aku semakin buntu."

"Kau tahu, kan. Seorang penunggang kuda yang cekap juga pada asalnya pernah jatuh? Tapi dia bangun menunggang semula. Biar berapa kali dia jatuh, dia tetap bangun dan menunggang semula."

"Ya. Itu benar. Tetapi aku masih mencari-cari tapak untuk memulakannya. Novel Pramoedya Ananta Toer berjudul 'Anak Semua Bangsa' bukan sebarangan novel. Beliau penulis terkemuka. Apa yang disajikannya penuh dengan ilmu kemanusiaan dan keberanian. Bukan sekadar omongan kosong.

Untuk mengikut jejak beliau, perlu cukup ilmu pengetahuan. Sejarah, geografi malah meliputi politik dan peradaban bangsa. Terlalu jauh!

Sama juga dengan novel 'Imam' hasil air tangan Sasterawan Negara, Abdullah Husin. Novelnya bobot (penuh kualiti dan punya pemberat), teliti dan penuh pengkajian. Kajian apa yang dah aku buat?"

"Kenapa terlalu jauh model yang kau cari? Hasil karya mereka yang kau baca itu adalah yang ke berapa? Cuba cari yang pertama. Kaji permulaan mereka.

"Yang pertama?"

"Ya. Bagaimana kalau kau cari cerpen pertama Keris Mas?"

Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaludin Muhamad, penulis buku 'Patah Tumbuh', buku teks sastera sekolah menengah tinggi. Aku capai buku 'Patah Tumbuh' berkulit hijau itu. Kuselak-selak. Tahap pertama banyak mengenengahkan persoalan cinta dan perjuangan. Sesuai dengan zaman.

'Wasiat Orang Bangsawan'. Jalan cerita yang bersahaja seolah-olah suatu realiti yang diabadikan melalui tulisan. Tetapi aku semakin keliru. Bingung. Susah juga untuk jadi seorang penulis. Membaca hasil karya orang lain memang seronok. Lebih-lebih lagi untuk menganalisa. Selepas itu timbullah pujian, kekaguman, persoalan dan kadang-kala kritikan. Tetapi bila hendak mencuba... semua jadi serba tak kena. Habis tu? Sampai bila?

Arenawati juga begitu. Malah lebih jauh lagi pengembaraannya. Sejauh dan sedalam ilmunya. 'Panrita', Novel beliau yang membawa aku mengembara. Imaginasi yang begitu tinggi. Keberanian membicarakan tentang agama. Perjalanan di alam lain. Membuatkan pembaca insaf.

Terlalu sukar untuk aku sampai ke tahap itu. Dalam mimpi pun tidak mungkin terjadi. Aku perlu lebih banyak membaca. Biarlah aku terus membaca. Mungkin belum tiba masa untuk aku menulis. Mungkin suatu hari nanti.

"Suatu hari nanti?" Bila? Bilakah suatu hari itu akan tiba? Bila?"

"Bila ilmuku telah cukup."

"Bila ilmu kau telah cukup? Hei, tak ada seorang manusia pun di dunia ini yang cukup ilmunya. Ilmu itu terlalu luas. Hingga nadi kau berhenti berdenyut pun belum tentu ilmu kau cukup. Jadi sampai bila-bila pun kau tak akan bermula."

Terpempan aku seketika. Memang sukar. Sukar teramat sukar. Langkah pertama memang sukar.

"Cuba. Itu yang perlu kau lakukan."

"Bagaimana kalau gagal?"

"Kau takut pada kegagalan?" Kau takut?"

"Tidak! Aku tidak takut pada kegagalan cuma... aku sebenarnya takut jika kesilapan yang aku lakukan itu hanya akan mencacatkan dunia sastera. Dunia penulisan. Dunia yang aku kagumi."

"Silap? Semua manusia buat silap."

"Tapi..."

"Kau boleh belajar daripada kesilapan."

"Hati aku berkata agar aku belajar dari kesilapan. Dan aku perlu buat kesilapan untuk belajar darinya. Kesilapan tak susah untuk kucari. Aku capai kertas dan pena lalu mula menulis dan menulis untuk memulakan langkah pertama dan melihat hasilnya. Juga mencari kesilapan dan belajar darinya.

Itulah cara aku bermula. Dan aku pasti, begitu juga seorang penulis terkemuka bermula.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now