KITA selalu mendengar tentang sindrom WB (Writer's block) yang melanda penulis. Tetapi pernahkah kita dengar atau alami sindrom Streaming Ideas atau Overflows Ideas?
Biasanya kita dinasihatkan untuk mencatat setiap kali idea datang dan mula memenuhi minda. Otak kita tidak mampu untuk menampung semuanya. Mencatat adalah option terbaik. Tetapi, awas. Catat dan simpan di tempat yang kita ingat. Jangan hilangkan pula catatan kita!
Ok, berbalik kepada idea yang melimpah ruah ini, ada beberapa perkara lain yang perlu diberi perhatian selain mencatat. Kita perlu tahu idea apa yang datang kepada kita.
1- Adakah idea itu idea yang membantu kita untuk meneruskan plot cerita yang sedang kita tulis, atau
2- Ia idea baru yang langsung tiada kaitan dengan cerita yang sedang ditulis. Senang cerita, ia adalah projek manuskrip kita yang seterusnya, mungkin?
SAYA ingin fokuskan kepada perkara pertama, iaitu idea yang membantu kita untuk meneruskan plot cerita yang sedang kita tulis. Bunyinya seakan membantu dan mengujakan kita, bukan? Seronok bila kita boleh meneruskan penulisan dengan pelbagai idea. Tetapi ... jika terlalu banyak, ia akan membuatkan kita hilang fokus.
Tidak semua idea yang datang itu sewajarnya dimasukkan ke dalam cerita. Kita mungkin membebankan cerita kita dengan idea-idea yang kadang-kala tidak kena pun dengan tema atau jalan cerita kita.
Perkara ini selalu berlaku pada saya. Idea yang datang saya kumpulkan dan karang. Siap satu bab. Tetapi bila saya baca semula, saya dapati bahawa ia hanyalah 'idea sampah' (pada saya) yang jika dimuatkan ke dalam cerita akan memberatkan cerita dan fokus utama cerita itu akan lambat sampai.
Bila keadaan ini berlaku, saya tanya pada diri saya, "Ini ke yang kau nak? Bosan tak kalau baca? Ya, ia mungkin mengandungi ilmu, tak salah untuk dimasukkan tapi ... betul ke ini yang kau nak? Apa target kau? Apa fokus kau untuk cerita ini? Berapa jauh kau nak 'pusing' baru kau nak sampai pada klimaks dan peleraian cerita?"
Saya tanya dan tanya sehingga saya dapat jawapan. "Tidak! Aku tak nak memanjangkan cerita. Aku tak nak ikut jalan jauh. Aku tak nak pembaca buang masa baca bab-bab yang kalau dibuang pun tidak akan mencacatkan cerita. Tak nak! Titik!"
Tapi ....
Saya sayangkan 'idea sampah' itu juga. Ayat yang sudah saya garap sehingga lengkap satu bab itu memang buat saya rasa rugi jika saya buang begitu saja.
Untuk meletakkannya di dalam cerita, rasa semak. Dan, saya sudah putuskan untuk tidak meletakkannya. Lagi pula saya sudah ada plot yang lebih sesuai. Jadi bagaimana?
Berdasarkan perbincangan dengan dua tiga orang rakan penulis, saya dinasihatkan untuk menyimpan 'idea sampah' tersebut sebagai scrap. Maka wujudlah satu lagi file MS Words yang saya namakan 'scrap'. Scrap untuk cerita yang sedang ditulis.
Contohnya, sekarang ini saya sedang tulis manuskrip berjudul 'Dia Bukan Mahsuri', maka saya ciptakan satu file MS Word dengan tajuk, 'Dia Bukan Mahsuri (Scrap)'.
Setiap kali saya siapkan satu bab tetapi bila baca semula, saya rasa tidak kena, saya akan cut keseluruhan bab tersebut dan paste pada file 'Dia Bukan Mahsuri (Scrap)' dengan header 'Deleted Scene Bab 21' (contoh).
Fail berjudul 'scrap' ini sebenarnya membantu saya ketika saya berhadapan dengan sindrom WB (Writer's block) untuk cerita yang sama. Scrap atau deleted scene ini akan saya recyle, dan saya gunakan semula untuk menjana idea lain. Jika masih wujud Writer's block (WB), mungkin scrap ini boleh juga saya muatkan semula ke dalam cerita selepas diolah.
Ya, itu sedikit kisah sepanjang saya menyiapkan manuskrip. Sekadar meluah rasa, sekadar berkongsi pengalaman. Selamat menulis!
YOU ARE READING
Santai (Completed)
General FictionCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -