INI adalah di antara satu tajuk yang sering menjadi masalah kepada penulis, bukan orang lain tetapi diri saya sendiri. Pada saya, memilih tajuk untuk satu-satu cerita itu sangat susah. Lebih susah berbanding mencari isi cerita dan membina cerita.
Apa yang susah? Letak sahajalah!
Ya, boleh letak sahaja tetapi, tahukah kita bahawa tajuk juga memainkan peranan yang sangat-sangat penting ketika kita cuba memasarkan cerita kita? Tidak perlu pergi jauh sehingga cerita itu dicetak; cukup di Wattpad.
Kita sendiri kadang-kala memilih cerita berdasarkan tajuk yang lalu-lalang di hadapan mata. Yang mana berbunyi pelik, menimbulkan tanda tanya, itu yang akan kita terjah untuk tahu ia tentang apa.
Semasa saya mula-mula menulis cerita 'Cantik', tajuknya bukan 'Cantik'. Saya letak 'Jodoh'. Tetapi, telah dikritik oleh anak-anak saya. Kata mereka, 'Jodoh' itu macam buku orang dewasa sahaja. Mungkin hanya akan menarik minat sebahagian golongan sahaja.
Saya buntu.
Jadi, saya tanya diri saya. Cerita ini tentang apa? Apa intipatinya yang utama. Okay, cerita ini tentang iman manusia. Kalau cantik imannya, maka cantiklah jalan cerita hidupnya. Ya, daripada situ tajuk 'Cantik' dipilih. Dan, daripada tajuk maka plotnya ditulis.
Itu kisah novel pertama saya berjudul 'Cantik' yang telah terbit di bawah penerbitan BesQ pada tahun 2019.
Berkisar tentang tajuk cerita juga. Pada tahun yang sama, 2019. Saya mengikuti kelas penulisan cerpen on-line kelolaan saudara Mitch. Seminggu tempoh pembelajaran saya. Penulisan disemak para demi para. Komen juga dijatuhkan para demi para.
Itu tidak cukup menyakitkan. Yang lebih menyakitkan bila tiba pada pemilihan tajuk. Setiap tajuk yang saya cadangkan untuk cerpen sendiri, ditolak mentah-mentah. Bagi satu tajuk, reject. Bagi lagi, reject. Sehingga saya rasa tertekan kerana tempoh pembelajaran sudah hampir tamat.
Dan, masa untuk memilih tajuk yang diperuntukkan sangat terhad. Kurang daripada satu jam untuk saya dan dua lagi rakan menghantar tajuk yang benar-benar pasti diterima. Memang sangat tertekan.
Tips yang ada hanyalah – tajuk perlu catchy, membuatkan pembaca ingin tahu tentang isi di dalamnya dan tidak pernah ada di mana-mana cerita lain.
Saya pening. Saya selongkar kamus, saya selongkar daftar kata dan akhirnya saya selongkar bahasa asing melalui lagu kanak-kanak di youtube yang berkisar tentang lipas. Idea tentang lipas ini pun timbul sebab cikgu saya suka panggil kami ini lipas. Mungkin kami suka merayap tanpa fokus. Hahaha ...
Dan, cerpen saya pun tentang lipas. Maka terhasillah cerpen dengan judul 'Cucharacha'. Tajuk ini diterima oleh cikgu saya, malah kerana tajuk jugalah saya rasa, cerpen ini dipilih untuk disiarkan di dalam akhbar Berita Harian (Ahad).
Fuh! Susah betul untuk mendapat tempat dan bersaing di dunia penulisan. Kalau kita fikir cerita kita bagus, tetapi tajuk tidak cukup 'cathcy' pun susah untuk 'jual' dan tarik perhatian bukan sahaja pembaca, tetapi yang lebih utama para editor.
Oh, ya! Lupa saya ingin bercerita. Saya pernah hantar cerpen kepada editor Dewan Sastera untuk semakan, tetapi seringkali tajuk dan para pertama ayat saya jadi kritikan. Untuk pertama kalinya, sewaktu cerpen 'Cucharacha' tersiar di dalam suratkhabar Berita Harian, editor DS telah hubungi saya secara peribadi mengucapkan tahniah.
Dan, percaya atau tidak, beliau tertarik dengan tajuk 'Cucharacha' tersebut dan ingin sekali mengetahui cerita itu tentang apa. Beliau kata, beliau akan cari dan baca.
Memang tajuk juga memainkan peranan yang bukan calang-calang penting sebagai 'penarik' kepada cerita kita.
Masih tentang tajuk cerita. Sewaktu saya bersama rakan penulis, Mitch dan Syameen Khalili menghadiri 'Temu Editor' pada 16 Disember 2019, di UKM, Bangi; editor pembentang juga bercerita tentang tajuk.
Beliau menekankan tajuk yang positif. Nasihat beliau, elakkan tajuk yang mengundang negativity walaupun isi di dalamnya positif. Contoh pada hari tersebut adalah tajuk cerpen, 'Kemaruk Asap Rokok'.
Cerpen ini menegur kita tentang bahaya merokok. Tetapi, tajuknya awal-awal lagi sudah ditolak oleh pihak editor.
Tetapi ...
Jika masih ingin meletakkan tajuk yang sebegitu, pastikan pilih rumah penerbitan yang bersesuaian. Kerana, masih ada rumah penerbitan yang sengaja mencari tajuk-tajuk berbunyi negatif dan ditulis secara 'songsang'.
Dengan harapan, pembaca yang membacanya mampu menerbalikkan mesej tersebut menjadi positif. Terpulang kepada diri dan pendirian masing-masing. Ini hanyalah sekadar perkongsian tentang 'tajuk'.
Selamat memilih. Dan, semoga terpilih!
YOU ARE READING
Santai (Completed)
Fiksi UmumCuba lari dari tinta dan pena. Duduk dalam dunia realiti dengan secawan kopi hitam. Pilihan? Dengan gula atau tanpa gula, ikut suka. Start: 26 Feb 2018 End: -