46 - Tulis baku?

113 21 13
                                    

Assalammualaikum w.b.t dan salam ukhuwah rakan-rakan Wattpad.

BILA kita menulis karya kreatif, kita biasanya akan bermain dengan turun naik emosi, kerana karya kreatif adalah tentang kehidupan.

Pada waktu itu, kita akan menggunakan segala tanda baca dan kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan watak-watak kita. Kita ingin pembaca, membaca dengan perasaan.

Oleh yang demikian, ramai di antara kita yang menolak untuk menulis dalam baku, atau dengan kata lain mengikut hukum tulis yang betul; dengan tatabahasa yang diperakui oleh badan yang menjunjung bahasa.

Kerana, pada kita, kebakuan hanya akan membekukan perasaan pembaca terhadap apa yang dibaca daripada karya kita, sedangkan kita ingin mereka merasai turun naik emosi watak.

Saya sendiri di awal penglibatan menulis karya kreatif, turut melakukan perkara yang sama. Tanda baca seperti '!?', '!!!', serta penggunaan huruf besar untuk menunjukkan amarah watak, saya gunakan.

Saya juga tidak terlepas daripada menggunakan banyak sinkof seperti 'je' daripada perkataan 'sahaja' atau 'saja'; 'kan' daripada perkataan 'bukan' dan juga turut menggunakan bahasa percakapan (bp) yang tidak diperakui bagi menghidupkan cerita.

Bahasa percakapan (bp), memang seronok digunakan sewaktu kita menulis, kerana ia 'hidup' dan kita anggap, ia akan 'menghidupkan' emosi pembaca.

Contoh bahasa percakapan (bp) - 'pulak' untuk 'pula'.

Tetapi, selepas saya bercampur dengan penulis-penulis senior, membaca banyak karya, malah mula diberi kepercayaan untuk menjadi pembaca pruf kepada beberapa karya, saya mulai nampak akan kepincangannya.

Kepincangan yang saya anggap sebagai satu pengkhianatan bahasa. Saya kecewa dengan diri sendiri bila saya dapati, tiga daripada karya terdahulu saya, tidak saya tulis dengan baik, iaitu dengan tatabahasa yang baik.

Saya mulai berfikir, apakah yang akan berlaku sekiranya buku saya dijadikan rujukan oleh generasi akan datang? Adakah mereka akan menganggap bahasa percakapan (bp), yang tidak diperakui, yang banyak saya gunakan di dalam karya, sebagai bahasa yang betul dan diterima sebagai bahasa karangan?

Jika saya sebagai penulis masa kini begitu malas untuk menggunakan bahasa yang betul, dan asyik memilih bahasa percakapan (bp) yang tidak diperakui, malah banyak menggunakan sinkof di dalam karya, bagaimana pula dengan generasi akan datang? Sekarang ini pun sudah ramai yang mencipta 'bahasa alien' ketika menaip di media-media sosial.

Bahasa yang memudahkan perbualan dengan meringkaskan ejaan satu-satu kata yang adakalanya sudah sedia ringkas. Malah, ringkasan yang dibuat ada yang langsung tidak difahami dan hilang sama sekali bunyinya.

Saya sekarang sudah mula mengurangkan sinkof dan jika menulis bahasa percakapan di dalam karya, saya akan pastikan bahasa percakapan (bp) itu telah dimaktubkan atau diterima oleh Kamus Dewan.

Atau, mengehadkan penggunaannya hanya di dalam dialog.

Tetapi, usaha untuk memastikan penggunaan tatabahasa yang bertepatan dengan kehendak bahasa itu sendiri perlu dimulakan.

Tidak mahu ada pengkhianatan berterusan.

Susah? Idea akan mati jika sibuk memikirkan tentang tatabahasa?

Benar. Saya juga pada permulaan, amat sukar untuk menulis dengan betul. Al-maklumlah, kita sudah terbiasa menulis yang salah. Sudah rasa selesa dan rasa semua orang melakukan perkara yang sama, jadi seolah-olah tiada salahnya.

Begini.

Jika menulis dengan betul hanya menyekat idea dan mengurangkan kelancaran penulisan, nasihat saya, teruskan menulis mengikut keseronokan anda, keselesaan anda. Tulis dahulu sehingga selesai sebuah manuskrip.

Tatabahasa, dan segala yang dikategorikan sebagai bahasa percakapan (bp) yang tidak menepati 'perundangan bahasa', boleh diubah selepas itu ketika proses penyuntingan dilakukan.

Saya sendiri bertindak sebagai pembaca pruf dan sekaligus sebagai penyunting (editor) untuk karya sendiri sebelum diminta menjadi pembaca pruf untuk beberapa karya milik teman-teman.

Dan, sebagai pembaca pruf, juga editor, saya kerap membaca banyak karya tidak kira sama ada karya yang telah dibukukan ataupun karya yang dimuatnaik di Wattpad.

Semakin banyak saya membaca dan mengkaji hasil penulisan penulis baru dan lama, semakin saya dapat melihat apa yang perlu saya perbaiki untuk karya sendiri.

Saya juga mengambil beberapa sampel karya yang ditulis menggunakan bahasa santai, untuk saya jadikan eksperimen dalam penyuntingan.

Saya cuba ubah ayat-ayat daripada karya tersebut untuk dibentuk sebagai ayat yang menggunakan tatabahasa yang betul.

Kemudian, saya baca semula dan cuba merasai perbezaan dalam pembacaan. Setakat ini, tidak banyak beza. Perasaan watak dan perjalanan cerita masih lagi memberi kesan dalam hati saya. Malah, rasa lebih puas bila dapat membaca sesebuah karya dengan bahasa yang terjaga.

Santai (Completed)Where stories live. Discover now