17 - 'Branding'

102 20 0
                                    

BARU-BARU ini saya ada terbaca hasil tulisan seorang penulis yang menyentuh tentang 'branding'. Mengikut tips 'branding' yang dikongsi, seseorang penulis itu perlu dikenali. Gambar profil jika boleh, letak gambar sebenar. Katanya lagi, jika orang tak kenal, maka hasil tulisan kita sukar untuk dijual.

Saya tidak pasti berapa jauh pendapat ini boleh pergi. Tetapi pendapat ini juga membuka minda saya tentang dunia penulisan dari sisi yang berbeza. Saya mula melihat tulisan sebagai satu kerjaya dan perniagaan yang memerlukan komitmen, promosi dan mungkin juga sedikit pelaburan.

Banyak orang, banyak pendapat yang boleh kita dengar. Boleh kita fikir-fikirkan. Dan, jangan sesekali kita kecam.

Hidup ini satu pilihan. Jadi, tidak ada salah dan benar dalam mengutarakan pendapat. Pendapat itu hanya satu pemikiran yang dikongsi untuk difikir-fikirkan.

Saya juga punya pendapat saya sendiri. Pendapat yang tercetus dari peribadi saya yang agak pemalu untuk dikenali secara total. Jadi, untuk meletak wajah sendiri di gambar profil, tentulah jawapannya – tidak.

Nama sebenar? Ya. Saya tidak berapa kisah untuk itu. Lagi pula, saya tidak pandai mencipta nama pena atau nama pengguna. Lebih selesa dengan nama asal.

Sejujurnya, saya bukanlah seorang yang suka mengenengahkan diri saya untuk orang kenali. Saya lebih suka orang kenal hasil tulisan saya berbanding diri saya sendiri.

Pada saya, identiti seseorang penulis itu boleh kita teroka dan cungkil melalui karya-karyanya. Gaya bahasanya. Dan, melalui watak-watak ciptaannya. Saya percaya, salah satu watak atau mungkin juga dalam setiap watak yang diwujudkan, ada diri penulis itu di dalamnya.

Cerita yang ditulis juga mungkin ada terselit kisah hidupnya. Untuk kenal dia, bacalah karya-karyanya.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now