51 - Menamatkan Tamat

178 13 4
                                    

Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera rakan-rakan sekalian.

Melihat pada tajuk di atas, 'Menamatkan Tamat', bunyinya agak pelik, bukan? Ya, sengaja saya letakkan tajuk sebegitu kerana kepelikan itu sesuatu yang membuatkan saya akan ingat padanya.

Baru semalam kita semua menerima mesej Wattys. Ya, Watty 2020 akan bermula. Dan, kelayakan untuk menyertainya sudah ditukar. Tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Malah, ia lebih mencabar. Apakah syarat kelayakannya yang begitu mencabar?

Ada beberapa syarat (agak banyak juga), tetapi yang melekat di otak saya cuma tiga. Kerana syarat-syarat ini telah memaksa saya menukar strategi untuk menyertai Watty pada kali ini.

Tiga syarat yang agak mengganggu perancangan saya itu adalah:

1- Karya yang ingin menyertai Watty 2020 perlulah sebuah karya yang sudah ditamatkan ceritanya. Bukan karya yang sebahagian siap.

Inilah cabaran yang saya katakan. Untuk menyiapkannya dan menyertai Watty 2020 yang tarikh penyertaannya akan bermula sekitar Julai 2020, sangat menguji akal. Malah, kekangan utama, pastilah tentang masa memandangkan saya sendiri pun bukanlah penulis sepenuh masa. Hanya mencuri masa dalam setengah jam sehari untuk sedikit penulisan.

2- Jumlah patah perkataan yang ditetapkan pada kali ini adalah 50,000 patah perkataan paling minima, berbanding 10,000 patah perkataan untuk tahun sebelumnya.

Maksudnya, boleh lebih, jangan kurang. Memang jumlah patah perkataan yang ditetapkan ini adalah yang selayaknya bagi sesebuah karya lengkap. Dan, karya dengan patah perkataan sebanyak ini sebenarnya sudah boleh dibukukan. Mungkin inilah di antara matlamat Wattys sendiri.

Mereka mensasarkan pemenang utama (yang dipilih di antara pemenang lain), untuk dibukukan karyanya di bawah Wattys. Kerana itulah karya yang dipertandingkan perlu lengkap dengan penamat sebelum menyertainya.

3- Karya yang telah layak (iaitu yang sudah lengkap dengan penamat), dan yang sudah mengisi dan menghantar borang penyertaaan Watty 2020, perlu dibiarkan di dalam Wattpad. Tidak boleh ditarik keluar mana-mana bab sepanjang tempoh yang ditetapkan. Iaitu tempoh pemilihan dan penilaian.

Juga selepas pemenang diumumkan sekitar bulan Disember 2020. Karya hanya boleh dikeluarkan atau di'unpublish' sama ada sebahagian bab atau keseluruhan bab hanya selepas enam bulan daripada pengumuman pemenang dibuat. Saya anggarkan pada awal Julai 2021.

Tiga syarat ini sememangnya memberi kesan kepada saya. Sementelah, saya tidak pernah mengekalkan karya saya secara penuh di Wattpad. Saya hanya siarkan sebahagian memandangkan sasaran saya, karya-karya itu akan diterbitkan dalam bentuk buku.

Hak siaran selepas terbit dalam bentuk buku, bukan lagi hak saya, tetapi hak penerbit untuk tempoh waktu yang telah dipersetujui. Gagal mematuhi, bermakna ke mahkamahlah saya nanti.

Karya lain yang saya tidak sasarkan untuk terbit sebagai buku, memang saya kekalkan siaran penuh di Wattpad. Tetapi, karya-karya itu pada saya, tidak sesuai untuk dipertandingkan bagi anugerah Watty 2020. Karya itu karya santai yang patah perkataannya pun kurang daripada 40,000 patah perkataan.

Jika hendak dipertandingkan dalam anugerah Watty 2020, saya perlu merombak semula plot dan perbaiki bahasa. Malah, perlu juga menambah plot baharu demi mencapai syarat 50,000 patah perkataan. Tetapi, saya tidak mahu. Masa terlalu suntuk untuk berbuat demikian.

Baiklah. Kita berbalik kepada tajuk asal - Menamatkan Tamat.

Kenapa saya pilih tajuk ini? Ia rentetan daripada syarat utama Watty 2020 yang memerlukan karya siap sepenuhnya sebagai salah satu kelayakan untuk menyertai Watty 2020. Dan, saya tertarik dengan kata-kata pengelola Watty 2020, seperti di bawah:

 Dan, saya tertarik dengan kata-kata pengelola Watty 2020, seperti di bawah:

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


Pada saya, memang benar. Perkara paling sukar bagi seorang penulis adalah menamatkan cerita mereka. Saya juga menghadapi masalah yang sama. Jadi apa yang saya buat untuk memastikan saya menamatkan tamat?

Begini:

1) Bila dapat idea cerita, saya selalu fikirkan pengakhirannya dahulu. Ya. Saya tulis cerita dari belakang. Saya tulis penamat dahulu baru saya karang bab satu. Kalau tidak dapat mengarang penuh penamat itu, tulis rangka pun jadilah.

2) Kalau masih tidak dapat mengarang cerita di bahagian penamat, (sebab otak normal hanya dapat mengarang cerita dari bab mula, bukan akhir), kita tulis sahaja dulu ikut kebiasaan kita. Biasanya jika tulis dari bab depan, saya biasanya akan gunakan teknik snowflake.

Jadi, kita layankan sahaja asalkan watak kita itu bergerak. Jangan statik pada hanya satu-satu situasi. Gerakkan watak. Bawa watak pergi luar dari kebiasaan. Kalau dia biasa di sekolah, keluarkan dia dari situ. Bawalah dia pergi hutan (sama ada berkhemah atau sesat).

Atau, bawa dia pergi alam lain (kalau rasa tak logik - letakkan watak dalam alam mimpi. Mimpi tidak perlu logik), atau ke mana-mana sahaja asalkan watak tidak statik. Watak perlu bergerak untuk berada dalam konflik. Pergerakan watak perlu berkait dengan konflik yang kita cipta. Jangan letakkan dia di sesuatu tempat tanpa ada kaitan dengan konflik yang akan dicetuskan. Ia akan jadi plot yang longgar dan lewah.

3) Bila watak mula bergerak, kita sebagai penulis perlu bergerak sama. Kita tanya diri kita: Aku adalah dia. Ke mana aku nak pergi? Dunia Tuhan luas. Kalau aku ke tempat ini, apa risikonya? Hah, risiko itulah yang akan jadi konflik.

4) Sepanjang pergerakan watak, masa inilah kita perlu fikirkan pengakhiran. Rasai kepenatan watak yang sudah kita gerakkan; yang sudah kita hadapkan dia dengan kesusahan.

Jadi, kalau kita jadi dia, apakah kesudahan yang kita inginkan? Aku cuma nak berehat. Aku penat. Atau, aku cuma nak orang faham aku. Jadi, jumpakan dia dengan orang yang faham dia. Buatlah ikut cara mana pun. Nak cipta watak baru di akhir cerita pun okay, juga.

5) Pengakhiran adalah apa yang kita sebagai penulis inginkan. Kadang-kala, bukan untuk watak, tetapi untuk diri kita sendiri. Saya percaya, semua kita ini punya keinginan. Jadi, letakkan keinginan diri kita dalam cerita kehidupan watak-watak kita.

Itu cara saya menamatkan tamat. Mungkin susah untuk difahami, tetapi ini sahaja ilmu yang dapat saya kongsikan. Wallahualam.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now