43 - Menghidupkan watak

142 20 9
                                        

Assalammualaikum w.b.t dan salam ukhuwah rakan-rakan Wattpad.

Saya telah dihubungi oleh seorang rakan Wattpad melalui WhatsApp, bertanyakan pendapat saya tentang bagaimana hendak menghidupkan watak dalam cerita.

Sejujurnya, saya sendiri masih belum menguasai ilmu ini sepenuhnya. Saya juga masih mencari-cari 'jiwa' dalam menghidupkan watak-watak di setiap cerita saya. Tapi, tidak mengapa, apa yang saya ada, yang pernah saya baca, yang terfikir dan terpandang tentang topik ini, saya kongsikan dahulu.

Mohon, jika ada salah dan silap dalam perkongsian ini, tolong tegur dan betulkan.

Dalam menghidupkan watak cerita, biasanya saya buat begini:

1) MASUK KE DALAM DIRI WATAK

Ya. Untuk menghidupkan watak, kita perlu berada di dalam diri watak itu sendiri. Masuk ke dalam diri watak. Beri nyawa kita pada dia. Hah? Eh, gila? Hahaha ... 'Beri nyawa' dengan maksud, kita yang hidup ini bertukar tubuh dengan watak. Kita akan jadi dia semasa kita menulis tentang dia, menulis dialog yang dilafazkannya, yang pastinya bukan dari jiwa kita, tapi jiwa dia - si watak.

Penulis dan pelakon tiada bezanya dalam situasi ini. Kalau seorang pelakon boleh melakonkan pelbagai watak - hero, orang jahat, orang gila, si psiko, gadis kampung, pemuda macho, nenek tua, ibu yang ada kanser, pusher ... begitu juga dengan penulis.

Setiap watak yang ada di dalam ceritanya perlu dia terima sebagai satu tubuh baru untuk dimasukinya, dijiwainya, digerak dan dibicarakan mengikut perwatakan watak itu. Dan, si penulis perlu membunuh mati dirinya sendiri sewaktu dia sudah berada di dalam tubuh watak.

Saya pernah menjadi seorang lelaki setan bernafsu binatang, di dalam cerita saya, iaitu cerita 'Cantik'. Percaya atau tidak, saya sendiri hilang identiti diri sebagai seorang wanita muslimah ketika saya sedang berada di dalam watak tersebut.

Saya kata pada diri saya, "Aku sekarang ini, bukan aku. Aku adalah seorang lelaki yang bernafsu binatang. Yang tiada belas kasihan. Yang lupa pada Tuhan. Yang inginkan tubuh seorang perempuan."

Gila bukan? Ya, memang gila. Kerana hendak menghidupkan watak orang jahat, yang setan teramat itu, saya jadi penulis gila, sehingga sanggup merosak minda.

Malah lebih gila bila kemudiannya dalam waktu yang sama, saya bertukar pula menjadi seorang wanita yang sedang berhadapan dengan si setan durjana.

2) COPY PASTE WATAK DI SEKELILING

Okay, cara pertama memang gila. Saya akui, susah. Jadi lebih susah bila kita tidak punya pengalaman (walaupun dalam mimpi) untuk jadi watak itu. Tidak mengapa. Kita cuba cara kedua, copy paste watak-watak yang sedia wujud di sekeliling kita.

Ada penulis yang mencipta watak ibu tapi diri sendiri tidak pernah jadi ibu lagi. Atau, dalam cerita kita ada watak pensyarah, tapi kita bukan pensyarah. Jadi, bagaimana hendak memberi nyawa pada watak-watak begini?

Buka mata, lihat sekeliling. Ada ibu kita. Ada ibu orang lain di sekeliling kita. Renung dan tenunglah wajah ibu kita. Cuba lihat pergerakannya. Kata-kata yang dilafazkannya. Malah, intonasi tinggi rendah suara seorang ibu bila berkata-kata. Cuba kita hayati. Dan, kalau kita berada di luar, di pasaraya atau di kedai makan, perhatikan tingkah laku wanita-wanita yang bergelar ibu.

Ambil bukan hanya ibu kita sebagai contoh, tapi wanita lain juga untuk kita memperbanyakkan sample. Salin dan tampal semua pergerakan, kata-kata mereka dalam cerita kita.

In-shaa-Allah, akan nampak real / hidup. Sebab pergerakan, nada suara dan skrip mereka itu memang kita ambil dari dunia nyata. Lebih real / hidup jika kita dapat tulis setiap butir kata yang terlafaz dari mulut mereka. (Tapi, pastikan kena dengan plot cerita kita. Bukan sebarangan copy paste, ya!)

