Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,
Bila menulis, saya kadang-kala menemui 'kematian'. Bukan kematian watak dalam penulisan, tetapi kematian saya untuk terus menulis. Saya tidak pasti sama ada hanya saya seorang yang mengalami atau rakan-rakan penulis juga mengalami dan menemui kematian dalam penulisan.
Dalam penulisan, saya temui dua jenis kematian.
1-Kematian idea menulis
2-Kematian semangat untuk menulis
Dua kematian yang membuatkan penulisan terhenti mati! Kematian idea menulis yang saya alami mempunyai pecahannya pula.
1.1 - Mati idea untuk meneruskan jalan cerita atau dengan kata lain untuk mengembangkan plot.
1.2 - Mati idea untuk memilih / membina ayat.
1.3 - Mati idea untuk meneruskan perkembangan watak tambahan atau kesudahan hidup watak.
1.4 - Mati idea untuk mencipta rentetan konflik
1.5 - Mati idea untuk peleraian konflik
1.6 - Mati idea untuk menamatkan cerita (Tak pandai nak berhenti menulis. Nak bercerita dan bercerita macam Nenek Kebayan. )
Semua kematian di atas masih boleh dihidupkan. Banyak teknik yang saya pasti rakan-rakan penulis yang lain sudah jumpa yang mana salah satunya ada saya sentuh pada penulisan yang lepas. Mengikut cara saya yang baru nak bertatih menulis.
Tetapi kematian yang kedua - Kematian semangat untuk menulis, amat-amat bahaya. Sama ada mampu dihidupkan atau dibiarkan mati buat selama-lamanya. Dikuburkan dengan nesan (penulis yang sudah ada nama, dikenali, disebut orang sebelum dia kematian semangat untuk menulis) ataupun dikuburkan tanpa nesan (yang namanya belum dikenali. Yang hilangnya orang tak perasan pun). Sadis sungguh kematian tanpa nesan ini.
Saya pernah mengalami 'kematian' semangat untuk menulis. Yang mana membuatkan saya meninggalkan pena dan tinta sehingga berminggu-minggu lamanya. Waktu ini saya melencong kepada aktiviti lain. Komputer riba jadi sejuk, dingin dan hampir membeku tidak dibuka.
Kenapa saya boleh 'mati'? Salah satu sebab ialah, bila saya selesai membaca karya orang lain yang saya rasa sangat-sangat baik. Idea, garapan cerita ... sehinggakan bila saya bandingkan dengan karya saya ... saya kecewa.
Saya benci dengan karya sendiri!
Saya buang semua yang sudah saya tulis. Dan saya tinggalkan dunia penulisan.
...
...
...
Saya kematian semangat untuk menulis ...
....
...
Tetapi ...
Kematian itu direnjat oleh kuasa elektrik bervoltan tinggi bila suara dalam minda saya kembali berbunyi.
"Apa pasal kau sibuk membandingkan karya kau dengan orang lain? Setiap orang punya corak penulisan yang tersendiri. Unik! Kau mungkin benci dan bosan membaca karya sendiri sebab ... kau dah baca ia berulang-kali untuk mencari kesilapan dan untuk kau betulkan!"
Saya diam. Tidak langsung melayan kata-kata minda.
"Kau tahu tak? Mungkin ada pembaca di luar sana yang suka cara penulisan kau. Yang mana mereka dapat belajar sesuatu darinya. Yang bukan hanya satu coretan cerita."
"Penulisan aku tak ada apa. Semuanya kosong ..."
"Apa niat kau untuk menulis?"
"Berkongsi apa yang ada dalam fikiran dan perasaan aku."
"Lagi?"
"Untuk mendidik ... mungkin?"
"Kau, kalau dah sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Balik pada niat asal kau menulis. Nawaitu itu penting. Nak solat, nak puasa pun dengan niat. Jika niat kau untuk sebaran ilmu dan kau yakin Allah redha dengan niat itu, kembalilah menulis."
"Aku dah mati."
"Orang mati pun boleh menulis."
"Gila."
"Kaulah gila."
Dan saya rasa saya memang gila bila bergaduh dengan minda sendiri. Tetapi itulah kuasa yang menghidupkan semula semangat saya yang mati.
Niat!
Jika diniatkan untuk mencapai redha Ilahi dengan tinta ilmu, Insya-Allah jalan yang berliku itu mudah sahaja dilalui.
Jangan mudah mengalah.
Jangan mudah melatah.
Nasihat ini saya titipkan untuk diri sendiri yang pernah mati dan tidak mustahil untuk mati sekali lagi.
Terima kasih kepada yang sudi membaca luahan hati orang yang pernah mati ini.
Jom, menulis!
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Aktuelle LiteraturCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -