14-Klise!

187 20 4
                                    

Assalammualaikum dan Salam secawan Horlick, kawan-kawan,

Eh, Horlick? Hahaha ... ya pagi ini saya tak ambil kopi, hanya Horlick.

Tajuk apa ya?

Klise? Terlalu klise untuk disebut dan dibicarakan. Tetapi seperti biasa, saya memilih topik yang memberi masalah kepada penulisan saya. Idea penceritaan dan peleraian konflik saya tersekat pada sesuatu yang klise. Stereotaip!

Apa itu klise?

Adakah bila cerita itu sering ditulis dengan latar masa, latar belakang watak yang sama dan dengan jalan cerita yang sama itu dinamakan klise? Contoh yang sering diberi bila memperkatakan tentang klise ialah cerita cinta yang berlatar-masa ruang pejabat, latar belakang watak berjawatan tertinggi dan jatuh cinta secara tak sengaja bermula dengan gaduh-gaduh dan peristiwa yang tidak dijangka. Hanya itukah yang dikatakan klise?

Saya mula membuat pembacaan dan mencari tentang 'klise' dan cuba memahaminya bila di peleraian cerita saya, yang bila dibaca semula bunyinya agak klise juga.

Saya terjumpa beberapa blog yang membicarakan tentang 'klise'. Blog www.kapasitor.net dengan terperinci menjelaskan tentang klise. Saya petik sedikit sahaja dari blog tersebut sebagai contoh:

"Klise bermaksud kata-kata atau frasa yang telah pudar, kurang segar dan kurang asli kerana terlalu sering digunakan atau selalu diulang-ulang sehinggakan pembaca tidak merasakan sesuatu yang baru dan indah. Ia juga bersifat stereotaip. Tidak memberi sumbangan besar dalam sesuatu karya."

Penulis blog juga menyatakan bahawa frasa seperti 'lurus bendul', 'tegak macam kayu', dan 'pungguk merindu bulan' merupakan frasa klise!

Wah, nampaknya saya juga adalah penulis klise yang tanpa sedar ada memasukkan frasa-frasa klise dalam penulisan saya. (tepuk dahi sekejap)

Banyak lagi yang didedahkan tentang 'klise' dalam blog beliau. Boleh layari pautan yang saya letakkan dan baca.

Dan, ada satu blog www.kompasiana.com juga dalam artikelnya ada menyelitkan tentang klise. Di dalamnya dinyatakan bahawa jika seorang penulis ingin mengelakkan penulisan dan penggunaan bicara-bicara klise, seseorang penulis itu perlu bersungguh-sungguh dalam menghasilkan karyanya.

Bersungguh-sungguh yang dimaksudkan di sini adalah mencari ilmu penulisan itu sendiri, dengan cara banyak membaca karya-karya agung. Bukan sekadar membaca karya klise! Mas Goenawan Mohamad namanya. Beliau berkata,

"Tiap karya tulis yang bersungguh-sungguh ibarat sebuah lukisan. Prosesnya memerlukan kreativitas dan ketekunan, inovasi terus-menerus, dan kemahuan meneliti pelbagai anasir untuk memasukkan yang baru itu. Itulah dunia tulis-menulis. Ia membutuhkan (memerlukan) kecergasan dan ketangkasan mengunyah kata-kata."

'Mengunyah kata-kata'.

Cantikkan ayat 'mengunyah kata-kata'? Ya. Sangat cantik. Tidak berbunyi klise. Berbeza dan unik penggunaannya. Seunik Mas Goen yang begitu tajam dan halus pemerhatian dan penulisannya.

Bukan mudah mencipta frasa baru seperti frasa di atas untuk dimuatkan dalam karya kita. Saya termenung seketika, memikirkan situasi di mana penulis-penulis hebat ini berkarya.

Apa keadaan mereka? Adakah mereka berada di tepi laut yang luas. Ditemani dengan suara angin yang sejuk? Atau mereka berada di dalam sebuah bilik kubikel yang terhad pemandangannya tetapi mampu membuat mereka hilang dalam dimensi berbeza dan menghasilkan frasa baru yang segar?

Ah, andai saya meneruskan cita-cita saya untuk menjadi seorang wartawan, dan andai saya pada ketika itu diletakkan di meja sastera ... tentu saya akan mencari mereka-mereka ini untuk saya bertanya.

Ya, tetapi cita-cita itu hanya tersimpan. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk saya. Saya masih menulis tetapi bukan berita, tetapi sebuah cerita. Yang kini sedang anda baca. Alhamdulillah. Itu sudah cukup. Sebaran ilmu di hujung ketikan aksara komputer membantu kita berhubung.

Horlick saya sudah menyejuk. Semoga pengisian ini memberi idea untuk saya dan anda juga dalam mencipta frasa yang tidak klise dan memberi kesegaran dalam penulisan.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now