Lakukan perkara yang sama untuk watak lain juga. Jika watak pensyarah, korang perhatikanlah pensyarah-pensyarah korang, atau pun cikgu-cikgu korang. Dari cara pakaian, lenggok jalan, bebelan dan segalanya. Copy paste ikut situasi yang sesuai dalam cerita.

Penulis perlu banyak membuat pemerhatian dan catatan!

Pesanan: Untuk copy paste ini, kalau boleh, jangan dibuat pemerhatian dalam movie atau novel yang sedia ada. Tolong, jangan buat! Perhati, copy dan paste untuk situasi sebenar, sahaja! Anda mungkin tanpa sengaja akan menciplak dialog atau plot cerita jika pemerhatian dan copy paste itu anda buat ketika menonton filem. Jangan sampai ada pembaca yang kata, "Eh, samalah macam dalam cerita tu!"

3) BACA CERITA BERKAITAN WATAK

Seorang penulis perlu banyak membaca. Sebelum ini pun saya pernah tekankan tentang peri pentingnya membaca dan juga memiliki akaun media sosial.

Baca akhbar arus perdana atau dapatkan berita-berita (kejadian sebenar) dalam akaun media sosial / online news. Dan, follow akaun-akaun media sosial yang boleh membantu kita mendapat kisah-kisah berkait dengan watak kita.

Contohnya, baru-baru ini, banyak kes bunuh diri yang berkaitan dengan depresi. Saya ada selitkan juga (sedikit) dalam cerita saya yang berjudul 'Dia Bukan Mahsuri'. Hanya satu babak berkait dengan seorang yang mengalami depresi lalu bunuh diri.

Dan, bila terlalu banyak kes, saya mula tertarik untuk menulis satu cerita tentang watak yang mempunyai penyakit ini. Tetapi, kerisauan dan ketakutan untuk menulis tentangnya melebihi rasa ingin mengenengahkan cerita dan membuka mata masyarakat terhadap isu ini.

Risau dan takut jika saya tidak mampu masuk ke dalam jiwa seorang yang ada depresi. Depresi ini sangat berbeza dengan penyakit mental yang lain. Tapi, hati memang tergedik habis nak tulis tentang depresi.

Saya kata pada diri saya, "Kau boleh tulis dengan baik jika kau alami sendiri." Wah, gila! Jangan cari penyakit, weh! Tapi, saya kenal diri saya. Saya tahu, jika saya banyak membaca tentang penyakit ini, tentang luahan hati orang yang mengalami, saya akan masuk ke dalam diri mereka sedikit demi sedikit.

Saya ini jenis manusia yang percaya bahawa, bila kita membaca dan hadap sesuatu perkara itu hari-hari, kita akan jadi sebahagian daripada jiwa-jiwa mereka.

Saya sekarang sedang melakukannya. Saya sudah mendaftar dalam satu akaun yang di dalamnya terdiri daripada mereka yang mengalami depresi. Dan, untuk mendaftar, saya perlu mengisi borang soal selidik. Fuh, Alhamdulillah, lepas. Setiap hari saya baca luahan hati mereka.

Serius, saya bukan sahaja bersimpati dengan mereka, tetapi turut kagum sebab mereka ini mampu menahan diri dengan asakan demi asakan dalaman, yang tidak kelihatan dan ditambah lagi dengan luaran yang tidak pernah faham.

Suami nasihatkan saya agar berhati-hati sebab takut saya terjebak dan benar-benar mengalami depresi bila terlalu menghayati pengalaman si pesakit. In-shaa-Allah, saya rasa, saya masih kuat.

Dan, saya niatkan untuk dapat ilmu dan sebar ilmu. Saya tak berani baca kisah mereka hari-hari, sebab saya sudah mula rasa apa yang mereka alami. Sungguh, ia menyakitkan. Sangat menyakitkan.

Jadi, jika anda benar-benar inginkan watak anda hidup dan seolah-olah bernyawa, cubalah dengan pelbagai usaha. Saya hanya menitipkan sedikit pengalaman saya sebagai penulis kecil yang masih mencari-cari jiwa penulisan itu sendiri dan berkongsi setakat yang ada, secara percuma.

Semoga usaha perkongsian yang tidak seberapa ini jadi saham saya di akhirat sana. Jika rakan-rakan sudi, kongsikan juga cara rakan-rakan menghidupkan watak di dalam cerita kalian. Saya juga ingin belajar dan menerima, setelah memberi.

Wallahualam. Moga perkongsian ini menjawab soalan yang bertanya. Maaf di atas kekurangan.

IkaSyafiqah1

Santai (Completed)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang